Sudah tiba masanya berundur – Pemuda Umno

Oleh Salmah Mat Husain & Alani M|
SELAIN Bersatu, Umno juga berdepan dengan pergolakan dalaman. Isu dalaman Bersatu berputar, di mana ada pemimpin mahu presiden parti itu berundur. Kesannya ada pemimpin dipecat dan digugurkan daripada jawatan.
Sebaliknya, Umno pula berdepan isu kemelut mufarakah dengan kerajaan Madani. Tahun lepas MCA dan MIC mengugut mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN). Namun, tiada keputusan muktamad sehingga sekarang.
Pada Sabtu lepas Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas. Pada himpunan itu Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh secara terbuka menggesa Umno keluar daripada kerajaan.
Mereka juga mahu Umno bergabung dengan PAS sebagai pembangkang. Difahamkan turut hadir pada perhimpunan itu pimpinan Umno negeri-negeri.

“Semalam kita minta Umno tarik diri daripada kerajaan perpaduan dan jadi pembangkang yang bermaruah.
“Kita tidak minta PMX bawa dalam mesyuarat kabinet untuk keluarkan Umno dari kerajaan sebab kita sedar sama ada kekal atau keluar itu adalah keputusan parti bukan keputusan kerajaan.
“Dan keputusan parti adalah keputusan yang dibuat oleh parti sendiri. Kepada (parti) Amanah dan DAP Melaka, kenapa nak perlu tunggu ketua menteri bawa dalam mesyuarat Exco, kalau kamu rasa berani nak keluar, keluar jer tidak perlu tunggu mesyuarat Exco kerajaan negeri.
“InsyaAllah kerajaan negeri akan tetap berjalan dengan baik walaupun kamu tiada dalam kerajaan,” catat Dr Akmal pada laman sosialnya.
Zahid mahu kekal

Menurut laporan laman berita, mesyuarat Biro Politik Umno pada malam Isnin turut dibangkit isu serupa. Namun, Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor menegaskan tiada keputusan dibuat berhubung agenda Pemuda Umno.
Zahid juga menekankan Umno dan BN akan kekal bersama kerajaan Madani sehingga tamat penggal. Beliau juga mengingatkan Umno agar tidak bekerjasama semula dengan PAS.
Digambarkan pengalaman pahit Muafakat Nasional (MN) apabila parti itu ‘dipatuk ular yang sama’ sebelum ini. Benarkah naratifnya begitu. Siapa yang belot membawa Umno bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani.
Kecewa dengan pendirian Zahid, Akmal memberi bayangan untuk berundur. Beliau kecewa selepas Presiden Umno menolak gesaannya supaya keluar daripada kerajaan perpaduan.
“Saya sudah melakukan usaha sehabis baik dan menyampaikan pendirian, namun mengakui kemungkinan kelemahan datang daripada diri saya sendiri.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” kata Akmal. Beliau menegaskan perjuangannya demi agama, bangsa dan tanah air.

Langkah Dr Akmal seperti Hang Jebat, mendapat respon segera Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berharap Akmal tidak menoleh lagi ke belakang, sebaliknya terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan ujian besar.
“Akmal, bila kita gerak ke hadapan, kita maju. Tidak boleh toleh belakang. Ujian Allah SWT besar. InsyaAllah kita menang,” katanya pada catatan di Facebook.

Ramai yakin Akmal tidak keseorangan. Sebaliknya ramai pemimpin Umno memilih jalan selamat. Mereka membisu dan dan kaku ketika parti itu dipandang lekeh di sisi DAP.
Akmal benar-benar seumpama sang Jebat, sedia berdepan dengan Hang Tuah yang masih membela mahligai madani. Kini ramai tunggu aksi garang Jebat dan Tuah di luar gelanggang.
Semangat baru
Nampaknya kemelut melanda Umno tiada titik hujung, manakala Perikatan Nasional (PN) cuba disuntik semangat baru.
Kunjungan hormat Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar ke kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara semalam mencerminkan keutuhan hubungan serta prinsip kebersamaan antara PAS dan Bersatu dalam PN.

Kunjungan tersebut berlangsung pada jam 10 pagi, berlaku kurang 24 jam selepas kepulangan Muhyiddin dari luar negara.
Pengerusi NGO Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kunjungan itu turut mengambil kira keadaan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih berehat selepas menjalani pembedahan mata.
“Kehadiran Dato’ Seri Samsuri membawa makna besar dalam konteks kebersamaan serta rasa hormat PAS kepada Pengerusi PN,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan hasrat awal Dr Samsuri untuk mengadakan kunjungan hormat di London sekiranya Muhyiddin berada lebih lama di luar negara.
Pertemuan tersebut bagi Annuar sebagai usaha memperkukuh hubungan dalaman PN.
Menurut beliau, walaupun terdapat pihak bertindak emosional susulan beberapa peristiwa kebelakangan ini, Muhyiddin dianggap kekal tenang dan fokus dalam pendekatannya. Manakala PAS pula terus istiqamah dan tidak terpengaruh dengan provokasi.
“Tindakan PAS segera menyelesaikan isu di Perlis dengan menerima pelantikan Menteri Besar daripada rakan komponen PN serta kesediaan menyambung kepimpinan PN membuktikan kematangan politik gabungan itu.
“Itu adalah manifestasi jelas kebersamaan PAS dan Bersatu dalam menghadapi cabaran mendatang,” katanya.
Sebagai koalisi politik berteras Melayu sudah tentu PN akan terus berdepan pelbagai isu dan cabaran. Pada pilihan raya umum lepas PN terbukti mampu menggantikan BN.
Bagi Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, gabungan PN didukung parti dan pemimpin yang matang serta berpengalaman dalam politik Malaysia.
“PN adalah wadah politik yang kuat dan didukung rakyat. InsyaAllah, ia akan terus melangkah ke hadapan dengan kebijaksanaan serta strategi tersendiri,” ujarnya.
