Setiap malam dron ganggu konvoi Sumud Frotilla

ROME: Media antarabangsa melaporkan Itali dan Sepanyol mengambil langkah berani menghantar kapal perang untuk membantu flotila yang sedang menuju Gaza.

Itali menghantar jenis frigat Tentera Laut selepas diarah Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto berikutan serangan dron di perairan Greece.

Sepanyol pula menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena bagi membantu flotila melaksanakan operasi menyelamat di Gaza.

Crosetto memberitahu usaha tersebut bagi memastikan keselamatan warganegara Itali yang menyertai flotila berkenaan.

Beliau turut mengecam keras serangan dron ke atas kapal yang membawa bantuan ke Gaza.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani pula memberitahu ahli parlimen negara itu dan ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) turut menyertai aktivis pro-Palestin.

“Israel perlu menjamin keselamatan warganegara Itali dan sebarang operasi dijalankan pasukan Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya kepada media.

Baru-baru ini konvoi Flotila Sumud Global (GSF) menjadi sasaran dron rejim Zionis Israel berhampiran perairan Greece.

Konvoi kemanusiaan tersebut disertai rakyat dari 45 negara, membawa bantuan makanan untuk penduduk Gaza.

Hamapir 70 bot menyertai misi terbabit dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza. Misi bersejarah itu disertai lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia.

“Kerajaan Sepanyol menegaskan undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak rakyat kami untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat juga mesti dipelihara,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Sementara itu Jurucakap March Gaza Greece berkata, kapal mereka dilapor diserang 12 dron di perairan antarabangsa, 56 kilometer dari pulau Gavdos, Greece.

Kata beliau konvoi terbabit berdepan gangguan dron hampir setiap malam.

GSF belayar merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini. – AGENSI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *