
A RAHMAN HARUN
KERAJAAN tidak boleh hanya bergantung kepada pekerja asing termasuk Nepal untuk berkhidmat dalam industri keselamatan di negara ini.
Usaha serius perlu dilakukan bagi memberi ruang kepada rakyat tempatan khususnya dalam kalangan bekas anggota tentera supaya mereka dapat memberi khidmat kepada negara.
Perlu ada inisiatif bagi menggalakkan warga tempatan terbabit aktif dalam industri keselamatan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mencadangkan kerajaan melaksanakan inisiatif dalam jangka panjang bagi menarik minat anak tempatan, di samping mengurangkan kebergantungan warga asing.
Kata beliau langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemaskini Rang Undang-undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 amat wajar memandangkan ia tidak pernah dipinda sejak tahun 1971.
“Saya meminta penjelasan kerajaan mengenai pindaan membabitkan tempoh lesen yang sah sehingga 31 Disember seperti ditetapkan pihak berkuasa saban tahun,” katanya pada perbahasan RUU Agensi Persendirian di Dewan Rakyat semalam.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan meminta penjelasan kerajaan mengenai penggunaan sistem dalaman KDN secara digital yang mudah diaplikasikan orang awam bagi mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan.

Ia membabitkan permohonan lesen, pembaharuan lesen, perubatan dan sebagainya yang direkodkan secara atas talian dan sistem data yang tidak boleh digodam dan dimanipulasi pihak lain.
“Kita ingin tahu tentang sejauh mana penggunaan sistem dalaman KDN, namun sistem itu mesti mudah diakses untuk kemudahan orang awam dan jaminan ia tidak disalahguna terutamanya data,” kata beliau.