Semenanjung Melayu Segenting Kra ke Tanjung Piai

Oleh M Faqih |
JANGAN terkejut berdasar kajian lama, Semenanjung Melayu sebenarnya mengunjur sepanjang 1,355 kilometer dari Segenting Kra di Thailand ke titik paling selatan di Tanjung Piai, Johor Malaysia.
Buktinya sebelum wujud garis sempadan antarabangsa yang merentasi perbukitan Bukit Puteh di Perlis sehingga ke Sungai Golok (Kolok)-Rantau Panjang dan Tak Bai-Pengkalan Kubor di Kelantan, wilayah berkenaan didiami majoriti orang Melayu.
Perkampungan masyarakat Melayu di Satun dipisahkan dengan Kedah dan Perlis, biarpun penduduk di wilayah terbabit bertutur loghat Kedah.
Kampung Ko Puyu (Pulau Puyu) dan Kampung Ko Yao (Pulau Panjang) didiami hampir 100 peratus masyarakat Melayu terletak kurang dari 20 kilometer dari Kuala Perlis, namun selepas perjanjian Bangkok 1909 ia berada di sebelah Thailand.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli menjelaskan masyarakat di situ bertutur menggunakan loghat Kedah.
Namun, garis sempadan yang dilukis secara sesuka hati oleh British dan Siam pada 1909 menyebabkan orang Melayu Ko Puyu dan Ko Yao dipisahkan daripada saudara-saudara mereka di Kedah dan Perlis.
Begitu juga Sungai Golok dijadikan sempadan negara di antara Malaya dan Siam, memisahkan masyarakat Melayu di Kelantan dengan keluarga mereka di Yala, Patani dan Narathiwat.
“Sejak berkurun kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu melampaui wilayah moden Semenanjung Malaysia sehinggalah Perjanjian British-Siam dimeterai pada tahun 1909 tanpa rela pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu.
“Perjanjian British-Siam 1909 tidak dirujuk kepada sultan-sultan Melayu mengakibatkan berlaku kesan sosio-demografi seperti yang terhidang sekarang,” katanya seperti dilapor laman berita pada 2016.

Marginalisasi
Berdasar catatan sejarah berlaku penghijrahan besar-besaran kira-kira 250,000 orang Siam daripada utara ke wilayah Patani pada antara 1908-1963.
Kesan daripada polisi tersebut komuniti masyarakat Melayu Islam Patani mengalami marginalisasi akibat tekanan oleh pemerintah setempat. Marginalisasi merupakan proses peminggiran yang melibatkan usaha membatasi peranan kelompok tertentu. Kerajaan Siam juga memperkenalkan dasar Thesapeban, sebagai perintis penindasan ke atas masyarakat Melayu Islam.
Kemudian diperkenalkan dasar Rathaniyom sebagai proses asimilasi melalui identiti dan budaya. Manakala dasar Nikhom Sang Kon Eng pula sebagai usaha kerajaan Siam untuk mengurangkan jumlah majoriti masyarakat Melayu-Islam di kawasan selatan Thailand.
Kajian Haslindawati Saari pula mendapati masyarakat Melayu-Islam Patani ditindas dalam pelbagai aspek sama ada aspek politik, ekonomi dan sosial.
Kata beliau sejarah kekejaman pentadbir Siam-Thai yang menjalankan proses marginalisasi melalui pengasimilasian merupakan rancangan politik dan sosioekonomi kerajaan Siam ketika itu.
Polisi yang dilaksanakan kerajaan Siam tersebut bertujuan mengukuhkan dasar politik ‘Negara Thai Untuk Bangsa Thai’.

Polisi
“Kerajaan Thailand bukan sahaja mengubah populasi penduduk Islam tetapi turut mengancam ekonomi dan pendapatan penduduk setempat. Keseimbangan demografi di Patani diubah setelah masyarakat Thai-Buddha digalakkan berpindah ke sana.
“Dasar-dasar yang dilaksanakan diibarat sebagai virus yang disebar oleh kerajaan untuk melumpuhkan imunisasi masyarakat Melayu Islam Patani.
“Berikutan itu masyarakat Melayu Patani terpaksa mengubahsuai diri dengan mengikut perancangan kerajaan Siam-Thai.
“Tetapi tidak sepenuhnya masyarakat Melayu berpakaian, berbahasa dan berfikiran seperti Siam-Thai, malah mereka tetap utuh dengan pegangan Islam,” katanya pada kajian disiarkan Asian Journal of Environment, History and Heritage UKM.
Selepas lebih 100 tahun berlalu, sekarang orang Melayu di Thailand sudah mampu menyesuaikan diri dengan proses transmigasi dari wilayah selatan ke Bangkok.
Tidak lagi sepadan dengan teori lama, migrasi dari utara ke selatan. Sekarang sudah terbalik, transmigasi selatan ke Bangkok semakin rancak.
Berlaku pemindahan orang Melayu terutamanya generasi muda ke Kota Metropolitan Bangkok bagi mengisi peluang pekerjaan di pelbagai sektor termasuk kerajaan.

Mereka ataranya Arina, 31 berasal dari Narathiwat. Beliau sudah enam tahun bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Bangkok.
Sebelum melamar pekerjaan di Bangkok beliau mengikuti kursus bidang kejururawatan di sebuah hospital Narathiwat.

Manakala rakannya Arisa, 34 tiga tahun berkhidmat sebagai jururawat. Mereka bekerja di Hospital Thonburi yang terletak di Soi Itsaraphap 44, Jalan Itsaraphap, Mukim Ban Chang Lo, Daerah Bangkok Noi.
Hospital terbabit dikendalikan swasta di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Thonburi. Hospital Thonburi ditubuh pada 10 Mei 1977 menyediakan pelbagai kepakaran khususnya bidang ortopedik, neurologi, gastrointestinal dan hati, kardiovaskular, obstetrik & ginekologi serta urologi.
Ia dilengkapi tujuh pusat khusus iaitu Pusat Jantung, Pusat Kanser, Pusat Neurologi, Pusat Gastrointestinal & Hati, Pusat Tulang & Sendi, Pusat Wanita dan Klinik Urologi.

Kuat iman
Arina dan Arisa tinggal di Ramkhamheng, Bangkok dan dua bulan sekali balik ke kampung untuk menemui keluarga.
“Bagi kami tidak ada masalah untuk tinggal dan bekerja di Bangkok biarpun tempat itu terkenal dengan kehidupan bebas. Kita kena kuatkan iman bagi mengelakkan terpengaruh dengan budaya bebas dan Barat yang sudah lama menular di Bangkok.
“Lagipun ramai orang Melayu-Islam tinggal di Bangkok. Ada yang berniaga, berkhidmat dengan kerajaan dan syarikat swasta,” ujarnya ketika ditemui.

Hari ini ramai orang Melayu bekerja dengan kerajaan Siam terutamanya sebagai pegawai di kerajaan tempatan, pentadbir, guru, syarikat antarabangsa dan pelbagai lagi.
Begitu juga di Majlis Perbandaran Tak Bai, Narathiwat ramai orang Melayu berkhidmat di agensi tempatan tersebut.
Majlis Perbandaran Tak Bai diketuai Datuk Bandar Perbandaran Tak Bai, Santara Nusantara; Timbalan Datuk Bandar Perbandaran Tak Bai, Theerawut Waeyusoh dan Sutak Yayo serta Setiausaha Datuk Bandar Perbandaran, Thanet Dermraj.
Pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Tak Bai mengadakan acara menaikkan bendera untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada ‘Negara, Agama dan Monarki’ yang kelazimannya diadakan setiap Isnin.
Aktiviti terbabit bertujuan memupuk rasa kesetiaan kepada negara, agama, dan monarki, serta menggalakkan tingkah laku penjawat awam yang baik.

Ia juga berfungsi sebagai persediaan untuk tugas rasmi, memperkukuh perpaduan dalam organisasi, menanamkan nilai-nilai patriotik, membina kebanggaan negara dan memupuk keharmonian dan perdamaian.
Acara tersebut turut merangkumi solat berjemaah dan berdoa yang diadakan di hadapan Pejabat Perbandaran Tak Bai hari ini.
Dan Jumaat lepas kakitangan Majlis Perbandaran Tak Bai menyampaikan kemudahan kepada pelajar di komuniti Tabatapoyoh, Mukim Cheh Heh, Daerah Tak Bai.
Apa dipaparkan memperlihatkan Melayu-Islam di wilayah selatan dan Bangkok sudah jauh berubah. Mereka bersama menunjangi kerajaan Thailand.
Biarpun begitu masih ada pihak yang mengambil pendekatan berbeza. Terbaru pada 13 Januari lepas, 11 stesen minyak di tiga wilayah sempadan selatan Thailand dibom.

