Gelanggang Rakyat

PN masih utuh di sebalik kemelut Bersatu

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |

BERDASAR perkembangan yang berlaku sekarang kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-16 diadakan tidak lama lagi, sebelum berakhir penggal ke-15.

Situasi itu dapat dilihat apabila Umno Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat bagi mengajak semula bekas ahli yang pernah dipecat.

Malah, sempena Ramadan sekarang Umno melalui badan NGO kerap menganjur program berbuka bersama penduduk kampung sebagai persediaan awal bagi menghadapi PRU16.

Kehadiran penduduk pada majlis tersebut diminta dicatat nama pada borang yang disediakan. Seorang penduduk di Kota Bharu mendakwa ada borang yang menyediakan ruang nama peserta, nombor kad pengenalan dan nombor telefon perlu diisi.

Sedangkan sebelum ini jarang penduduk kampung yang diundang menghadiri program berbuka puasa perlu mencatat nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.

Data yang dikumpul pada majlis berbuka puasa kemungkinan akan dimanfaat untuk culaan bagi memperlihatkan kecederungan politik seseorang penduduk. Perkembangan yang berlaku tersebut menggambarkan demam PRU16 semakin hampir.

Siapsiaga

Mengambil kira situasi tersebut PN turut bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya tidak lama lagi.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan apabila memberitahu jentera PN telah digerakkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Kita sudah gerakkan jentera sepenuhnya dan boleh katakan kita 100 peratus bersedia. Yes, we are ready,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Penggal ke-15 Dewan Rakyat akan berakhir hujung tahun hadapan. Mesyuarat pertama, penggal pertama, parlimen ke-15 diadakan pada 19 Disember 2022. Maka mengambil kira tarikh tersebut penggal ke-15 parlimen akan berakhir 18 Disember 2027.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah menjangka tarikh sesuai PRU-16 diadakan iaitu Jun hadapan. Dan berdasar telahan tersebut, bermakna masa yang berbaki sekarang hanya tiga bulan lagi untuk setiap parti politik membuat persiapan.

“Saya ingatkan pendukung PAS jangan alpa kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Biarpun pada PRU lepas Umno dan PH hanya menang tiga kerusi Dun di Kelantan, namun keadaan boleh berubah pada PRU16.

“Buktinya dapat kita tengok pada PRU 1990, Umno dan BN gagal memenangi sebarang kerusi di peringkat Dun dan parlimen di Kelantan.

“Namun pada PRU 1995, Umno berjaya menambah jumlah kerusi. Malah pada PRU 2004, PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dun berbanding BN sehingga menyebabkan keadaan begitu genting,” katanya pada ceramah di Tanah Merah 6 Mac lepas.

Kepimpinan baharu

Takiyuddin juga memberitahu Bersatu membuat perubahan di Melaka dengan melantik kepimpinan baharu bagi memastikan gerak kerja PN berjalan lancar.

“Melaka kita dah lantik orang baharu untuk mengetuai PN iaitu Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin yang juga Pengerusi Bersatu Melaka,” katanya.

PN juga sudah memperkemaskan kaedah pembahagian kerusi antara komponen gabungan tersebut. Formula pembahagian kerusi menurut Takiyuddin berdasarkan formula PRU15 yang dianggap masih relevan.

Namun, beliau menggambarkan ada sedikit pengubahsuaian. “Sebenarnya kita sudah bersedia termasuk dari segi agihan kerusi,” kata beliau.

Berdasar formula sebelum ini kerusi yang dimenangi Umno di Kelantan pada PRU14 ditandingi calon dari Bersatu. Formula tersebut ternyata berkesan apabila kerusi tersebut berjaya dirampas Bersatu.

Antaranya Dun Kok Lanas, Ayer Lanas, Gual Ipoh, Paloh dan Nenggiri. Manakala kerusi parlimen ditandingi Bersatu di Kelantan iaitu Tanah Merah, Ketereh, Machang dan Gua Musang.

Selain itu calon PN sama ada dari PAS dan Bersatu di Kelantan dan Terengganu bertanding menggunakan logo PAS bagi kerusi Dun serta parlimen. 

Berdasar pencapaian pada PRU15, kemungkinan kaedah tersebut dikekalkan pada PRU16, dengan mengambil kira kedua-dua negeri terbabit merupakan kubu tradisional PAS sejak merdeka.

Pada PRU15, PN menguasai empat negeri dengan mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta menambah kekuatan di Perlis apabila berjaya merampaskan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

Isunya apakah PN mampu mempertahankan empat negeri terbabit dengan mengambil kira kemelut yang melanda Bersatu. Isu dalaman Bersatu tidak dapat dinafikan merencat usaha untuk melebarkan pengaruh PN ke Pahang, Selangor dan Perak.

Bagaimanapun isu terbabit semakin reda biarpun kekuatan Bersatu dilihat tidak lagi seperti dahulu. Pemecatan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin memberi kesan yang tidak sedikit.

Hamzah bersama 17 pemimpin kanan Bersatu dipecat. Nama besar lain termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Adun Sungai Manik Dato’ Zainol Fadzi Paharudin; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Setia

Mereka merupakan penggerak Bersatu sebelum ini. Biarpun begitu PN masih bernasib baik kerana Hamzah rakan-rakan kekal setia bersama PN.

Apa yang berlaku itu menggambarkan PN kurang terjejas biarpun bekas-bekas pemimpin kanan Bersatu disingkirkan. Ini bermakna kekuatan pembangkang tidak berkurang, kerajaan Madani pula tidak berubah.

Malah, PN masih lagi berkira-kira mengenai calon Ketua Pembangkang baharu di Dewan Rakyat. Pengalaman dan kemampuan Hamzah sebelum ini perlu pengganti yang tidak kurang hebat.

Takiyuddin menjelaskan keputusan pelantikan Ketua Pembangkang dijangka dibuat selewat-lewatnya hujung bulan ini atau awal bulan hadapan.

“Calon itu daripada kalangan Ahli Parlimen PAS, namun kita belum putuskan secara muktamad kerana semua layak dan kita akan buat pertimbangan terbaik.

“PN kini bergerak secara kolektif dalam membuat keputusan tanpa bergantung kepada individu tertentu semata-mata. Kita bekerja secara kolektif, kita akan pilih siapa yang terbaik,” katanya.

Ia memberi isyarat setidak-tidaknya PN di bawah kepimpinan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ada ruang untuk bangkit semula. Fokus utama sekarang menyatukan semula kekuatan lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *