
SALMAH MAT HUSAIN
DEMAM Himpunan RXZ Members yang bermula di Terengganu pada 2017 kini menjalar ke seluruh negara.
RXZ Gathering kali pertama diadakan Litar Permotoran Terengganu pada tahun 2017 selepas litar yang bernilai RM12.7 juta siap dibina.
Litar itu boleh menampung 1,500 penonton di litar dan 25,000 di perkarangan litar. Kompleks litar dibina di kawasan seluas 2.4 hektar, dilengkapi litar cub prix sepanjang 1.35km dan Sprint Test 0.95km.
Biarpun litar terbabit dibina kerajaan Barisan Nasional (BN), namun perhimpunan RXZ diteruskan kerajaan PAS selepas mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya umum 2018.
Setiap kali perhimpunan RXZ diadakan, Menteri Besar Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri tidak ketinggalan menyertainya. Kerajaan negeri juga memberi sokongan padu.
Namun, malangnya pada Ogos lepas acara ‘kegilaan’ ramai anak muda itu tidak lagi mengundang wakil kerajaan negeri biarpun ia diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak.
Penganjur Himpunan RXZ Members 7.0 sebaliknya menjemput Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Dato’ Seri Shamsul Iskandar.
Dr Ahmad Samsuri mendakwa kerajaan negeri tidak diundang menyertai program RXZ Members 7.0.
“Apa boleh buat, bila politik memanjang 24 jam sehari dengan syarat itu dan ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Berikutan itu pihak penganjur tampil mengakui kekhilafan berhubung isu jemputan rasmi kepada kerajaan negeri.

Sebelum berlangsung himpunan tersebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumum melulus dana RM100,000 bagi menjayakan himpunan RXZ di Terengganu.
Bagaimanapun dana ditambah sebanyak RM200,000 lagi menjadikan Program RXZ Members 7.0 menerima sumbangan perdana menteri sebanyak RM300,000.
Himpunan di Kota Bharu
Mengambil kira demam RXZ melanda anak muda di seluruh negara sejak tujuh tahun lalu, himpunan serupa dibawa ke Kelantan pula tahun hadapan.
RXZ Forever Legend dijangka dapat menghimpunkan lebih 50,000 peserta pada 6 dan 7 Februari 2026.
Program dua hari itu dijangka menjana pulangan ekonomi melebihi RM15 juta, yang akan berlangsung di RTC Tunjong.
Pengerusi Kelab Pemilik RXZ Kelantan, Asmal Azim Hasim berkata, penganjuran tersebut bakal memberi impak besar terhadap ekonomi melalui perbelanjaan pengunjung dalam tempoh program berlangsung.

Katanya, pulangan itu berdasarkan perbelanjaan makanan, minuman dan penginapan setiap pengunjung.
“Bayangkan setiap pengunjung membelanjakan sekitar RM300 selama dua hari di Kelantan. Dengan kehadiran lebih 50,000 orang, jumlah pulangan boleh mencecah lebih RM15 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran RXZ Forever Legend yang diadakan di sebuah hotel di Tunjong Kota Bharu semalam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Ahli Jawatankuasa Portfolio Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Mohd Almidi Jaafar.
Penganjur menyasarkan kehadiran peminat motosikal RXZ dari seluruh negara.
Program terbabit juga menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penggemar motosikal dan memperkenalkan budaya permotoran secara positif.
“Kita mahu himpunan ini membina kerjasama ekonomi setempat serta membentuk peserta menjadi penunggang berhemah,” ujarnya.