Gelanggang Rakyat

Umno khianati penyatuan ummah

KEGAGALAN penyatuan ummah 1.0 pada tahun 2022 kerana ada parti Melayu memilih kolaborasi dengan Pakatan Harapan (PH). Selepas tiada parti yang mendapat majoriti, akhirnya Umno diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa Umno menyertai kerajaan diterajui PH.

Sebelum itu tular isu cikgu dan anak murid bercakap melalui telefon. Dua pihak terbabit tidak mengaku dan menafikan sekeras-kerasnya. Namun akhirnya ia terbukti juga.

Inilah permulaan Umno mengkhianati penyatuan ummah. Umno hanya berada di saf pembangkang seketika selepas pilihan raya umum (PRU) 2018 kerana penyatuan ummah berjaya menumbangkan kerajaan PH.

Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, Datuk Seri Azmin Ali keluar PKR dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik Bersatu daripada PH. Tiga elemen tersebut disusuli dengan Langkah Shareton menjadi detik Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Biarpun Umno mengkhianati PAS dan Bersatu pada 2022, namun usaha menggerakkan penyatuan ummah tidak pernah terhenti. Ia terus digerakkan sehingga sekarang demi survival politik orang Melayu di negara ini.

Pemerhati politik Dr Zulkeflee Yaacob berkata, meskipun Umno menikam PAS, namun parti itu tetap membuka pintu damai demi menjaga survival bangsa Melayu dan agama Islam.

“Inilah perbezaan cara politik PAS dan Umno yang memperlihatkan pimpinan PAS lebih utama persaudaraan atas dasar iman tauhid.

“Pemimpin PAS sanggup melupakan alim ulama ditekan, penyokong PAS ditindas, dihina dan pelbagai lagi, namun ia langsung tidak membuatkan PAS berdendam, emosi dan hilang pertimbangan,” katanya pada kenyataan. 

Massa memperlihatkan Umno berdepan ke arah penolakan rakyat kerana memilih kerjasama dengan DAP yang tegar dengan gagasan ‘Malaysian Malaysia’.

Jalan pulang

Dr Zulkeflee menyifatkan jalan pulang Umno semakin sempit terutama menghampiri demam PRU-16. Sebaliknya PAS terus maju dengan iltizam menggantikan Umno sebagai teras perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Kata beliau juga situasi sekarang menakutkan Umno kerana masyarakat bukan Islam semakin meninggalkan DAP. Hakikat itu dibuktikan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, akhir tahun lepas.

Kesemua lapan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi DAP kecundang pada PRN-17 Sabah. Dun Elopura diwakili Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong tewas di gelanggang sendiri.

Selain itu Dun Sri Tanjung diwakili Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip; Dun Luyang diwakili Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei. Dun Likas diwakili Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Dun Kapayan ditandingi Jannie Lasimbang, Dun Tanjung Papat Tang Szu Ching dan Dun Tanjung Aru diwakili Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, manakala Dun Kemabong ditandingi bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.

Perkembangan yang melanda Sabah sepatutnya menjadi pedoman kepada Umno bagi menilai semula kerjasama dengan PH. Namun, Umno di bawah Zahid Hamidi tidak mengendahkan semuanya itu.

Parti kampung

Ketika langkah Umno di bawah Zahid semakin longlai, PAS yang digambarkan sebagai parti kampung, tok lebai dan Taliban, namun di lapangan PAS jauh efisien dan mampu membina jemaah (ahli) lebih sejuta.

PAS juga mempunyai ribuan anggota Jabatan Amal, ribuan ahli kelab bermotor Alternative Riding Club (ARC), pasukan bantuan PasRelief melaksanakan kerja amal merentas benua.

Ribuan alim-ulama berinduk menjalankan dakwah di seluruh negara. Malah PAS memiliki sistem takaful yang diwujudkan untuk menjaga kebajikan ahlinya. SkimPAS hari ini terus berkembang ke seluruh negara.

“Kepimpinan PAS mempunyai pemikiran berpandukan syariat. Namun PAS tidak melihat Umno sebagai musuh. Pendirian pemimpin PAS agar orang Melayu istiqamah akar nusa dan matang serta tidak sombong meskipun kekuatan PAS tidak mampu dipertikaikan lagi.

“Sebaliknya lihat apa yang berlaku terhadap Umno. Usai PRU ke-14 tahun 2018 Umno hilang tampuk kuasa tetapi PAS membantu Umno melalui Muafakat Nasional (MN) dan penyatuan ummah sehingga berada dalam saf kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020.

“PAS juga memberi ruang Umno menduduki kerusi perdana menteri melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi pasca-PRU 15 presiden Umno membuat pakatan sulit dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Dr Zulkeflee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *