Serantau

Teluk jadi kubur negara ‘polis dunia’

Oleh M Faqih |

KARYA sejarawan Yunani Purba, Thuctdides bertajuk ‘History of the Peloponnesian war’ seperti diulang semula Donald Trump dengan impian menjajah negara lain.

Karya tersebut mengungkap ucapan wakil Athens kepada penduduk Melos, ketika Athens mahu menakluk negeri tersebut di era perang Peloponnesian. Melos sebuah negeri kecil yang berkecuali.

Penduduk Melos mempertahankan negara mereka atas dasar moral dan prinsip berkecuali. Sebaliknya. Athens menganggap kuasa adalah kebenaran, bukan keadilan atau moral. Hakikat itu turut didedah Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, di Davos (WEF 2026) dengan menegaskan peraturan antarabangsa semakin rapuh.

Ia memberi laluan kepada konsep ‘the strong do what they can, the weak suffer what they must’ dengan memberi amaran tentang kuasa besar yang menggunakan perdagangan dan kewangan sebagai senjata.

Sebaliknya, ia membawa kepada perpecahan global (rupture). Carney berhujah dunia sedang beralih daripada sistem berasaskan peraturan kepada sistem di mana kuasa menentukan kebenaran.

Ceroboh

Bukitnya kegilaan Trump cuba dilebar ke bumi Iran selepas berjaya menangkap Presiden Venezuela pada pertengahan Januari lepas. Venezuela mengesahkan seramai 47 askarnya terkorban dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) bagi mempertahankan Presiden Nicolas Maduro.

Menteri Pertahanan Venezuela Vladimir Padrino Lopez dilapor memberitahu anggota Angkatan bersenjata Bolivarian terkorban dalam misi pencerobohan tentera AS.  

Malangnya jangkaan AS mampu menawan Iran dalam tempoh singkat jelas meleset. Pakar geostrategi Dr Azmi Hassan melihat nasib yang pernah menimpa Iraq, Syria dan Libya sebelum ini sukar berulang di Iran.

Menurutnya kekuatan Iran terletak kepada sistem pertahanan dan keselamatan negara, yang sukar digugat dari luar.

“AS tidak mahu hantar tenteranya memasuki Iran seperti dilakukan di Venezuela. Di Venezuela pun tentera AS cepat-cepat hendak keluar ketika menangkap presiden negara terbabit,” katanya seperti dilapor media.

Ketika menceroboh Iraq pada 2003, AS berselindung di sebalik dakwaan Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Hasil naratif palsu itu membolehkan AS dengan dibantu United Kingdom menceroboh Baghdad bagi menumbangkan Saddam Hussein.

Sejak kembali ke White House pada Januari 2025, Trump meneruskan semula kerja-kerja gila biarpun mendakwa menamatkan lapan siri peperangan di era presiden lama.

AS lupa selepas Revolusi Iran yang menjatuhkan Reza Shah Pahlavi pada tahun 1979, Iran membentuk dua bahtera tentera iaitu Islamic Republic of Iran Army (Artesh) dan Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC).

Artesh dianggar mempunyai kekuatan 350,000 anggota dilengkapi pasukan darat, laut dan udara. IRGC pula pasukan elit yang ditubuh pada tahun 1979. IRGC dilengkapi pasukan darat, unit aeroangkasa mengawal peluru berpandu, pasukan laut dan sayap operasi luar negara yang dikenali sebagai Quds Force.

Di bawah IRGC pula terdapat Basij iaitu rangkaian paramilitari Iran berfungsi sebagai militia sukarelawan. Kekuatan 90,000 anggota dan ratusan ribu anggota simpanan.

Menurut pengalisis tempatan Halim Bede, Basij berada di kawasan kejiranan, universiti, kilang dan bandar-bandar wilayah. Artesh melindungi negara dan IRGC pula menjadi benteng revolusi.

Dan sekiranya digabungkan terdapat kira-kira 350,000 anggota tentera biasa dan 190,000 anggota IRGC serta puluhan ribu anggota Basij aktif.

Secara keseluruhan, ekosistem keselamatan Iran melebihi 600,000 anggota aktif dan boleh berkembang sehingga hampir sejuta orang apabila termasuk anggota simpanan dan paramilitari. Kecekapan mereka dibuktikan sejak AS-zionis Israel menyerang Iran, negara penjenayah dunia itu sudah kehilangan banyak aset pertahanan.

Pesawat ditembak

Pada malam hari ke-13 perang sebuah pesawat iaitu KC-135 Stratotanker dilapor terhempas di barat Iraq mengorbankan sekurang-kurangnya enam kru. Pesawat itu merupakan stesen minyak yang terbang.

