Umat Islam kuat musuh gerun

INGAT! bumi Palestin milik umat Islam. Dan orang Islam mesti kembali bersatu dan menjadi umat yang kuat sehingga digeruni musuh.

Peringatan itu diberi Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud sempena program Konsert Amal Sumud Palestin di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam tadi.

Kata beliau sikap negara-negara umat Islam terhadap nasib umat Islam di Palestin hendaklah dijadikan iktibar.

“Ummah perlu bangkit sehingga tanah suci terbabit dibebaskan dari cengkaman penjajah laknatullah.

“Pertentangan Bani Israel terhadap para anbiya yang terdapat dalam al-Quran hendaklah dijadikan sebagai pengajaran.

“Meskipun gencatan senjata baru sahaja diisytiharkan oleh puak mereka, mereka juga yang melanggarnya,” kata beliau.

Hadir sama pada program itu anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan ribuan penduduk tempatan.

Tiga peserta Global Sumud Flotilla iaitu Musa Nuwayri, Zulfadhli Khiruddin dan Iylia Balqis menceritakan pengalaman kepada menyertai misi ke Gaza.

Malah, ada penonton yang hadir mengalirkan air mata kerana terharu ketika mendengar pengalaman tiga aktivis terbabit sehingga terpaksa ditahan di penjara Israel.

Malam ini dua lagi aktivis Global Sumud Flotilla iaitu Ustaz Mad Kecil dan Asmawi. Mereka dijangka tampil pada program Malam Cinta Rasul. Turut diadakan solat hajat dan munajat.

Langgar perjanjian

Gencatan senjata antara zionis Israel dan Hamas pada 10 Oktober hasil usaha Qatar, Mesir dan Turkiye sebagai perantara, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump disebut memain peranan menamatkan peperangan dan pengunduran penuh tentera Israel.

Bagaimanapun pihak berkuasa Gaza mendakwa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 80 kali sejak mula berkuat kuasa 10 Oktober lepas.

Malah, pada sidang Parlimen Isnin lepas Perdana Menteri negara haram Israel, Netanyahu dilapor mengesahkan tentera Israel menjatuhkan lebih 150 tan bom ke atas Gaza.

Sedangkan ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya menegaskan kumpulannya komited sepenuhnya terhadap pelaksanaan perjanjian damai itu.

Ustaz Mohd Nassuruddin juga memberitahu akhlak buruk bani Israel sengaja Allah rakamkan di dalam al-Quran supaya ia tidak menjadi ikutan kepada umat akhir zaman.

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh peserta Global Sumud Flotilla yang memberi inspirasi perjuangan kepada kita untuk tetap sumud berusaha memecahkan kepungan yang berlaku di Gaza.

“Terus hulurkan sumbangan jihad harta dan doa yang tidak putus-putus agar saudara-saudara kita diberikan kekuatan, ketabahan dan kecekalan mempertahankan tanah suci umat Islam,” ujarnya.

Menteri Besar turut kagum keberanian dan pengorbanan aktivis misi kemanusiaan tersebut yang boleh menjadi sumber kekuatan dan semangat perjuangan umat Islam di seluruh dunia.

Kata beliau mereka membuktikan perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin bukan sekadar slogan, sebaliknya tanggungjawab bersama ummah.

“Setiap langkah, doa dan sumbangan yang dihulurkan adalah sebahagian daripada jihad menentang kezaliman zionis,” ujar beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *