Khabar SG4

Terengganu bangkit selepas lama didera

Oleh M Faqih

APA yang berlaku di Terengganu baru-baru ini mengulangi episod hampir serupa di Kelantan pada awal 1990-an.

Kerajaan Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) membuat sekatan di laluan masuk ke projek Empangan Hidroelektrik Pergau di Jeli. Isunya kerana Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak membayar pampasan projek terbabit.

Sekatan yang dilakukan menyebabkan projek tertangguh seketika. Namun hasil rundingan diadakan akhirnya kerajaan Pusat melalui TNB setuju membayar pampasan.

Kerajaan Kelantan menuntut cukai batuan, pasir, kayu balak dan penggunaan air, di mana sehingga November 1996 sebanyak RM14.7 juta diterima.

Bayaran dibuat TNB disalur melalui Jabatan Sumber Air Kelantan. Projek hidroelektrik Pergau bernilai RM1.8 bilion melibatkan penggunaan sumber air dari Sungai Terang, Sungai Suda, Sungai Renyok dan Sungai Long.

Adalah menjadi hak Kelantan mendapat pampasan memandangkan projek empangan hidroelektrik menenggelamkan kawasan hutan yang kaya dengan pokok balak dan sumber mineral.

Apa yang berlaku di Kelantan lebih 30 tahun lalu kini berulang semula di Terengganu. Baru-baru ini kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang di negeri itu.

Ladang terbabit melibatkan kawasan seluas 15,000 hektar. Notis diserah kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Tindakan tersebut diambil selepas Felda gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim memberitahu isu berpangkal tanah ladang diusahakan Felda Global Ventures (FGV) diduduki tanpa kebenaran yang sah daripada kerajaan negeri.

Ternyata tindakan tegas Kerajaan Terengganu menguatkuasakan peruntukan bawah Kanun Tanah Negara (KTN) membuka semula pintu rundingan dengan pengurusan Felda.

“Kerajaan negeri sejak awal lagi berusaha membawa isu itu ke meja rundingan bagi mencapai persepakatan secara menang-menang.

“Selepas melalui tempoh begitu lama 40 tahun tanpa penyelesaian, maka kerajaan negeri terpaksa menguatkuasakan peruntukan undang-undang,” katanya pada kenyataan baru-baru ini.

Selepas notis di bawah Seksyen 425 KTN disampaikan, kerajaan negeri mengadakan beberapa siri rundingan dengan pengurusan tertinggi Felda.

Pada sidang Dewan Undangan negeri (Dun) November lepas, Dr Azman memaklumkan Felda gagal menjelaskan bayaran hasil keuntungan dianggar kira-kira RM600 juta termasuk cukai, premium dan keuntungan perkongsian, selepas meneroka tanah sejak 40 tahun lalu.

Isu membabitkan Felda di Terengganu sebenarnya bukan perkara baharu.

Tanah hak negeri

Malah, bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said mengakui 15,000 hektar diusahakan dengan ladang sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat terutama tidak memasukkan peneroka.

Kata beliau tanah diterokai Felda di Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah hak milik kerajaan negeri selagi tidak ditukar hak milik kepada Felda.

Ahmad juga menjelaskan pengurusan Felda pernah membayar premium dan cukai tanah pada tahun 2009, namun kerajaan negeri pulangkan semula disebabkan kegagalan memenuhi syarat.

“Kita pernah menjelaskan Felda menjalankan pembangunan secara haram kerana kerajaan negeri tidak mendapat bayaran premium tanah, cukai tahunan dan hasil.

“Kerajaan negeri juga ada mengeluarkan syarat tambahan selepas pengurusan Felda mengemukakan rayuan berikutan kerugian dialami,” katanya pada kenyataan seperti dilapor media.

Malah Ahmad menyifatkan tindakan kerajaan negeri sekarang mengeluarkan notis kepada Felda sebagai wajar kerana tanah terbabit hak milik kerajaan negeri.

Isu tersebut tiada kaitan dengan politik kerana ia menjadi hak kerajaan Terengganu. Ini kerana FGV sudah lama mengautkan keuntungan daripada 15,000 hektar ladang sawit di Terengganu.

Sedangkan tuan tanah tidak mendapat apa-apa hasil. Adilkah begitu. Lagipun projek di bawah pengurusan FGV tidak melibatkan kawaasan rancangan tanah yang terdapat peneroka.

Ladang itu dimajukan secara komersial oleh Felda dan FGV, sedangkan pemilik tanah tidak mendapat apa-apa. Wajarkah begitu. Malah ia bertentangan dengan falsafah madani. 

Begitu juga apa yang berlaku dalam konteks TNB di Kelantan berkaitan pampasan projek Empagan Hidroelektrik Pergau. TNB mendapat keuntungan besar daripada pengguna, sedangkan kerajaan negeri hilang hasil.

Rundingan

Dr Azman juga menjelaskan perundingan dengan Felda berkaitan perkara yang termaktub dalam Peraturan Tanah Terengganu terutama mengenai kadar premium, cukai tanah dan penyelesaian 40 tahun cukai tertunggak.

Katanya kerajaan Terengganu mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap Felda kerana gagal menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.

“Bagaimanapun kerajaan negeri melanjut tempoh remedi berkaitan notis dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Januari 2026 bagi membolehkan perbincangan lebih lanjut dengan kerajaan Persekutuan khususnya Felda.

“Kerajaan negeri mengambil langkah serius supaya proses penyelesaian berlaku secara tersusun dan profesional. Felda akan diberi hak milik tanah dengan syarat mematuhi prosedur dan melunaskan bayaran seperti terkandung dalam Terengganu Land Rule,” ujarnya.

Malah Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Zulkifli Ali menyifatkan perkembangan positif hasil rundingan membolehkan ia dimuktamadkan antara kerajaan negeri dengan Felda.

Terengganu ada hak menuntut keadilan selepas royalti petroleum dinafikan di bawah kerajaan Madani.

Pada tahun 2023 daripada anggaran royalti petroleum RM1.52 bilion, kerajaan Terengganu dilapor hanya terima RM802 juta. Manakala pada 2024 jumlah royalti RM1.55 bilion, namun royalti masuk ke akaun negeri RM733 juta. 

Dan sehingga 2 November 2025, daripada RM1.08 bilion hanya RM583 juta sahaja diterima. Secara keseluruhan Terengganu dinafikan royalti petroleum sebanyak RM2.03 bilion. 

Rakyat dan kerajaan Terengganu tidak selama berdiam diri apabila hak negeri dipermainkan. Hasil solat hajat dan munajat rakyat muncul kembali isu Felda yang sudah lama meraihkan keuntungan di tanah orang.

Biarpun ada naratif 1999 cuba diungkitkan semula dengan memutarkan foto lama murid mengusung kerusi di Tadika Kemas, namun rakyat Terengganu kini sudah matang.  

Politik lapuk tiada lagi tempat di minda rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *