SALMA HUSIN

KOTA BHARU: Sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 29 dan 30 September ini, kerajaan negeri mengisytiharkan cuti umum pada hari berkenaan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, cuti berkenaan tidak melibatkan hari Ahad (28 September) kerana ia merupakan hari bekerja di Kelantan.
Bagaimanapun katanya, bagi sekolah-sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dibenar membuat permohonan cuti pada Ahad.
“Namun sekolah terbabit perlu membuat permohonan cuti dan ia perlu diganti pada hari Sabtu.
“Pengarah YIK memohon permohonan cuti ganti daripada kerajaan. Sekiranya ada sekolah perlu cuti boleh mengemukakan permohonan dan YIK sedia menimbang,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, di sini hari ini.
Kata beliau hari Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu di Kelantan, manakala Ahad hari bekerja.
Menurutnya juga pegawai dan kakitangan kerajaan yang memerlukan cuti pada tarikh itu perlu membuat permohonan cuti seperti biasa.
“Saya berharap penjelasan ini dapat mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat dan warga perkhidmatan awam negeri,” katanya.