
KESATUAN Negara-negara Islam diharap dapat digembleng untuk memberi tekanan kuat terhadap Israel, demi membebaskan semua yang ditahan serta memastikan misi bantuan ke Gaza dapat diteruskan.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berharap rakyat Malaysia terus menzahirkan solidariti bersama misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Katanya, tindakan rejim Zionis menahan aktivis termasuk 12 rakyat Malaysia jelas mencabuli undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia.
“Tindakan ini bukan sahaja menafikan usaha kemanusiaan, bahkan memperlihatkan wajah sebenar kezaliman Israel yang sekian lama menindas rakyat Palestin.
“Kita hendaklah sama-sama panjatkan doa demi keselamatan mereka. Rakyat Malaysia berdiri teguh bersama perjuangan membebaskan Palestin,” katanya pada kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) sehingga jam 11 pagi tadi seramai 12 daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas semalam ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Mereka yang ditahan iaitu Zizi Kirana (Kapal Huga); Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Kapal Alma); Iylia Balqis Suhaimi (Kapal Alma); Sul Aidil (Kapal Alma); Haikal Abdullah (Kapal Sirius).
Selain itu Muhammad Muaz Zainal Abidin (Kapal Sirius), Zulfadhli Khiruddin (Kapal Sirius); Rusydi Ramli (Kapal Sirius); Nur Heliza Helmi (Kapal Hio); Nur Hazwani Afiqah Helmi (Kapal Hio); Farah Lee (Kapal Grande Blu) dan Danish Nazran Murad (Grande Blu).
Manakala sembilan lagi tidak diketahui status mereka dan dua lagi masih meneruskan pelayaran.

Ustaz Ahmad berharap seluruh umat Islam di negara ini memanjatkan doa berterusan dan solat hajat memohon pertolongan Allah SWT agar delegasi Global Sumud Flotilla sentiasa dalam lindungan-Nya.
“Kita doakan juga rakyat Palestin terus diberi ketabahan sehingga perjuangan mereka mencapai kemenangan,” ujarnya.