Gelanggang Rakyat

PRN Sabah pamer penguasaan dinasti politik

Oleh Dr Zulkeflee Yaacob

PILIHAN Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini menarik perhatian umum, bukan sekadar lambang demokrasi, sebaliknya rakyat mempunyai kuasa penuh untuk memilih calon yang mampu membawa suara dan inspirasi mereka.

Wakil rakyat yang dipilih terlibat dalam proses penggubalan dasar dan undang-undang pentadbiran negeri demi kesejahteraan rakyat.

Namun, di Sabah berbeza landskap dan geopolitik yang memerlukan induksi politik kawasan atau daerah, isu-isu etnik dan budaya politik tempatan.

Sifat keperibadian tokoh-tokoh politik tempatan dan pergolakan politik di peringkat nasional juga boleh mempengaruhi undi.

Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini mencatat jumlah calon bertanding teramai yang mewakili 23 parti termasuk calon bebas iaitu seramai 596 calon.

Purata lapan calon bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia menandakan perpecahan dan perebutan kuasa tanpa batas.

Malah ramai calon keluarga diwakili anak, menantu, isteri, adik-beradik dan saudara-mara pemimpin ternama. Ini menjadikan PRN ke-17 seperti pertarungan kroni dinasti politik.

Ia menjadi medan nasi kawah yang tertumpah dalam pinggan sama. Mungkin paling memalukan dalam sejarah politik Sabah. Terdapat juga empat bekas timbalan menteri dan ahli parlimen yang pernah memegang jawatan besar turut masuk gelanggang.

Dalam kalangan mereka turut terbabit tokoh veteran yang bukan sahaja kembali bertanding, tetapi turut mengheret isterinya masuk kancah politik.

Moral

PRN Sabah kali ini dilihat yang terburuk dari sudut moral kerana ada pemimpin yang disifatkan rakyat rakus dan tamak. Ada pemimpin bertanding semata-mata atas kepentingan peribadi dan bukannya jujur berkhidmat kepada masyarakat.

Mereka sanggup memecah-belahkan rakyat demi mengejar kedudukan. Ia dapat dibuktikan melalui adegan melompat parti dianggap sudah menjadi lumrah di Sabah.

Lompat parti atau menubuhkan parti baharu menjadi pilihan demi mencapai cita-cita peribadi. Sedangkan pilihan raya menuntut solusi bukan sekadar slogan bagi menarik simpati pengundi secara bermusim.

Isu utama berkaitan kos sara hidup, prasarana, fasiliti, infrastruktur, pertanian, pendidikan dan peluang pekerjaan masih tidak selesai biarpun Sabah sudah lama bebas dari belenggu penjajah.  

Keutamaan rakyat Sabah iaitu kemudahan hospital, sekolah, bank, jalan raya, lampu jalan dan bekalan air bersih nampaknya sukar selesai sehingga sekarang.

Hampir 1.8 juta pengundi di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) wajar menggunakan peluang keemasan 29 November ini bagi menghukum pemimpin yang sekadar petah berkata-kata, namun masih terpalit isu rasuah dan moral.

Pengundi perlu berani membuat perubahan dan bukan tenggelam dengan pujuk rayu yang muncul setiap lima tahun sekali. Selepas menang ada pemimpin ghaib entah ke mana.

Sedangkan rakyat terutamanya di pedalaman masih bergelut dengan kemudahan asas. Jalan berlubang di sana-sini. Bekalan air bersih entah bila hendak selesai.  

Pengundian awal akan berlangsung pada 25 November ini (Selasa). Mereka merupakan kelompok penjawat awam yang tersenarai daripada 1,784,843 juta pengundi.

Pilihan raya negeri kali ke-17 terpaksa diadakan memandangkan tempoh penggal ke-16 menghampiri titik akhir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah 6 Oktober lalu. DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, di mana enam daripadanya merupakan Adun yang dilantik.

Pecahan pengundi yang layak mengundi pada PRN kali ini iaitu 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

PKR menampilkan 10 calon dan DAP mengetengahkan tujuh calon, semuanya bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di 45 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di 55 Dun.

Parti Warisan Sabah, Parti Impian Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah masing-masing bertanding di semua 73 Dun. Perikatan Nasional pula tampil di 41 Dun, STAR (40), KDM (40), Parti Kerjasama Anak Negeri (26), SAPP (6) serta 17 calon bebas.

Calon bebas bergerak di bawah wadah yang dinamakan sebagai gelombang hitam. Hampir semua parti utama di Sabah sudah merasai berada dalam saf kerajaan. Malangnya kehidupan rakyat tidak banyak berubah.

Masih ramai rakyat tiada lot rumah sehingga terpaksa membina kediaman di atas air. Jalan yang menghubungkan antara bandar tidak setara dengan jalan di Semenanjung.

Dalam senarai parti-parti yang bertanding Perikatan Nasional hanya berada sekejap di kerusi kerajaan. Namun, selepas Hajiji keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Perikatan Nasional berada di posisi pembangkang.

Begitu juga Warisan hanya sekitar dua tahun mentadbir Sabah, sebelum membubar Dun bagi memberi laluan PRN ke-16.  

PN tampil dengan calon melalui saringan ketat, melepasi syarat dan baiah bagi mengelakkan adegan lompat yang pernah menimpa Warisan, Umno dan GRS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *