Tidak laju bina infra, namun tekun bangun insan

Oleh: Norzana Razaly

“MUNGKIN ada yang melihat Kelantan seolah-olah gagal dalam pembangunan fizikal, namun dari sudut pembangunan Islam, kita sebenarnya sedang melangkah ke hadapan.

“Kelantan membawa misi al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar, serta seruan mendirikan solat dan menunaikan zakat sebagai asas kepada pembangunan negeri.

“Itulah yang membezakan kita dengan pihak-pihak lain,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Komitmen kerajaan negeri berpegang teguh kepada dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai teras tadbir urus negeri, meskipun berdepan arus liberalisme serta perubahan ideologi kepimpinan di peringkat nasional dan global.

Biarpun begitu katanya Kelantan tidak pernah mengetepikan agenda pembangunan fizikal dan kemakmuran ekonomi.

Beliau merungkai isu tersebut sebagai menjawab dakwaan yang ditimbulkan, di mana mereka menganggap Kelantan ketinggalan dalam arus pembangunan dan tidak banyak perubahan berlaku.

Perkara itu dikongsi pada Sesi Townhall Pimpinan Kerajaan Negeri bersama Anak Kelantan di Perantauan di Bangi, Selangor Ahad lepas.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Sempena program terbabit turut diadakan Taklimat Pencapaian Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028.

Pihak yang menyifatkan Kelantan tidak banyak berubah sebenarnya bersembunyi di sebalik mesej politik selepas kaget melihat kemunculan bandar-bandar baru semakin pesat sekarang.

Malah, mereka juga tahu Kelantan dianak tiri kerana dendam politik apabila banyak peruntukan disekat dan hak negeri dinafikan termasuk royalti petroleum.

Dr Mohamed Fadzli menyimpulkan Kelantan mungkin dianggap sebagai negeri yang tidak laju membina bangunan, sebaliknya tekun membina insan.

“Politik sering berubah mengikut arus sentimen, namun Kelantan memilih terus konsisten membangun di bawah acuan Membangun Bersama Islam,” ujar beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *