Taring politik PH-BN makin tumpul
Siri 1

Oleh M Faqih |
PERUBAHAN landskap politik di tanah Malaya kemungkinan berlaku lagi. Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin susut.
Situasi itu dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November lepas. PH hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala BN merosot kepada 6 kerusi.
PH dan BN ditolak rakyat biarpun tampil di Sabah sebagai peneraju kerajaan Persekutuan. Sedangkan kedua-dua parti mempunyai kelebihan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Sebaliknya parti pembangkang iaitu Warisan Sabah mendapat simpati rakyat. Warisan memenangi 25 kerusi. Parti Gabungan Rakyat Sabah yang menguasai kerajaan negeri pula menang 29.
Selain itu Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (3), Parti Solidariti Tanah Airku (2), Perikatan Nasional (1) dan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1).
Dun Sabah 2025 mempunyai 73 Adun. Malangnya peluang keemasan PRN Sabah gagal direbut PH dan BN. Sedangkan apa yang berlaku di negara lain parti kerajaan masih mendapat tempat.

Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menang 315 kerusi pada pilihan raya minggu lalu. Menurut laporan LDP memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen.
Begitu juga di Thailand, Parti Bhumjaithai pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mendahului 174 daripada 400 kerusi parlimen. Kedudukan itu berdasar 94 peratus daripada jumlah undi yang dikira.
Bagaimanapun kemenangan Bhumjaithai belum mampu membentuk kerajaan baharu Thailand. Pilihan raya umum pada Ahad lepas, tiada parti yang memperoleh majoriti mudah. Parti Rakyat pula menguasai 87 kerusi, Parti Pheu Thai (58), Parti Klatham (56) dan Parti Demokrat (10).

Petunjuk yang berlaku di Thailand dan Jepun menggambarkan rakyat di negara terbabit masih simpati parti kerajaan. Namun, situasi di Sabah akhir tahun lepas memberi gambaran sebaliknya.
Biarpun parti kerajaan Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah menang 29 kerusi, namun kemenangannya tidak mampu dibanggakan. GRS terpaksa bergabung dengan parti kecil lain bagi membentuk kerajaan.
Isyarat
Isyarat yang dihantar dari Sabah memperlihatkan kemungkinan besar demografi politik di Malaysia bakal berubah lagi.

Biarpun PN masih diselumbungi isu dalaman Bersatu, namun gelombang rakyat PRU-15 dirasai lagi. Lebih-lebih lagi DAP memanfaatkan sepenuhnya peluang politik keberadaan dalam kerajaan Madani.
Isu pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) diuar-uarkan semula selepas Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Sedangkan sebelum ini isu pilihan raya PBT muncul sekali sekala dan kemudian tenggelam.
Namun, sekarang seperti disebut orang tua-tua, pucuk dicita ulam mendatang. Begitu juga isu Akta Pembaharuan Semula Bandar yang dibentang 28 Ogos lepas juga oleh menteri dari DAP mengundang polemik.
RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dibentang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming. Ketika bacaan kali kedua RUU itu tidak dibahas dan ditangguhkan ekoran bantahan ahli-ahli Parlimen pembangkang, BN dan PKR.
Dan akhirnya RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 ditarik balik untuk penambahbaikan, bukan ditangguh tanpa hala tuju. Perkembangan yang berlaku itu tidak dapat dinafikan mencalar imej kerajaan Madani. Itu belum lagi diambil konflik antara Umno dengan DAP dan isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat.
Berdasar kajian Institut Masa Depan Malaysia (MASA) akhir tahun lepas mendapati 42 peratus reponden meluahkan isu kos sara hidup membebankan rakyat.
Kajian juga menggambarkan 75 peratus responden tidak berpuas hati dengan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Selain itu 54 peratus responden mengakui terbeban dengan kadar tarif baharu elektrik. Berdasar perkembangan tersebut, peluang PAS dan PN menambah jumlah negeri yang disasar pada PRU-16 tidak boleh dipandang PH-BN hanya sebelah mata.
Pergolakan dalaman PN di Perlis yang diharap menjadi bola tanggung kepada PH-BN kini sudah berlalu. Begitu juga kemelut Bersatu dijangka berlalu begitu sahaja.
Ini kerana suhu kemarahan rakyat terhadap kerajaan Madani tidak mampu dibendung lagi. Lebih-lebih lagi rakyat tidak puas hati penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu sempadan Malaysia-Indonesia di Borneo. Selain itu isu perjanjian timbal balik Amerika Syarikat-Malaysia. Penjelasan perdana menteri dan menteri masih tersangkut di minda rakyat.
Terus mara
Ketika kemelut Bersatu belum berakhir, namun PAS terus bergerak tanpa menoleh ke belakang lagi. Sasaran PAS menjelang PRU-16 melebarkan pengaruh di Pahang. Turut berada dalam radar PN, Selangor dan Perak.
Slogan ‘PAS Tawan Pahang’ yang dilancarkan tiga tahun lepas terus berligar sehingga sekarang. Lagi pun pada PRU-15 kekuatan BN dan PN seimbang. Masing-masing menguasai 17 kerusi Dun.
BN hanya bernasib baik dapat menguasai kerajaan negeri dengan bantuan hayat daripada PH. Pada PRU lepas PH menang di lapan Dun. DAP menguasai Dun Tanah Rata, Tras, Tiang, Mentakab, Bilut dan Ketari, PKR pula menang di Dun Semambu dan Teruntum.
BN pula menang termasuk di Inderapura, Benta, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Kemayan, Jelai, Guai, Dong, Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini, Pelangai dan Bebar.
PN menguasai Dun Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.
BN mengekalkan kemenangan di Parlimen Cameron Highlands, Pekan, Paya Besar, Lipis dan Bera. PH pula sekadar berpuas hati apabila menang di dua kerusi Parlimen iaitu Bentong dan Raub.
bersambung ..

