Turun harga diesel atau tukar kerajaan

Oleh M Faqih |
MENTERI Kewangan Malaysia pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia pada 1996 dan 1997. Kejayaan itu turut dirakam dalam majalah Time.
Tidak lain dan tidak bukan, individu terbabit iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sekarang beliau bukan sekadar Menteri Kewangan, sebaliknya juga menduduki kerusi perdana menteri.

Malah, bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Rafizi Ramli mengakui pertumbuhan ekonomi sekitar 9 hingga 10 peratus ketika Anwar mentadbir ekonomi negara pada 1996. Pada catatan di blognya pada 29 November 2012, Rafizi menulis rekod ekonomi Anwar menunjukkan beliau Menteri Kewangan yang berjaya mencapai belanjawan lebihan.
Cuba tanya Rafizi semula, bagaimana kehebatan Menteri Kewangan sekarang? Rekod hari ini harga diesel di Semenanjung Malaysia paling mahal sejak merdeka.
Pada catatan terbaru di laman sosialnya, Rafizi memberitahu menjadi pemimpin negara perlu mentadbir dan menyelesaikan masalah. “Masalah makin rumit dan memerlukan pengetahuan, ilmu ekonomi, sains, undang-undang, kejuruteraan, perniagaan dan macam-macam lagi,” katanya.

Baru-baru ini ada netizen merumuskan ekonomi negara semakin celaru kerana menteri kewangan bukan orang ekonomi, hanya sekadar belajar sastera di universiti.
Maka tidak hairanlah harga diesel di Semenanjung Malaysia pada minggu pertama April 2026 meningkat kepada RM6.02 seliter. Ia melonjak hampir dua kali ganda berbanding awal Mac.
Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah menyifatkan kenaikan itu memberi kesan langsung kepada rantaian ekonomi.
Beban dipikul rakyat

“Nelayan, pengusaha logistik, sektor pertanian dan perniagaan kecil berdepan tekanan kos yang mendadak. Akhirnya, beban ini dipindahkan kepada rakyat melalui kenaikan harga,” katanya pada kenyataan.
Sebelum ini kerajaan menyatakan faktor utama berlaku peningkatan harga kerana perang di Asia Barat dan gangguan bekalan produk bertapis.

Kata Mohd Amar penjelasan itu wajar, namun belum mencukupi. Rakyat memerlukan gambaran penuh, termasuk kos sebenar ditanggung kerajaan, asas pengiraan harga mingguan serta langkah konkrit untuk menstabilkan bekalan diesel.
Sedangkan Malaysia ada Petronas. Ketika harga global meningkat sudah tentu Petronas meraih keuntungan berganda.
Pemerhati politik Lim Sian See pula menjelaskan Vietnam lebih berani apabila memberi subsidi untuk turunkan harga bahan api. Harga diesel di negara itu sekitar RM5.40.
Kata menteri Indonesia pula tiada keperluan naikkan harga bahan api. Harga diesel peribadi (solar) kekal RM1.60, manakala diesel komersial (Dexlite) RM3.37.
“Thailand juga mengawal kenaikan bahan api. Harga diesel di sana RM4.99. China juga memperlahan kenaikan harga diesel, kini sekitar RM4.80. Vietnam pula RM5.40. Di Malaysia seolah-olah kerajaan tidak peduli biarpun negara-negara lain ambil tindakan biar pun mereka bukan negara pengeluar minyak,” kata Lim.
Malaysia juara

Sekarang Semenanjung Malaysia muncul juara harga diesel berbanding Brunei, Thailand, Indonesia, China dan Vietnam.
Kenaikan yang melampau sejak awal-awal lagi diberi amaran oleh pihak industri. Kenaikan harga barang antara 30 hingga 50 peratus nampaknya tidak mampu dibendung lagi.
Sejak dua minggu lepas harga diesel mencanak naik. Bermula dengan kenaikan RM4.32 kemudian meningkat kepada RM5.52 dan sekarang RM6.02. Perlu ingat harga itu hanya untuk Semenanjung.
Sebaliknya Sabah, Sarawak dan Labuan yang juga wilayah Malaysia dikecualikan kenaikan tersebut. Mengapa. Apakah ia kerana pertimbangan politik selepas Pakatan Harapan (PH) ditolak rakyat Sabah pada pilihan raya negeri akhir November lepas?
Kebiasaannya harga diesel dikawal kerajaan dan harganya lebih rendah daripada petrol. di Thailand harga diesel (39.31 THB) bersamaan RM4.85 seliter. Dan bagi RON95 (41.42 THB) atau RM5.11 seliter.
“Indonesia pun sama. situasi itu berlaku begitu kerana ketua kerajaan lebih faham ekonomi, sebaliknya kerajaan kita songsang pula,” ujar Lim.

Diesel merupakan nadi industri. Apabila harga diesel naik, kesannya berantai dan akhirnya rakyat menjadi mangsa dengan kenaikan barangan keperluan.
Ketika rakyat mempersoalkan langkah kerajaan menaikkan harga diesel secara melampau, tiba-tiba diumumkan pula dasar bekerja dari rumah bermula 15 April ini.

Mungkin kelihatan songsang. Apa yang dipertikai rakyat kenaikan barangan keperluan kerana kos diesel meningkat mendadak. Sedangkan harga RON95 bersubsidi masih lagi RM1.99 seliter.
Penjawat awam atau sektor swasta masih lagi boleh berulang alik ke tempat kerja kerana harga petrol masih mampu milik. Kecualilah kerajaan mahu menjimat kos pengurusan pejabat.
Kaedah penentuan harga
Kecelaruan urus tadbir ekonomi negara menyebabkan pelbagai pihak bimbang dan gusar. Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menjelaskan mekanisme penentuan harga diesel, memandangkan kenaikan harga domestik tidak sepadan dengan pergerakan harga global.

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan membandingkan harga serantau yang lebih rendah berbanding Malaysia yang dikenali sebagai negara pengeluar minyak.
“Harga diesel di Malaysia minggu ini RM6.02 seliter. Ia berisiko menjadi antara harga tertinggi di rantau ini, walaupun kita negara pengeluar minyak dan gas.
“Juga tidak munasabah perbezaan harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak begitu ketara. Di Semenanjung RM6.02 seliter, sedangkan di Sabah dan Sarawak cuma RM2.15 seliter. Perbezaan yang begitu ketara itu berpotensi menimbulkan persepsi beban kos yang kelihatan tidak adil,” katanya pada kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah Dato’ Mas Ermieyati Samsudin memberitahu banyak barangan keperluan terutamanya makanan dan lain-lain dijangka naik dalam masa terdekat ini. Kata beliau semalam tauke kedai menjual sabun di Pekan Masjid Tanah memberitahu pembekal mengingatkan harga sabun akan dinaikkan.
“Semalam katanya naik RM1. Lepas pengumuman hari ni mestilah naik lagi. Itu baru sabun. Menteri jangan pula nak cakap lepas ni tak payah pakai sabun,” ujarnya.
Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) turut mendesak Kementerian Kewangan mendedah kaedah yang diguna dalam setiap pengiraan harga diesel mingguan, khususnya penanda aras gasoil Mean of Platts Singapore (MOPS).
Selain itu, kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat kepada ringgit yang digunakan. Sehingga sekarang kerajaan tidak pernah mendedahkan angka sebenar MOPS.
“Ini merupakan jurang akauntabiliti yang perlu ditutup, khususnya apabila harga diesel memberi kesan langsung kepada kos makanan, barangan dan perkhidmatan,” kata pengerusinya, Dato’ Dr Pamela Yong.

INSAP mahu kerajaan mendedah analisis corak harga diesel sepanjang tiga minggu lalu kerana ia menimbulkan isu. Selain itu Kementerian Kewangan perlu menerbitkan purata MOPS gasoil serta kadar pertukaran USD/MYR yang digunakan untuk menentukan harga runcit.
Kaedah itu menjadi amalan standard di Australia, di mana Australian Institute of Petroleum menerbitkan penanda aras MOPS setiap minggu.
“Diesel bukan komoditi biasa. Ia bahan api yang menggerakkan bekalan makanan Malaysia, membina infrastruktur dan menggerakkan industri,” kata beliau.
Harga diesel meningkat sebanyak 77 peratus dalam tempoh tiga minggu, kini ditanggung setiap isi rumah di Malaysia melalui harga barang keperluan lebih tinggi di pasar, kedai runcit dan tapak pembinaan.
Projek pembinaan tergendala
Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) turut terkesan lonjakan mendadak harga diesel industri sehingga 145 peratus menyebabkan lebih 100 projek pembinaan di seluruh negara tergendala.

Presidennya, Dato’ Azman Yusoff menggesa kerajaan mengaktifkan semula mekanisme Variation of Price (VOP) bagi menampung kenaikan kos bahan binaan utama yang meningkat sehingga 40 peratus.
Projek infrastruktur berskala besar antaranya Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), pelebaran laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS dan Kompleks Sukan Bukit Merbau.
Menurutnya sebahagian operasi jentera pembinaan dihentikan sehingga memberi tekanan besar kepada lebih 160,000 kontraktor tempatan. Dan lebih memalukan lagi media melaporkan ramai rakyat Malaysia masuk ke Thailand untuk membeli diesel yang dijual lebih murah.

Kesan kenaikan diesel juga menjejaskan industri pelancongan. Anggota Exco kerajaan Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor memberitahu peningkatan kos pengangkutan menyebabkan pengusaha berdepan dilema.

Kesan langsung juga dapat dilihat apabila dilaporkan pengeluaran padi dijangka merosot daripada lapan hingga 10 tan kepada sekitar empat tan sehektar.
Sekiranya keadaan itu berterusan negara akan berdepan kekurangan bekalan makanan dalam tempoh terdekat. Apa yang pasti anugerah Menteri Kewangan Terbaik Asia yang dimenangi Anwar pada 1996 dan 1997, kini tidak memberi sebarang makna.
Rakyat nampaknya kena buat desakan, turun harga minyak atau tukar kerajaan. Maka pada 5 April ini Putra menggerakkan himpunan rakyat di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

“Jika pada hari itu kamu tidak hadir, maka hakikatnya sangat jelas, bukan kerajaan yang bersalah, tetapi kamu sendiri merelakan diri untuk terus dipijak,” kata Dato’ Ibrahim Ali.

