Rakyat Kelantan teruja dulang emas

Oleh Syamimi Manah & Aslani M|
BUMI Kelantan mempunyai kekayaan sumber galian emas terutamanya di Gua Musang, Tanah Merah, Jeli, dan Kuala Krai. Lebih menarik lagi ketulenannya 999.
Ada laporan sebelum ini mendedahkan lebih 50 lokasi dikenal pasti berpotensi mempunyai emas di jajahan terbabit.
Pensyarah Kanan Jabatan Geosains Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Syakir Sulaiman memberitahu media setakat ini kawasan berkenaan belum teroka sepenuhnya.
Menurutnya kawasan yang dikenal pasti terdapat emas termasuk Kuala Balah, Sokor, Batu Melintang, Lawar, Kalai, Perasu, Pulai serta beberapa lokasi di Gua Musang.
Wujud Kelstone
Malah, kerajaan negeri sejak awal lagi mewujudkan Kelstone Sdn Bhd (Kelstone). Anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) diwujudkan pada 14 Februari 1996.
Kelstone berperanan membangunkan industri berasaskan sumber mineral di Kelantan. Selain itu mengurus sumber mineral termasuk melombong emas, memproses marmar, serta meneroka deposit mineral berharga termasuk nadir bumi.

Dan terbaru kerajaan Kelantan melulus pengeluaran lesen mendulang emas di bawah Enakmen Mineral 2001 sebagai langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem perlombongan negeri.
Langkah tersebut bagi membantu pelombong meneroka sumber emas secara profesional dan dapat memberi pulangan hasil kepada rakyat dan kerajaan negeri.
Sehingga sekarang pelbagai usaha dilakukan bagi mengeluarkan kekayaan emas yang terdapat di perut bumi Kelantan.
Antaranya kerajaan negeri melalui PKINK melaksanakan lima usahasama secara pajakan melombong dengan syarikat antaranya CMNM Mining Group Sdn Bhd; Prima Warisan Venture Sdn Bhd; Fortune Minerals Resources (FMR); Sri Damar Mine Trading Sdn Bhd dan Uzie Gold Mining Sdn Bhd.
Ini bermakna usaha untuk meneroka emas dan bahan galian lain sudah lama dilaksanakan bagi menambah sumber hasil negeri.
Ditamat lesen
Bagaimanapun ada beberapa syarikat perlombongan ditamatkan perjanjian pajakan atau usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri disebabkan gagal mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, sebelum ini berkata penamatan dibuat selepas semakan dan penilaian menyeluruh prestasi serta tahap pematuhan syarikat terbabit terhadap syarat ditetapkan.
Syarat yang ditetapkan termasuk kesan kepada alam sekitar dan tadbir urus yang baik. Setiap pelombong perlu mendapatkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum aktiviti dapat dijalankan.
Sehingga sekarang hanya beberapa syarikat besar yang berjaya meneroka perlombongan emas, memandangkan syarikat kecil berdepan masalah modal.
Ekoran penglibatan syarikat besar, ada pihak mendakwa kononnya kerajaan Kelantan menggadaikan kawasan emas kepada syarikat asing.

Tohmahan bersifat politik tersebut muncul ekoran Kelantan berjaya meningkatkan jumlah royalti daripada perlombongan emas selepas royalti petroleum dinafikan kerajaan Pusat.
Antara syarikat yang berjaya termasuk CNMC Goldmine Holdings Ltd yang berpangkalan di Singapura. Syarikat terbabit menjalin kerjasama dengan Kelstone sejak 2007.
Sokor, Tanah Merah
Menurut laporan CNMC mulai menghasilkan emas di Sokor pada 2010 selepas tiga tahun penerokaan. CNMC memberi tumpuan penerokaan ke atas prospek di Blok Sokor.
Dan pada Februari 2017 CNMC mengambilalih 51 peratus pegangan dalam Pulai Mining Sdn Bhd, untuk melombong emas, bijih besi dan feldspar di tapak kira-kira 38.41 kilometer persegi berhampiran Sokor.
CNMC turut menawarkan RM2.5 juta untuk 100 peratus pegangan saham dalam KelGold Mining Sdn Bhd, yang mempunyai hak untuk meneroka bijih besi, emas dan galian lain di kawasan seluas 8.7 kilometer persegi di Kelantan.

