RM6,000 sebulan kos diesel jana elektrik

Oleh M Faqih

TIADA siapa sangka di kawasan hutan belantara terdapat sebuah pusat pengajian agama. Kawasan itu terletak jauh daripada perkampungan.

Biarpun kedudukan agak terpencil, namun kewujudan Madrasah Tarbiah Al-Aulad menukar suasana di tempat itu.

Sekarang berdiri sebuah masjid senibina antik dua tingkat sedang dalam pembinaan, deretan  pondok pelajar, rumah mudir, tempat memasak, tandas dan warung kecil.

Pondok tersebut dibangunkan di tepi Sungai Kenerong Dabong, Kuala Krai. Lokasi itu terletak kira-kira 2.6 kilometer dari jalan Jeli-Gua Musang.

Pondok Sungai Kenerong diasas pada 11 November 2011 oleh arwah Ustaz Mohd Samsudin Dollah (Pak Teh). Pusat pengajian agama terbabit mulai dikenali ramai ketika berlaku banjir besar pada Disember 2014.

Biarpun Sungai Kenerong terletak bersebelahan, namun terjahan deras air bah tidak merosakkan pondok.

Mudir pondok terbabit Ustaz Firdaus Mohd Samsudin berkata, ketika itu paras banjir di sekitar pondok hanya setakat betis, namun aliran air begitu kuat.

Beliau menceritakan pelajar tidak berani mengharungi air bah kerana terjahan air yang mengalir dari hulu sungai begitu kuat.

“Namun alhamdulillah deretan rumah pondok pelajar yang dibuat daripada kayu terletak di tebing sungai tidak rosak dan hanyut.

“Ini kepelikan yang berlaku sehingga ia tular di merata tempat menyebabkan Sungai Kenerong dikenali ramai,” katanya ketika ditemui pondok terbabit di Jelawang, Dabong baru-baru ini.

Bermula daripada peristiwa itu orang ramai mulai bertandang ke Pondok Sungai Kenerong. Pondok terbabit sekarang didiami 30 pelajar yang datang daripada pelbagai tempat.

Mereka menuntut ilmu agama yang kini dikendalikan tiga guru iaitu anak kepada arwah Pak Teh. Sebelum ini ada dari datang dari luar Kelantan termasuk Terengganu dan Johor menuntut ilmu di situ.

Pusat pengajian pondok tradisional terbabit dibangunkan di kawasan seluas lapan ekar. Sebelum diteroka kawasan itu merupakan hutan simpan.

Arwah Pak Teh memohon kebenaran daripada kerajaan negeri bagi membangunkan pondok agama di kawasan terbabit.

Pondok Kenerong sekarang seumpama sebuah perkampungan di tengah hutan.

Dan tidak jauh dari situ terdapat sebuah mini hidroelekrik yang dikendalikan syarikat swasta.

Laluan ke mini hidro tersebut melalui kawasan pondok. Sekarang kerajaan membina jalan tar yang boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan.

Malangnya sehingga sekarang pondok tersebut terpaksa menggunakan generator siang dan malam bagi membekalkan kuasa elektrik.

“Kami menggunakan generator kecil pada siang hari. Elektrik dibekal ke masjid dan rumah pengasas pondok.

“Dan mulai Maghrib kami menghidupkan pula generator yang lebih besar bagi membekalkan elektrik ke masjid, pondok pelajar dan rumah guru. Setiap bulan kira-kira RM6,000 dibelanjakan untuk membeli diesel,” ujarnya.

Jumlah RM6,000 setiap bulan bukan sesuatu yang kecil, lebih-lebih lagi sebuah pusat pengajian agama di kawasan pedalaman. 

Namun, usaha gigih Ustaz Firdaus dan warga pondok mencari dana membolehkan mereka menghidupkan generator.

Di kawasan pondok juga ada beberapa tiang lampu menggunakan panel solar yang dipasang penyumbang termasuk badan bukan kerajaan.

Kawasan itu juga sering menjadi lokasi aktiviti amal pelbagai pihak. Mereka menyumbang pelbagai kemudahan asas bagi kegunaan warga Pondok Kenerong.

Ditanya mengapa tidak mengusahakan mendapat bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) kata beliau, pihak terbabit mensyaratkan tanah pondok kena ada geran.

“Bekalan elektrik TNB tidak dapat dipasang kerana belum ada geran tanah. Kawasan ini merupakan lokasi hutan simpan yang diberi kebenaran untuk mendirikan pondok oleh kerajaan negeri.

“Selain itu pihak berkenaan mencadangkan dibina pencawang sebelum dilulus bekalan elektrik ke kawasan pondok,” tambah beliau.

Halangan itu agak menyukarkan Pondok Kenerong mendapat bekalan elektrik daripada TNB. Namun begitu mereka mendapat bekalan air percuma yang ditandak daripada puncak bukit.

Bagi mereka yang pertama kali menjejaki masjid di pondok tersebut mungkin terkejut kerana terpaksa mengharungi takungan air mengalir sebelum masuk ke dalam masjid.

Air dibiarkan mengalir di paras buku lali di kawasan takungan bagi membersihkan kaki orang ramai yang mahu memasuki masjid.

OLeh itu bagi membantu membangunkan Madrasah Tarbiah Al-Aulad Pondok Sungai Kenerong Dabong, orang ramai boleh hubungi +60 12-240 2204. Atau

sufian.ariqaisyah2204@gmail.com

Anda juga boleh layari https://www.facebook.com/pondokdabong

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *