
SABTU lepas ratusan ribu rakyat Amerika Syarikat keluar ke jalan raya membantah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Malah, media melapor jutaan penduduk hadir.
Perhimpunan dari New York sehingga San Francisco menjulang sepanduk ‘No Kings’ menggambarkan kemarahan memuncak rakyat terhadap Trump yang dianggap mempamerkan pemerintahan secara mutlak.
Demonstrasi besar-besaran itu mengecam kecenderungan autokratik dan dakwaan rasuah berleluasa di era Donald Trump.
Perhimpunan terbabit meliputi bandar-bandar utama, pekan kecil dan pinggir bandar yang melibatkan lebih 2,600 lokasi.

Bekas pegawai kanan kerajaan Drs Zainuddin Awang Hamat menegaskan kebencian terhadap Trump berlaku di seluruh dunia termasuk rakyat negara itu sendiri.
Kata beliau kesombongan zionis Israel yang berlagak samseng di Asia Barat kerana mendapat lampu hijau daripada Amerika.
“Tanpa ada kuasa besar seperti Amerika Syarikat di belakang zionis Israel tentunya tidak berlaku pembantaian di luar perikemanusiaan di Gaza dan Palestin sekarang.
“Bantahan terhadap Trump berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana zionis Israel semenang-menang melanggar gencatan senjata dengan Hamas,” katanya di Pasir Puteh, Kelantan.

Bantah
Himpunan membantah kehadiran Trump di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka diadakan pada 24 Oktober.
Perhimpunan itu dijadual bermula di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak dan kemudian berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Manakala kumpulan penyokong pembebasan Palestin, Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) turut mengumum penganjuran protes aman pada 26 Oktober bagi membantah kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN.
Pada 3 Oktober lepas Himpunan Bantah Kedatangan Trump diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Himpunan terbabit turut disertai pemimpin politik dan aktivis NGO sebagai solidariti terhadap rakyat Malaysia yang ditahan Israel dalam misi bantuan ke Gaza.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kenyataan sebelum ini dilapor menolak gesaan pelbagai pihak supaya membatalkan jemputan terhadap Trump.
Drs Zainuddin menyifatkan Trump sebagai seorang pemimpin yang secara membuta tuli menyokong rejim Zionis Yahudi.
“Kehadiran Trump ke Malaysia sebagai satu penghinaan kepada prinsip kemanusiaan dan pendirian negara ini yang selama ini menguar-uarkan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Apakah Malaysia mampu mempengaruhi pendirian tegar Trump terhadap zionis Israel setelah negara haram itu dilapor melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 80 kali sejak mula berkuat kuasa 10 Oktober lalu,” ujarnya.
Langgar
Media sebelum ini melaporkan Pihak berkuasa Gaza mendakwa Israel melanggar gencatan senjata termasuk serangan ke atas orang awam dan kawasan kediaman.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 97 terbunuh dan 230 cedera akibat tindakan ketenteraan Israel, di mana 21 pelanggaran direkodkan pada Ahad lepas.
Drs Zainuddin juga menegaskan apa yang berlaku sekarang zionis Israel dibiarkan membunuh rakyat di Gaza tanpa sebarang pertimbangan kemanusiaan.

Katanya apa yang berlaku itu mengulangi sejarah Firaun yang mengaku sebagai tuhan ketika hayatnya dan sekarang Allah humbang ke dalam neraka.
“Demontrasi secara aman membantah Trump juga boleh dianggap sebagai dakwah kerana rakyat negara ini tidak setuju Trump menyokong Israel,” tambahnya.
Lagipun zionis Yanudi sudah beberapa kali melanggar perjanjian damai.