Pesawat terbabit mampu membawa 115,000 liter bahan api. Ia terbang ke lokasi untuk membolehkan jet pejuang iaitu F-35, F-15, F-16, pengebom B-52 mengisi minyak di udara.

Kata Halim, tanpa KC-135, jet pejuang yang berlepas dari Qatar atau pangkalan di Teluk tidak akan sampai ke Iran.

Menurut laporan kumpulan bersenjata yang disokong Iran, Islamic Resistance in Iraq mendakwa menembak jatuh pesawat KC-135 Amerika di barat Iraq. Kejadian itu berlaku ketika KC-135 Stratotanker sedang mengisi minyak jet pejuang.

Selain itu dilaporkan tiga F-15 terhempas di Kuwait akibat tembakan rakan pasukan Kuwait. Lebih memalukan lagi kapal pengangkut pesawat USS Gerald Ford mengalami kebakaran.

Laporan dari Iran mendakwa mereka menyerang kapal pengangkut pesawat tersebut. Sebaliknya AS cuba menyembunyikan berita sebenar dengan hanya mendakwa berlaku kebakaran kecil.

Pada awal Mac lalu IRGC mendakwa telah menyerang kapal induk USS Abraham Lincoln di Teluk. AFP melaporkan Abraham Lincoln terkena empat peluru berpandu balistik.

IRGC pada satu kenyataan memberi amaran darat dan laut akan menjadi kubur kepada penceroboh serta pengganas.

Kesan pencerobohan AS dan zionis di Iran ternyata sudah merebak ke negara-negara lain di Asia Barat. IRGC menyasarkan pangkalan tentera AS di Negara Teluk.

Tentera jadi mangsa

Bedilan misil dan dron menghala tentera AS yang berada di negara Teluk. Sehingga 3 Mac lepas 27 kem tentera dan pangkalan udara Tel Nof dan ibu pejabat perintah di Harkiya dan kompleks pertahan zionis dibom.

Situasi itu menyebabkan AS dan zionis Israel semakin terdesak. Kedutaan AS di Iraq dan Pakistan turut menjadi sasaran rakyat di negara terbabit. Penunjuk perasaan menyerbu kedutaan AS di Baghdad.

Begitu juga di Pakistan. Lebih dahsyat lagi apabila seramai 10 peserta demontrasi dilapor meninggal dunia ketika mereka menyerbu Konsulat AS di Karachi.

Konflik yang dicetus AS dan zionis Israel terhadap Iran turut dikecam pemimpin dunia. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Antonio Guterres menegaskan pencerobohan AS ke atas Iran mencetus gelombang tindak balas di rantau Asia Barat.

Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi pula kecewa tindakan terburu-buru AS. Ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa Mirjana Spoljaric menjelaskan ketegangan yang memuncak telah mencetus tindak balas berantai di Asia Barat.

Sudah sampai masanya Negara Teluk tidak berdiam diri. Tiba masanya pemerintah di negara terbabit menamatkan kemudahan pangkalan AS di rantau tersebut. Di Bahrain terdapat pangkalan Armada Kelima Tentera Laut AS serta ibu pejabat Markas Pusat Pasukan Tentera Laut AS. Tentera Laut AS menggunakan pangkalan terbabit sejak tahun 1948.

AS juga mempunyai pasukan di wilayah autonomi Kurdistan Iraq, namun tentera AS dijadual keluar menjelang September susulan perjanjian antara Washington dan Baghdad.

Tentera AS di Iraq dan Syria pula sering kali menjadi sasaran kumpulan pro-Iran selepas tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023. AS juga mempunyai pangkalan tentera di Kuwait termasuk Camp Arifjan, yang menempatkan ibu pejabat Tentera Darat AS.

Selain itu Pangkalan Udara Ali al-Salem menempatkan Sayap Ekspedisi Udara ke-386. AS turut menempatkan dron di Kuwait. Qatar juga menjadi tapak tentera AS di Pangkalan Udara Al Udeid. Pangkalan itu menjadi sasaran peluru berpandu Iran.

Emiriah Arab Bersatu pula membiarkan AS membina Pangkalan Udara Al Dhafra. Kem-kem tersebut sudah tentu menjadi sasaran berterusan militan proIran.

Sudah sampai masanya negara Asia Barat bangkit daripada lena lama. AS yang menjadi bapa angkat pemerintah di Negara Teluk sejak sekian lama semakin dibenci dunia.

Hegemoni AS di Asia Barat kelihatan semakin layu dan kemungkinan besar diambil alih Iran dengan sokongan Rusia dan China. Tiba ketikanya mereka bersatu atas nama Islam. Menyingkirkan sekular dan barat yang tamat haloba sejak Perang Dunia Pertama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *