
MUNGKINKAH rakyat negara ini dihidangkan dengan ‘reform’ ala filem Tamil. Apa maksudnya. Filem Tamil sebagai simbol lakonan politik panjang dan penuh dramatis.
Sehingga sekarang rakyat masih lagi tertunggu-tunggu reform yang dijanjikan kerajaan Madani. Apa yang berlaku sekarang dianggap seumpama drama, sandiwara dan bukan perubahan sebenar.
Pemerhati politik tempatan Drs Zainuddin Awang Hamat bimbang rakyat semakin cuak dan cemuh dengan apa yang dihidang kerajaan sekarang.

“Gegak gempita rakyat diuar-uarkan bantuan SARA RM100 dan BUDI95. Sedangkan pada masa yang sama santan disakau oleh tauke dan pemimpin. Sebaliknya rakyat sekadar menerima hampas,” katanya di Pasir Puteh, Kelantan.
Baru-baru ini Sistem Bantuan MADANI RON95 (BUDI95) mengalami gangguan sistem menyebabkan pengguna terpaksa membayar petrol dengan harga RM2.60 seliter.
Seorang pengguna memberitahu tiada sebarang makna harga RON95 diturunkan sekiranya kerap berlaku gangguan sistem sehingga menyebabkan mereka terpaksa membayar RM2.60 seliter.
“Lebih baik kekal petrol RON 95 dengan harga lama,” ujarnya di Kota Bharu.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan antara kategori yang tidak layak mendapat subsidi petrol termasuk individu mempunyai lesen memandu tidak aktif, menggunakan lesen selain kelas diluluskan atau tiada rekod MyKad dalam data agensi.
Selain itu nombor MyKad yang tidak tersenarai sebagai pemegang lesen kereta atau motosikal aktif berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dikecualikan.
BUDI MADANI RON95 merupakan inisiatif kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia pada harga subsidi RM1.99 seliter.

Zainuddin yang juga bekas wakil rakyat bimbang SARA RM100 dan BUDI95 tidak menyelesaikan masalah rakyat kerana banyak syarat dikenakan sebelum dibenarkan mendapat subsidi.
Kata beliau juga protes rakyat sukar diukur kecuali di kertas undi.
“Dalam tempoh terdekat ini kita akan lihat gelagat sebenar rakyat Sabah melakukan protes di kertas undi pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.
“Sekiranya kempen pilihan raya berlangsung secara adil dan tiada politik wang bagi mengumpan undi di pedalaman, rakyat tentunya lebih berani bangkit menuntut hak mereka,” ujarnya.
Buktinya isu adik Zara ternyata mencetus keberanian politik rakyat Sabah. Sedangkan tidak pernah berlaku seumpama itu sebelum ini.

“Apakah gelombang di sebalik adik Zara menggambarkan rakyat Sabah mahu perubahan. Mereka enggan bersekongkol dengan pihak yang cuba menyembunyikan cerita sebenar di bawah karpet,” kata beliau.