Pada laporan kajian akhir 2016 didapati terdapat sumber galian sebanyak 623,000 auns emas di Kelantan.
Kajian tersebut dilakukan Optiro Pty Ltd yang berpangkalan di Australia, menganggarkan 13.25 juta tan metrik sumber terdapat di medan emas 10 kilometer persegi yang diberi pajakan kepada CNMC.
Selain itu Niche Capital Emas Holdings Berhad (Nice) berjaya menghasilkan jongkong emas pertama dari loji pemprosesan emas di lombong emas Sokor utara di Kusial, Tanah Merah.
Nice memulakan operasi perlombongan emasnya pada tahun 2021 di atas tapak seluas 1,831 hektar di Daerah Ulu Kusial.
Kawasan berkenaan merangkumi Sokor Utara seluas 547 hektar, Sokor Tengah (373 hektar) dan Sokor Selatan (910 hektar) yang diberi lesen secara pajakan selama 12 tahun.

Berdasar pendedahan tersebut adalah tidak berbangkit Kelantan menggandaikan lokasi yang kaya emas kepada syarikat asing, memandangkan kawasan berkenaan diberi secara pajakan dan dikawal ketat kerajaan negeri.
Dan hari ini pelombong yang tiada modal besar turut menarik nafas lega kerana mereka juga diberi peluang untuk melombong melalui lesen mendulang yang diberi kerajaan engeri.
Timbalan Menteri Besar pada kenyataan memberitahu kerajaan mengeluarkan lesen kepada mereka yang berminat mendulang emas bermula 1 Januari 2026.
Lesen mendulang mulai dibuka pada 1 Januari lepas dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Kelantan (PTG).
Teruja mohon lesen
Oleh itu bagi meninjau peluang tersebut wartawan UPKN menemui beberapa pelombong yang datang memohon lesen di pejabat PTG di Kota Darulnaim baru-baru ini.

Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, pemilik lokasi perkelahan di Jeli, Teney Glamping memberitahu beliau ingin mencuba aktiviti mendulang emas walaupun tidak mempunyai pengalaman.
Katanya, beliau hanya ada sedikit ilmu tentang emas. “Saya nak cuba mendulang kerana saya ada buka glamping di Jeli,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan menyenarai kawasan yang digazet untuk mendulang sama ada ia melibatkan kawasan persendirian atau sungai-sungai tertentu.

Mohd Yusof Hanan, 53, dari Sungai Pinang, Tumpat turut teruja untuk mencuba aktiviti mendulang emas.
“Saya tidak biasa lagi mendulang emas, tapi teruja dengan pengeluaran lesen mendulang oleh kerajaan negeri.
“Peralatan sudah ada. Sebelum ni saya pernah pergi tinjau lokasi tertentu namun tidak boleh mendulang lagi sebab tiada lesen,” katanya.
Mohd Yusof menjelaskan mendulang emas secara berlesen boleh memberi pendapatan tambahan kepada rakyat Kelantan. Beliau bekerja sebagai tukang emas sejak lima tahun lepas turut merebut peluang memohon lesen mendulang emas di PTG.

Khalil Abdullah, 42, dari Tanah Merah berkata, langkah kerajaan negeri memberi lesen mendulang diharap dapat membantu penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi perlombongan mencari rezeki secara sah.
Langkah kerajaan Kelantan memberi lesen mendulang menggambarkan kerajaan negeri membuka peluang seluas-luas kepada rakyat dan bukan memilih syarikat yang bermodal besar sahaja meneroka emas.

