Cuit Oghe Kito

Umno bersatu di permukaan, rapuh di dasar

 

Oleh M Faqih |

PEMERHATI politik menyifatkan Umno sekarang sedang bergelut dengan realiti pasca-hegemoni selepas hilang kuasa politik pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Ketika bercakap tentang Melayu, kerangka pemikiran Presiden Umno masih mempertahankan kerajaan Madani yang didominasi DAP. Jelaslah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus berpaut di dahan kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Kata pensyarah UiTM Raub, Dr Muhammad Ariff Asyrul Adnan, Zahid memilih pendekatan kontroversi sehingga memperlihatkan parti itu bersatu di permukaan, namun rapuh di dasar. 

Di peringkat akar umbi pendukung Umno dilihat lebih bersimpati dengan perjuangan Ketua Pemuda Umno. Datuk Dr Akmal Saleh terbukti ada jati diri dan tegas dalam hala tuju perjuangan menjulang semangat Melayu.

Sebaliknya, Zahid masih terperangkap antara hegemoni politik dan roadmap bagi menghadapi PRU16. Sekiranya beliau memilih menjadi tongkat kerajaan Madani, Umno makin dijauhi pengundi Melayu.

Zahid lupa, politik identiti dan simbol institusi sudah beralih daripada Umno kepada Perikatan Nasional (PN). Gelombang itu secara jelas berlaku pada PRU15.

“Berhenti jual sejarah, mulakan jual masa depan,” kata Dr Hisyam Basabah dari Universiti Malaysia Sarawak.

Sedangkan banyak pihak mengharapkan ada sesuatu yang mampu menjadi azimat buat ahli di peringkat akar umbi daripada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, malangnya ia tidak berlaku begitu.

Kolaborasi agung

Idea ‘kolaborasi agung’ yang dihasrat menyatukan semua parti Melayu dan Islam di Malaysia dicetus Zahid masih samar. Beliau mengemuka usul pembentukan satu gabungan besar.

Pada awalnya banyak pihak menyambut baik cadangan tersebut. Malah ia sudah lama ditunggu orang Melayu selepas muafakat nasional (MN) 1.0 gagal gara-gara Zahid memilih laba politik yang bersifat sementara.

Harapkan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Malang sungguh. Dalam ucapan sama Presiden Umno tiba-tiba menegaskan cadangan gabungan besar tertakluk kepada syarat, tidak mengganggu kerajaan perpaduan dipimpin Anwar.

Pada awalnya Zahid dilihat seumpama anak jantan, namun akhirnya bertukar nada seperti perempuan. Nampaknya teori lama masih kekal, tidak mampu derhaka kepada cikgunya.

Hakikat itu turut diakui bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa. Katanya isyarat dari PAU baru-baru ini memberi sedikit petanda lebih positif, tetapi kabur dan bercampur baur.

Ia sedang dinilai secara cermat oleh kelompok majoriti kerana dalam konteks muafakat Umno bukan saja minoriti tetapi juga ‘late comer’ yang kelihatan berteka teki.

“Dalam hubungan ini, lontaran idea Presiden Umno dialu-alukan dari sudut hasrat, tetapi tidak dari sudut pendekatan dan asas penyatuan.

“Sebagai memudahkan pemerkasaan penyatuan Melayu, lebih wajar bagi Umno diundang menyertai gagasan penyatuan Melayu yang sudah terbentuk, dengan dasar dan matlamat yang jelas iaitu memimpin negara.

“Bukan tiang seri, bukan pelengkap, bukan semak dan imbang serta bukan king maker saperti digambarkan pemimpin Umno,” katanya pada kenyataan di media sosial.

Maka tidak hairanlah Dr Ariff menggambarkan PAU 2025 bukan lagi soal mobolisasi akar umbi, tetapi berkait soal mengurus kelangsungan Umno pada masa depan.

Nostalgia

Menurutnya Umno perlu keluar daripada nostalgia dan membina nasionalisme baru yang lebih terangkum, progresif dan berintegriti. Jika itu berjaya dibangunkan, PAU 2025 mampu menjadi titik bermula sebuah kebangkitan.

Jelas, apa yang berlaku sekarang Umno di bawah Zahid masih tenggelam dalam mimpi lama. Ini kerana satu sisi Zahid mengharapkan penyatuan parti Melayu, namun di sisi lain masih bergantung harap kepada Anwar dan Pakatan Harapan (PH).

Zahid tahu realiti yang berlaku sekarang sokongan majoriti Melayu semakin beralih kepada pendekatan politik berprinsip, mengutamakan integriti dan kebebasan berfikir.

Realiti itu turut dikongsi Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kata beliau Umno dilihat bukan lagi parti majoriti Melayu-Muslim.

Menurutnya cadangan kerjasama agung Umno yang diumumkan presiden parti itu boleh dipersoalkan kerana tidak selari dengan realiti politik semasa.

“Umno bukan lagi parti yang mendapat sokongan majoriti Melayu-Muslim. Orang Melayu-Muslim kini bebas menilai parti atau individu berdasarkan prinsip perjuangan Islam.

“Orang Melayu telah mengambil tindakan tegas terhadap Umno pada PRU15 berikutan isu rasuah dan persekongkolan. Itupun Umno belum mengambil pengajaran,” ujarnya.

Abang besar

Bagaimanapun beliau menegaskan kerjasama agung hanya relevan jika Umno sanggup berbincang sebagai rakan sejawat, bukan sebagai ‘abang besar’ yang mendominasi keputusan.

Pengerusi NGO Ummah Malaysia Mohd Zai Mustafa turut menyifatkan penyelarasan dan gabungan parti-parti Melayu wajar disatukan bagi mengukuhkan agenda Melayu dan Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya penyatuan tersebut perlu melibatkan semua pihak Melayu-Islam, termasuk parti politik dan NGO, serta merentasi warna politik dan ideologi, tanpa menindas hak kaum lain.

Sedangkan DAP, MCA, dan Gerakan berpadu membabitkan agenda kepentingan komuniti mereka tanpa mengira warna parti. “Ini sebagai model yang boleh dicontohi parti Melayu dan kumpulan Melayu-Islam,” ujarnya.

Bagaimanapun Presiden Putra Datuk Dr Ibrahim Ali menggambarkan impian ‘rumah bangsa’ impian Zahid sekadar mahu menyelamatkan diri serta menjadi tali hayat Umno menjelang PRU16.

Beliau menyifatkan Umno sekarang bukan lagi parti perjuangan, sebaliknya menjadi alat untuk melindungi segelintir pemimpin yang mementingkan diri.

“Zahid tidak layak menjadi simbol penyatuan Melayu. Rekodnya dipersoalkan. Pemimpin mesti dilihat bersih. Ikan kepala busuk, mana mungkin boleh berenang laju. Nahkoda tempang tidak mampu membawa bahtera menempuh gelombang.

“Ini bukan penyatuan nasional. Ini adalah operasi politik untuk menyambung hayat Zahid sebagai presiden Umno,” tambahnya.

Oleh itu Ibrahim tidak mahu payung besar menjadi alat dan kuda tunggangan DAP. Selagi Zahid mengetuai Umno, seruan ‘rumah bangsa’ hanyalah taktik dan strategi politik lapuk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *