Cuit Oghe Kito

Selepas UEC apa lagi tuntutan DAP

Oleh M Faqih

ADA pihak berhujah sekiranya tuntutan DAP yang mahu kerajaan Madani mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate – UEC) berjaya, maka lebih banyak perkara lain muncul.

Cuba kita fahami apa itu UEC. Sijil peperiksaan terbabit dikendalikan Dong Zong (Dong Jiao Zong) sejak tahun 1975. UEC mempunyai tiga tahap utama iaitu Junior Middle Level (JUEC), UEC Vokasional (UEC-V) dan Senior Middle Level (SUEC).

Bahasa Cina digunakan sebagai bahasa pengantar utama, manakala beberapa subjek tertentu turut ditawarkan dalam Bahasa Inggeris.

Jelas UEC bukan peperiksaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebaliknya ia dikendalikan Dong Zong. Ini bermakna ada pihak lain yang dibenar mengendalikan peperiksaan bagi sekolah persendirian Cina.

Maka timbul isu berkait dengan dasar Bahasa Kebangsaan, Akta Bahasa, keseragaman sistem pendidikan, integrasi nasional dan Perlembagaan Persekutuan.

Di Malaysia biarpun sudah lama wujud banyak aliran dalam sistem pendidikan, namun ia masih terikat kepada sistem pendidikan kebangsaan. 

Sistem Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas menengah dan  pendidikan tinggi.

Sebelum kedatangan penjajah, sekolah pondok (agama) menjadi teras sistem pendidikan di Tanah Melayu. Anak-anak Melayu belajar di pondok dan ada yang meneruskan pengajian ke Timur Tengah.

Namun, selepas kedatangan penjajah sistem itu cuba dirombak. Penjajah British membawa masuk imigran dari China dan India.

Pendidikan berdasar kaum

Kemudian penjajah memperkenalkan sistem pendidikan berdasarkan kaum (vernakular) dengan mewujudkan sekolah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Sekolah terbabit berasingan dengan bahasa pengantar dan kurikulum berlainan. Tujuannya bagi mengukuhkan dasar ‘pecah dan perintah’ bagi membolehkan sumber kekayaan hasil bumi Malaya dibolot penjajah.

Dan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sistem Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan. Bagaimanapun sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 masih dikekalkan.

Bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan. Kurikulum Kebangsaan hendaklah digunakan di semua sekolah.

Begitu juga sekolah agama termasuk yang terdapat di Kelantan, masih terikat dengan kurikulum kebangsaan. Malah, sebelum ini Yayasan Islam Kelantan (YIK) pernah mengendalikan peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU), namun dimansuhkan selepas Kementerian Pendidikan mewujudkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sedangkan ketika itu banyak negeri di Malaysia menggunakan kertas peperiksaan STU dikendalikan YIK termasuk sekolah agama dari negara Asean.

UEC silibus dari luar

Bagaimana pula dengan UEC. Silibus UEC berasal dari Taiwan dan dikelolakan Dong Zong. Begitu juga kurikulum yang diguna pakai di sekolah-sekolah persendirian Cina dianggap bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Inilah isu sebenar menyebabkan ramai curiga terhadap UEC. Namun kerajaan masih membiarkan ada pihak lain mengendalikan peperiksaan mengikut acuan mereka.

Kebejatan itulah yang menyebabkan isu perpaduan nasional tidak pernah selesai. Biarpun banyak wang dicurahkan bagi memupuk semangat perpaduan, namun realiti yang berlaku di bawah tidak begitu. Lompangnya kerana membiarkan ada pihak mengendalikan sekolah mengikut acuan mereka.

UEC bukan sekadar membolehkan pelajar sekolah persendirian Cina mahir bahasa Mandarin, sebaliknya menyebabkan perpaduan rakyat semakin renggang.

Sejak penggal pertama UEC diperkenalkan pada tahun 1975 sehingga 2018 UEC sudah menjangkaui penggal yang ke-44. Menurut laporan Dong Zong jumlah kumulatif pelajar UEC sehingga 2018 seramai 645,699 orang.

Ia meliputi 252,705 orang dari menengah tinggi, 384,356 (menengah rendah) dan 8,638 orang (teknik dan vokasional).   

Maka peluang kuasa politik yang masih bersisa dimiliki Pakatan Harapan (PH), DAP mahu memanfaatkan sepenuhnya. Malah PH dilapor pernah menyenarai pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

Manifesto itu memperjuangkan supaya pelajar dari sekolah persendirian yang mencapai kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon kemasukan ke institusi pengajian awam menggunakan keputusan UEC.

Dan pada 2022 DAP sekali lagi memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya. Malah kerajaan era sebelum ini dikatakan terperangkap dengan agenda Dong Zong. UEC dibenar dilaksanakan di sekolah swasta pada 1975 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui Kementerian Pelajaran.

Dan pada 2012 pula Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Razak mengiktiraf UEC bersyarat bagi pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina.

Apakah langkah DAP itu bagi menarik semula sokongan masyarakat Cina selepas parti itu kecundang teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 29 November lepas. Semua kerusi DAP di kawasan bandar di Sabah tewas.

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menyifatkan isu UEC yang sudah lama ‘sejuk’ dihangatkan kembali DAP atas kepentingan politik.

Armada menolak pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), perkhidmatan awam serta sektor berkaitan.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid menyifatkan isu UEC sengaja dimainkan semula susulan kekalahan teruk DAP pada PRN Sabah.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pada kenyataan dilapor memberitahu DAP akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta UEC diiktiraf. Kor Ming dilapor berkata demikian pada majlis makan malam amal di Sekolah Menengah Hua Lian di Taiping baru-baru ini.

Dong Zong pula pada kenyataan sebelum ini mendakwa pengiktirafan UEC tidak bercanggah dengan dasar pendidikan negara, di samping tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kata beliau Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, di samping menjamin hak rakyat untuk mempelajari, menggunakan dan mengajar bahasa-bahasa lain.

Langgar Perkara 152 Perlembagaan

Benarkah begitu. Sedangkan pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad menyifatkan UEC secara terang-terangan melanggar Perkara 152 Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pendidikan 1996.

Kata beliau sekiranya kerajaan masih mahu meneruskan niat untuk mengiktiraf sijil UEC, bermakna keputusan itu satu kesalahan undang-undang di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Perkara (2) akta berkenaan dimaktubkan bahawa: “Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi: Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana- mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi,”.

Hujah serupa ditegaskan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob. Baginya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mesti menyokong sistem pendidikan kebangsaan.

Umno tolak UEC

Katanya mengiktiraf UEC bukan sahaja tidak patriotik, malah mencabar semangat kebangsaan kerana UEC tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan tidak berasaskan kurikulum kebangsaan.

Isu UEC turut memperlihatkan pertembungan sesama parti mendukung kerajaan Madani. Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan jangan kerajaan dipaksa mengiktiraf UEC dan menyamaratakan kelayakan tersebut.

“Ini kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional. Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan.

“Dan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya,” katanya pada kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *