Pondok cegah pemikiran liberal menular

Oleh A RAHMAN HARUN

Foto AHMAD RAMADAN

PENGARUH pemikiran liberal yang mempromosikan gaya hidup bebas dan menyamakan semua agama sekiranya tidak dikawal kerajaan, ia dibimbangi terus menular dalam masyarakat di negara ini.

Hakikat itu tidak dapat ditolak lagi apabila pemikiran liberal mulai menjalar luas di Malaysia selepas bertapak di negara jiran.

Pelajar Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Muhd Azam Che Maliki, 21 berkata, masjid dan pondok menjadi benteng untuk menyekat penularan fahaman yang mementingkan akal berbanding nas agama terkandung al-Quran dan Hadis.

“Kita di pondok cegah awal-awal pemikiran liberal daripada terus menular. Kalau kita lihat sekarang isu tersebut sudah menular di media sosial.

“Sekiranya tiada ilmu agama di dada, pastinya amat sukar untuk menepis dakyah yang disampaikan oleh aktivitis fahaman songsang, biarpun mereka mengakui beragama Islam,” katanya di sini.

Baru-baru ini ketika merasmikan Ijtimak Pondok Malaysia 5.0 di Pondok Gelang Mas Pasir Mas Sabtu lepas Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan bimbang ada pihak cuba mengganggu gugat kontrak sosial yang dipersetujui ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Kata beliau ancaman tersebut termasuk muncul Islam liberal yang mulai menjalar ke negara ini selepas bertapak di negara jiran.

Oleh itu beliau berharap ulama-ulama pondok memainkan peranan bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya fahaman Islam liberal.

Ustaz Abdul Rahman Bakri Itam, 68 dari Alor Setar Kedah turut bimbang keadaan masyarakat sekarang yang terdedah pemikiran dan gaya hidup bebas yang keterlaluan.

Menurutnya masyarakat agak celaru disebabkan pendidikan di negara kita ini lebih berteraskan kepada sekular.

“Konten dalam media sosial yang mengetengahkan elemen-elemen liberal mudah terpengaruh bagi mereka tidak mendalami ilmu agama,” ujarnya.

Seorang pendakwah tempatan, Ustaz Mohd Fakeri Muhayiddin menegaskan institusi pendidikan agama menjadi benteng terakhir untuk menjaga kemurnian dan kesucian akidah umat Islam.

Katanya pondok boleh menjadi benteng umat Islam daripada mudah terpengaruh pemikiran yang bertentangan dengan amalan agama.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *