REE dibimbangi dimanipulasi AS tujuan senjata

BADAN bukan kerajaan (NGO) alam sekitar bimbang bahan nadir bumi (REE) di Malaysia yang akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS) digunakan bagi tujuan persenjataan.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mendakwa AS turut menyumbang persenjataan kepada Israel untuk melakukan genosida, penjajahan, penghalauan dan pembunuhan di Palestin.
“Apakah kerajaan kita tegas dalam hal itu?” kata Setiausaha KUASA Hafizudin Nasarudin.
Pada 26 Oktober lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik.

Perjanjian strategik tersebut termasuk berkaitan menggiatkan lagi usaha eksplorasi khususnya membabitkan unsur nadir bumi.
Hafizudin menjelaskan REE merupakan sumber mineral berharga untuk teknologi moden dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
Ia digunakan dalam penghasilan telefon pintar, gajet, kenderaan elektrik, bateri solar, teknologi mesra alam dan komponen penting dalam industri pertahanan dan aeroangkasa.
Selain itu pembuatan persenjataan, peluru berpandu, enjin jet, sistem satelit dan pelbagai teknologi ketenteraan lain.
KUASA menegaskan rakyat harus khuatir Malaysia masih belum mempunyai kerangka dasar yang jelas, menyeluruh dan tegas bagi memastikan eksplorasi serta perlombongan REE dijalankan secara lestari dari segi alam sekitar, sosial dan keselamatan global.
Ia termasuk memastikan bahawa sumber REE negara tidak disalahgunakan bagi tujuan konflik bersenjata, penindasan atau menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan yang menyumbang kepada genosida dan peperangan.
“Bagi sektor alam sekitar pula, hasil semakan kami mendapati terdapat beberapa Garis Panduan atau Standard Operating Procedure (SOP) REE sedia ada termasuk di Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan yang telah diadaptasi di peringkat nasional.
“Namun setelah diperhalusi, SOP tersebut masih tidak lengkap khususnya dalam mengawal pencemaran dan penguatkuasaan alam sekitar daripada penggunaan bahan kimia perlombongan dan tidak mengikat secara undang-undang,” ujarnya pada kenyataan.
Kata beliau Malaysia belum mempunyai peruntukan jelas mengenai kawalan pencemaran, penalti atau mekanisme penguatkuasaan undang-undang terhadap pencemar REE di bawah peraturan sedia ada.

Tiada peraturan jelas
Selain itu, dalam proses kawal selia dan penggubalan protokol perlombongan REE penyertaan pihak berkepentingan tempatan, khususnya komuniti Orang Asli dan penduduk begitu penting dalam proses penggubalan dasar SOP tersebut.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan besar terhadap tahap ketelusan dan keberkesanan kawal selia aktiviti perlombongan REE di negara ini.
“Dengan dasar baharu ini, Malaysia dijangka akan mempercepatkan dan memperluas aktiviti perlombongan REE di pelbagai negeri,” tambahnya.

Malah, berdasar semakan KUASA terhadap peta deposit mineral REE, banyak yang bertindih dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.
Perkara itu berpotensi memberi kesan buruk terhadap komuniti hutan, kawasan tadahan air serta kawasan sensitif alam sekitar.
Hafizudin menegaskan berdasar pengalaman KUASA memantau perlaksanaan pembangunan melibatkan kawasan hutan sensitif, banyak projek pembalakan, perlombongan dan perladangan gagal mematuhi zon penampan serta perancangan yang ditetapkan.
Selain itu, trek rekod yang lalu Malaysia berdepan dengan banyak kes perlombongan REE haram, di mana mineral tersebut dibawa keluar dalam bentuk ‘selut’ tanpa permit sah.
“Situasi itu membuktikan kelemahan serius dalam penguatkuasaan. Maka, kebimbangan terhadap pelombongan REE ini adalah berasas dan wajar dipandang serius oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
