
SALMAH MAT HUSAIN
“SAYA tidak tinggalkan atau lompat daripada Umno, saya dibuang oleh orang tertentu dari Umno. Saya sahut pembuangan itu sebagai seorang pejuang.
“Saya memilih untuk terus berjuang. Ketika dibuang saya masih aktif membantu parti termasuk selepas kekalahan besar Umno pada PRU-14,” kata bekas Setiausaha Agung Umno.
Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau bersama rakan-rakan memainkan peranan sehingga Umno kembali bertakhta di Putrajaya dan mengisi semula jawatan perdana menteri.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan persekutuan selepas menguasai sejak negara sejak merdeka.
Berikutan kekalahan PRU-14 Umno berada di posisi pembangkang bersama PAS. Namun, hasil Langkah Sheraton yang digerak PAS, Umno, bekas PKR dan Bersatu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.
Ekoran itu Umno kembali ke pangkuan kerajaan selepas pertama kali dalam sejarah berada di kerusi pembangkang di parlimen.

Annuar menjelaskan pemecatannya daripada Umno disambut dengan reda sebagai seorang pejuang yang berprinsip dan tetap memilih untuk terus berjuang di medan politik.
“Walaupun tidak dicalonkan pada PRU-15 saya kekal setia dan terus bekerja membantu calon-calon Umno serta menolak tawaran untuk bertanding mewakili parti lain.
“Bagaimanapun saya menentang rundingan gelap pemimpin utama Umno dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Saya juga tidak bersetuju Umno berpecah dengan PAS dan Bersatu serta membelakangkan semangat Muafakat Nasional,” ujarnya pada kenyataan semalam.

Annuar menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin utama yang membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno mengenai dasar parti ‘No Anwar dan No DAP’.
“Saya dibuang kerana menentang ‘jajaran baru’ dan memilih untuk mempertahankan prinsip perjuangan,” kata beliau.