Resepi politik Kelantan menjalar ke Pahang

Oleh M Faqih |
Pada pilihan raya umum (PRU) lepas Perikatan Nasional (PN) hanya menyasarkan dua kerusi Parlimen di Pahang, namun akibat gelombang rakyat PAS-PN berjaya meluaskan pengaruh ke wilayah Pahang barat. PN menguasai Parlimen Jerantut, Maran, Kuala Krau, Kuantan dan Temerloh. PN mengekalkan kerusi Indera Mahkota melalui Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
PN juga merampas parlimen Rompin daripada BN melalui Datuk Abdul Khalib Abdullah. Beliau merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Pahang yang baharu menggantikan Saifuddin.

Peluang lebih terbuka lagi sekiranya sentimen orang Melayu menolak DAP dan PH terus menjalar menjelang PRU-16. Ia boleh mengulangi apa yang berlaku di Sabah akhir tahun lepas.
Konfrontasi Umno-DAP tidak mampu disembunyikan lagi. Lebih-lebih lagi isu penerokaan tanah kerajaan secara haram begitu berleluasa di Pahang.
Media melaporkan lebih 10,500 hektar tanah terlibat dengan penaman durian musang king secara haram di Raub. Malah, isu tersebut juga mendapat perhatian serius Sultan Pahang.
Baginda turun padang meninjau lokasi yang terlibat dan mahu tindakan penguatkuasaan dipertingkat untuk menghentikan aktiviti penerokaan haram tersebut.
Pekebun haram tersebut khabarnya dibela pemimpin DAP. Berikutan itu pada Julai 2023 Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli memberi amaran kepada Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Beliau menuntut wakil rakyat DAP menghentikan tindakan menjadi juara dan pembela pekebun haram durian Musang King di Raub.

Pada November 2024 Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membongkar ladang durian ditanam secara haram di tanah milik kerajaan di kawasan Sungai Perdak, Sabai dekat Bentong.

Pencerobohan dikesan berlaku membabitkan kira-kira 1,000 ekar yang terletak di kawasan tersorok di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan. Lokasi itu juga tidak jauh dari sempadan Negeri Sembilan.
Berdasarkan longgokan isu tersebut peluang BN atau PN merampas parlimen Bentong semakin terbuka. Pada PRU lepas PH hanya menang dengan majoriti 625 undi melalui Young Syefura Othman.
Ketika itu BN diwakili Datuk Seri Liow Tiong Lai (MCA) dan Datuk Roslan Hassan (PN-Bersatu). BN pula bimbang hilang kerusi parlimen Paya Besar pada PRU-16 memandangkan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah hanya menang majoriti 1,317 undi.
Kubu Umno
Penguasaan BN sejak merdeka di Lipis juga dilihat tergugat apabila pengaruh PN-PAS semakin berkembang. Dun Padang Tengku hanya dimenangi Mustapa Long dari BN dengan majoriti 507 undi. Beliau meraih 7,198 undi pada PRU lepas berbanding calon PN, Khaider Kamil mendapat 6,691 undi. Manakala Ruzinata Yusof dari PH (1,203 undi).
Peluang PN juga terbuka di Dun Dong memandangkan calon BN Fazdzli Kamal hanya menang 6,142 undi, berbanding PN Tengku Amir (5,096 undi) dan PH Mohd Jawaad (2,309 undi).
Dun Semambu yang dikuasai PH pada PRU lepas juga boleh tergugat. Dun terbabit dimenangi Chan Chun Kuang (PH) dengan mengumpul 18,902 undi berbanding Zulfadli Zakariah (PN) 17,098 undi dan Khairul Hisham (BN) 10,422 undi.
Kekuatan BN di Dun Inderapura juga makin pudar apabila Datuk Sri Shafik Fauzan menang 7,029 undi berbanding Hafizal dari PN (6,107 undi), manakala Fakhrul Anuar (PH) 2,030 undi.
Penguasaan PN di Chini pula meningkat apabila Razi Jalal mendapat 8,463 undi pada PRU lepas berbanding Mohd Sharim (BN) 10,588 undi dan Mohamad Yazid (PH) 833 undi. Tumpuan PN juga menjalar ke Dun Kerdau yang dimenangi Syed Ibrahim (BN) dengan jumlah 6,531 undi, berbanding Arhan Saludin (PN) 4,602 dan Ahmad Arif (PH) 988 undi.
Peluang PN di Dun Muadzam Shah begitu cerah memandangkan Ir Razali (BN) menang 10,990 undi berbanding Jaafar Mustafa (PN) 9,756 undi dan Norlaily Forizad (PH) 1,523 undi.
Begitu juga di Tioman, Datuk Sri Mohd Johari dari BN menang 8,080 undi, manakala Idaya Hisham (PN-PAS) mengumpul 7,507 undi dan Mohd Fazdli Mohd Ramly (PH) 784 undi.

Mengulas perkembangan itu Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang Ahmad Azlan Abu Bakar CA berkata, PAS Pahang melalui perjalanan politik yang panjang, mencabar dan penuh pengajaran sejak PRU-10 sehingga PRU-15.
Katanya, pada PRU-10 (1999), PAS Pahang mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan memenangi 6 kerusi Dun. Namun, PAS jatuh mendadak pada PRU-11 (2004) apabila hilang semua kerusi Dun.
“Fasa tersebut merupakan ujian paling getir, namun PAS memilih jalan muhasabah, pembaikan dan pengukuhan dalaman. Kebangkitan semula bermula secara berperingkat pada PRU-12 (2008) dengan kejayaan meraih 2 kerusi Dun, diikuti peningkatan kepada 3 kerusi pada PRU-13 (2013).
“Lonjakan besar berlaku pada PRU-14 (2018) apabila PAS Pahang memenangi 8 kerusi Dun, dan kemuncaknya pada PRU-15 dengan meraih 15 kerusi Dun,” katanya pada kenyataan.

Penentu
Menurutnya keputusan itu membuktikan PAS bukan lagi sekadar pembangkang pinggiran, sebaliknya muncul sebagai kuasa penentu politik Pahang. Kata beliau kejayaan terbabit didorong gelombang kebangkitan rakyat bersama PN yang menolak politik lama dan menuntut pentadbiran negeri lebih adil serta telus.
“Dengan asas kekuatan tersebut PAS Pahang memasuki PRU-16 dengan keyakinan yang kukuh untuk merealisasikan Misi Teraju Pahang,” katanya.
Impian tersebut ada asasnya memandangkan kerusi Dun yang dimenangi BN sejak PRU-12 hingga PRU-15 merekodkan penurunan secara konsisten.

Pada PRU-12 BN menang 38 kerusi, PRU-13 menurun kepada 30 kerusi, PRU-14 turun lagi kepada 25 kerusi dan PRU-15 terus merosoot kepada 17 kerusi. Trend penurunan berterusan tersebut membuktikan dominasi politik BN di Pahang semakin terhakis dan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut terus merosot.
Dun Pahang mempunyai 42 kerusi dan majoriti mudah membentuk kerajaan ialah 22 kerusi. Berdasar kedudukan sekarang PN hanya memerlukan lima kerusi bagi mendapat majoriti mudah pada PRU-16.
Ahmad Azlan berhujah unjuran itu selari dengan perkembangan sokongan rakyat, khususnya pengundi muda, Melayu luar bandar serta gelombang pengundi baharu. Kesungguhan PAS dan PN dalam misi merubah landskap politik Pahang terbukti apabila transformasi tagline bermula dengan PAS Tawan Pahang semakin mendapat sambutan.
Dan bagi meraih simpati lebih menyeluruh ditukar pula kepada tema PN Teraju Pahang dan sekarang Hogoh Jelai. Pada 20 Oktober lepas diadakan program ‘Hogoh Jelai’ di Lipis.
Kehadiran PN di Jelai ternyata mengundang resah Wan Rosdy yang juga Pengerusi Umno Pahang. Pada kenyataan sebelum ini beliau mengalu-alukan penyokong PAS meneruskan Siri Jelajah PN ke Jelai.

Bagi Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, penganjuran ‘Hogoh Jelai’ membuatkan kerajaan negeri yang diterajui BN-PH dalam keadaan terdesak.
Pada PRU lepas Tuan Ibrahim berjaya memecahkan kubu Umno di Lipis apabila menang kerusi Dun Cheka. Beliau memperolehi 5,634 undi mengatasi calon BN yang juga Pengerusi MCA Lipis, Ho Fong Mee yang mendapat 4,411 undi.
Calon PH Rashid Mohamad pula meraih 2,255 undi. Penguasaan BN di Dun Padang Tengku juga kemungkinan terjejas memandangkan Datuk Mustapa Long hanya menang majoriti 507 undi.

Beliau memperolehi 7,198 undi berbanding calon PN, Muhamad Khaider Kamil (6,691 undi). Ruzi @ Nata Yusoff dari PH pula mendapat 1,203 undi.

‘Misi Teraju Pahang’ PAS-PN boleh menjadi kenyataan dengan syarat gerak kerja lebih tersusun. Agenda culaan kecederungan pengundi juga perlu diatur lebih awal.
“Selain itu pastikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat mampu berperanan dengan baik dan berkesan biarpun terpaksa menggunakan dana sendiri,” kata pemerhati politik tempatan Datuk Dr Wan Nik Wan Yussof.
Lipis yang dikenali kubu tradisi Umno sejak merdeka kini berjaya dipecahkan. Antara fakturnya orang Kelantan ramai berhijrah ke Lipis sejak berpuluh tahun lalu. Situasinya serupa dengan apa yang berlaku di Jengka.
