
KETIKA menghadapi pilihan raya umum (PRU) 1959, Umno menjaja pemimpin PAS yang bertanding pada pilihan raya tersebut hanya mahu mendapat elaun (gaji).
Sedangkan ketika itu elaun wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya RM250 sebulan.
Naib Presiden Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika mendedahkan semula peristiwa tersebut memberitahu berikutan tohmahan itu PAS membuat keputusan setiap wakil rakyat yang menang perlu menyerah semua elaun kepada parti.
Kata beliau wakil rakyat menyerah semua elaun RM250 kepada parti setiap bulan.
“Dan kemudian parti akan memberi kembali wang kepada wakil rakyat terbabit berdasar keperluan mereka,” katanya mengimbau kembali sejarah lama pada wacana 70 tahun PAS Kelantan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre di Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama pada program tersebut Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan wakil-wakil rakyat.
Sempena program itu turut diadakan forum yang menampilkan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ketua Dewan Pemuda Mohd Firdaus Nawi.
Selain itu Ketua Dewan Muslimat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Lim Guan Seng dan Ketua Dewan Assabiqun Dato’ Abdullah Ya’kub. Pengarah Pusat Kajian Strategi Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof bertindak sebagai moderator.

Biarpun Umno memfitnah PAS ketika kempen PRU 1959, namun parti itu gagal mempertahankan kerajaan Kelantan yang dikuasai sejak pilihan raya persekutuan 1955.
Pada PRU 1959 PAS berjaya membentuk kerajaan di Terengganu dan Kelantan. PAS menang 28 daripada 30 kerusi di DUN Kelantan. Manakala Ahli Dewan Rakyat PAS bertambah kepada 13 orang, di mana sembilan dari Kelantan dan empat dari Terengganu.
Halangan
Mohd Amar turut menjelaskan usaha untuk memperkembangkan PAS di Kelantan berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan.
Ketika itu penceramah PAS terpaksa membawa sendiri alat pembesar suara dan bateri kereta ke tempat mereka diundang berceramah.
“Saya masih ingat ketika ayah saya (Pak Nik Lah) diundang berceramah di Pulau Perhentian tidak ada orang kampung datang mendengar.
“Hanya pokok kelapa yang mendengar ceramah pemimpin PAS. Begitu juga ketika berceramah di Negeri Sembilan, saya tengok pimpinan PAS yang berada di atas pentas lebih ramai berbanding di bawah,” ujarnya.

Kata beliau situasi itu menjelaskan betapa sukar untuk mengembangkan PAS kerana berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk masalah kewangan.
Namun, biarpun berdepan dengan pelbagai kesukaran ia tidak menghalang PAS terus berkembang seperti yang ada sekarang.
Selepas PAS gagal mempertahankan kerajaan Kelantan pada pilihan raya negeri Mac 1978, parti itu bangkit dengan menyusun semula program tarbiah.
Ijtimak
Program ijtimak pertama diadakan di tepi taliair di Ketereh bagi menggerakkan semula semangat pendukung PAS selepas gagal mempertahankan kerajaan negeri.
“Peringkat awal program itu hendak diadakan pemimpin PAS Ketereh meluahkan rasa bimbang kerana mereka tidak ada wang bagi mempersiapkan lokasi ijtimak diadakan.
“Namun hasil kesepakatan pemimpin tempatan akhirnya program itu berjaya diadakan. Dan ia merupakan program tarbiah pertama selepas pilihan raya negeri pada 1978,” kata Mohd Amar.
Hasil daripada ijtimak tersebut PAS Kelantan berjaya bangkit semula sehingga berjaya merampas semula kerajaan negeri pada PRU Oktober 1990.
Ustaz Ahmad pula memberitahu PAS Kelantan menang pada PRU 1959, yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan hasil daripada peranan ulama menyebarkan dakwah kepada rakyat.
Kata beliau ulama memainkan peranan besar sehingga membolehkan PAS berkembang lebih cepat di Kelantan.

Bagaimanapun di era sekarang cabaran lebih besar bagi mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kelantan memberitahu kekalahan PAS pada pilihan raya 1978 kerana masalah dalaman.
“Ketika itu menteri besar Dato’ Muhammad Nasir tidak mematuhi keputusan dibuat Dewan Harian PAS sehingga berlaku krisis dalaman dan membawa kepada kekalahan pada pilihan raya Mac 1978,” ujarnya.
Beliau juga melahirkan keyakinan menjelang 100 tahun usia PAS Kelantan dijangka bakal lahir seorang lagi mujaddid hebat bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz.