Cuit Oghe Kito

PN bangkit di sebalik kemelut Bersatu

Oleh M Faqih

BIARPUN Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, namun jumlah ahli parlimen bebas semakin bertambah sekarang.

Pelik juga. Akta antilompat parti berkuat kuasa bermula 5 Oktober 2022, sebelum parlimen penggal ke-14 dibubar. Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan diwartakan pada 6 September 2022.

Akta itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022. Seramai 209 Ahli Dewan Rakyat menyokong. Selain itu disokong 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

Akta tersebut nampaknya belum mampu membendung pertambahan jumlah ahli parlimen Bebas. Namun, setidak-tidaknya berjaya menghalang ahli parlimen berpindah parti.

Pada penggal ke-15, memperlihatkan jumlah ahli parlimen pembangkang bertukar status kepada Bebas bertambah. Sedangkan ahli parlimen kerajaan tidak berubah.

Ia berbeza dengan kondisi penggal ke-14. Jumlah ahli parlimen kerajaan susut sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada akhir Februari 2020.

Pada pilihan raya umum (PRU) November 2022 jumlah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang tidak banyak berbeza. Ketika itu PH mempunyai 82 ahli parlimen, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memiliki 73 ahli parlimen. Perbezaan hanya sembilan ahli parlimen.

Bagaimanapun PH dapat membentuk kerajaan setelah disokong 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN). Kekuatan PH makin bertambah selepas disokong 22 ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam ahli parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kelompok Bebas

Dan hari ini jumlah ahli parlimen pembangkang berkurang lagi. Bersatu hanya tinggal 19 ahli parlimen selepas episod singkir dan beralih sokongan. Sedangkan sebelum ini Bersatu memiliki 31 ahli parlimen.

Bersatu juga memecah rekod apabila enam parlimennya beralih sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka paling awal belot daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli parlimen terbabit iaitu Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dato’ Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dato’ Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mereka menyatakan sokongan kepada perdana menteri kerana mahu mendapat peruntukan, yang dinafikan terhadap pembangkang. Enam bekas ahli parlimen Bersatu terbabit dianggap masih kekal di blok pembangkang. Kerusi mereka dikekalkan di bahagian belakang blok E di Dewan Rakyat.

Dan pada 13 Februari lepas Bersatu memecat 17 pemimpin kanan parti terbabit termasuk Timbalan Presiden Dato’ Seri Hamzah Zainuddin. Selain itu tiga lagi Ahli Parlimen serta dua Adun turut dipecat.

Tiga Ahli Parlimen terbabit iaitu Wan Ahmad Fayhsal; Kapten (B) Azahari dan Fathul Huzir. Manakala dua Adun yang juga dipecat Adun Sungai Manik Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Berikutan kemelut rumahtangga Bersatu, keutuhan PN sekarang terpikul di bahu PAS. Ahli parlimen PAS kekal dengan jumlah 43 sejak November 2022 sehingga sekarang. Jumlah paling banyak pada penggal ke-15. Tempat kedua DAP dengan 40 ahli parlimen.

Dinamika PN

Biarpun kekuatan Bersatu semakin luntur, namun ia dilihat tidak mengubah dinamika PN. Bekas pemimpin Bersatu kini muncul gelanggang PN dan bukan lagi Bersatu. Mereka berdiri di atas tapak PN.

Mereka masih lagi mengekalkan status sebagai pendukung setia PN. Ini dapat dilihat apabila Dato’ Mas Ermieyati Samsudin muncul dengan kenyataan sebagai Ketua Wanita PN dan Pengerusi PN Melaka.

Sedangkan beliau mengumum meletak jawatan Ketua Bersatu Masjid Tanah pada 19 Febuari lepas. Pada kenyataan semalam beliau merakam ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Katanya, pelantikan tersebut sebagai titik penting bagi mengukuhkan kepimpinan PN di peringkat nasional, terutamanya menghadapi cabaran politik dan persiapan pilihan raya negeri Melaka serta PRU-16.

“Kepimpinan Dr Samsuri yang terbukti sebagai pemimpin berintegriti, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta memiliki rekod kepimpinan yang cemerlang,” katanya.

Pada 19 Febuari lepas Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Bersatu bersama 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian terbabit mengumum meletak jawatan.

Harapan Mas Ermieyati, PN di bawah kemudi baharu boleh menjadi kekuatan serta inspirasi dalam usaha memperkukuh gerak kerja dan strategi PN.

Menurutnya PN Melaka berdiri teguh dan memberi komitmen penuh untuk bersama memperkukuhkan jentera parti, memperluas sokongan rakyat serta memastikan agenda kebajikan rakyat.

“Kami yakin di bawah kepimpinan Dr Samsuri, PN akan tampil lebih tersusun, bersatu dan diyakini rakyat sebagai alternatif terbaik untuk memimpin negara,” ujarnya.

Gelanggang serupa juga dimanfaatkan Hamzah. Beliau sebagai mewakili 18 lagi ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan di atas pelantikan Dr Samsuri.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Ahmad Samsuri di atas pelantikan sebagai Pengerusi PN yang baharu, dan kami memberikan sokongan penuh untuk beliau memimpin gabungan ini.

“Pelantikan ini merupakan konsolidasi serius bahawa PN benar-benar bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara,” katanya pada kenyataan.

Beliau turut menyokong PN dipimpin PAS selaku parti tunjang. Kenyataannya itu sebagai mewakili Ahli Parlimen Beluran, Dato’ Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain itu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Dato’ Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dato’ Dr Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ahli Parlimen Sungai Besar, Dato’ Muslimin Yahaya.

Turut menyatakan sokongan Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan; Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan dan Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abbas.

Sedangkan pada 13 Februari lepas Bersatu memecat 17 pemimpin kanan parti terbabit termasuk Hamzah. Turut dipecat Wan Ahmad Fayhsal, Azahari dan Fathul Huzir. Selain itu Adun Sungai Manik Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub juga dipecat.

Berdasar perkembangan itu kelompok ahli parlimen Bebas bertambah daripada enam kepada sembilan orang. Dan apabila dicampur ahli parlimen Muar, Syed Saddiq kelompok Bebas berjumlah 10 orang. 

Ahli terus

PN nampaknya seperti tidak terjejas biarpun kemelut panjang melanda Bersatu. PN boleh mengaktifkan keahlian terus seperti yang dikatakan terkandung dalam perlembagaannya.

Pertama ahli dari parti politik, kedua ahli dari NGO dan ketiga ahli dari individu atau orang perseorangan (direct member).

Presiden Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa sebelum ini memberitahu buat masa ini keahlian PN hanya dari kategori pertama. Belum ada keahlian dari kategori kedua dan ketiga.

“Apakah aspek transformasi PN selepas ini bakal melibatkan penerimaan keahlian dari kalangan NGO dan individu. Jika ini berlaku PN menjadi parti gabungan yang paling ke depan dan progresif di Malaysia.

“Mungkin kita bakal melihat NGO yang mendukung aspirasi sama bakal menganggotai PN dan akan ada calon PN dari kalangan pemimpin NGO,” katanya pada kenyataan.

Melalui kaedah itu ia bakal memperlihatkan calon PN PRU akan datang boleh mewakili NGO. Kata Annuar, PN menjadi satu model politik baru yang akan diperkayakan dengan bakat dan tokoh untuk memimpin negara.

PN bakal mendepani politik negara. PN juga pastinya terbuka kepada ‘alliance’ strategik ke arah mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan politik negara.

“Perlembagaan PN dan pindaan bakal berlaku menjadikan PN lebih releven lagi,” ujarnya juga bekas Setiausaha Agung Umno.

Impian Annuar mungkin menjadi kenyataan di bawah kepimpinan baharu PN. Inilah yang dinamakan dinamika yang muncul di sebalik krisis dalaman sebuah parti anggota PN. Hamzah biarpun disingkir Bersatu, namun masih kekal sebagai pendukung PN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *