Gelanggang Rakyat

Titah: Anwar boleh, Najib tidak boleh

Oleh A Rahman Harun |

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan Titah Adendum dianggap boleh menghakis dan merendah wibawa, kedaulatan dan kedudukan raja-raja.

Sedangkan perkara serupa pernah berlaku dan diterima tanpa bantahan kehakiman serta pentadbiran kerajaan seperti berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan prinsip perlembagaan tidak boleh dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu.

Kata beliau situasi itu menggambarkan kerajaan tidak menerima hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan Di-raja.

“Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

“Kami berpandangan isu tersebut merupakan sebahagian keputusan Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI yang mesti diterima dan dilaksanakan secara berperlembagaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah susulan Titah Addendun oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI.

Pada 1 April 2024 bekas perdana menteri terbabit memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujudnya satu perintah tambahan diraja (Titah Adendum) yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib.

Manakala Lembaga Pengampunan pada 2 Februari lalu mengumumkan hukuman penjara asal selama 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib dikurang kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta. Najib dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Takiyuddin yang ahli Parlimen Kota Bharu mengulangi pendirian PAS menyokong penuh hak Najib menfailkan rayuan kesnya ke mahkamah yang lebih tinggi sebagai jaminan dan perlindungan asasi individu.

“Walaupun PAS akur keputusan badan kehakiman perlu dihormati sebagai antara tonggak utama kedaulatan undang-undang, namun ia tidak menafikan hak dan kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan.

“Apatah lagi keputusan mahkamah yang dilihat melemahkan, mentafsir semula atau megenepikan kuasa yang diberi perlembagaan secara eksplisit dan eksklusif Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri,” ujarnya.

Menurutnya juga sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Di-Raja,” katanya.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum boleh mempunyai kesan besar terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Kata beliau keputusan berkenaan hanya melibatkan isu meringankan baki hukuman penjara kepada tahanan rumah.

“Tanpa berniat mengkritik atau menghina keputusan mahkamah, keputusan tersebut dilihat seperti menolak kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, sekali gus berpotensi mencemar saki-baki kuasa Raja-raja.

“Keluhuran Perlembagaan Persekutuan sememangnya wajib dipertahankan dan dijunjung,” ujarnya pada kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *