
M FAQIH
PADA analisis September lepas penulis menjangka berlaku pertukaran peneraju kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Alasannya kerana muncul pelbagai isu termasuk pembelotan. Selepas mendapat mandat rakyat akhirnya pada 10 Disember 2022 Hajiji Noor mengumum keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta.
Sebelum itu beliau merupakan Pengerusi Pimpinan Bersatu Sabah. Hajiji bersama 10 Adun Bersatu kemudian menubuh parti baharu.
Hajiji mengambil alih teraju kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu 5 Februari 2023.
Sedangkan pada PRN ke-16 beliau dipilih rakyat sebagai mewakili Bersatu. Bersatu menang 11 kerusi DUN dan berjaya membentuk kerajaan setelah bergabung dengan parti-parti lain.
PRN-16 Sabah diadakan pada 26 September 2020 bagi memilih 73 Adun baharu.
Isu kedua membelit kerajaan Hajiji apabila beberapa rakaman video berkaitan lesen perlombongan melibatkan beberapa Adun Sabah. Ia mengejutkan negara menjelang PRN Sabah.
Skandal tersebut dilapor melibatkan dua Adun Sabah dan seorang ahli perniagaan berligar kes rasuah.
Media melaporkan Dr Yusof Yacob didakwa menerima suapan RM200,000 dan Andi Muhammad Suryady pula RM150,000 daripada Tei Jiann Cheing.
Ketiga kes adik Zara. Kematiannya begitu tragis di mana pada peringkat awal dilapor seperti cuba disembunyikan. Rakyat Sabah bangkit keluar ke jalanan. Pertama kali dalam sejarah rakyat Sabah pamer amarah.

Retak
Dan paling mendebarkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kedua-dua parti terbabit menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada PRN-17. Menurut Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun, hasrat itu disuarakan presiden STAR dan SAPP pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS.
Mesyuarat terbabit dipengerusikan Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah pada 1 Oktober lepas.
Sedangkan menurut laporan, agenda utama mesyuarat membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS menghadapi PRN-17. Turut dibincang agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Pada mesyuarat tersebut Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Yong Teck Lee dilapor menyatakan hasrat bertanding menggunakan lambang parti sendiri.
Mereka tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH. Hajiji mungkin tidak menjangka GRS retak di saat akhir.
Berdasar empat perkembangan tersebut, Hajiji didapati agak sukar untuk mempertahankan kerajaan negeri.

Politik wang
“Kalau politik wang dapat dikawal pada PRN kali ini, hampir pasti kerajaan negeri akan bertukar teraju,” kata seorang bekas pegawai kanan kerajaan Pusat.
GRS sekarang hanya tinggal Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
GRS sebelum ini bernasib baik kerana dapat membentuk kerajaan hasil bantuan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). GRS ketika itu menjalin kerjasama dengan BN dan PN.
Manakala Warisan Plus pula berpadu dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Pakatan Harapan, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu Baru, Parti Liberal Demokratik dan Parti Gagasan Rakyat Sabah. Selain itu Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Kerjasama Anak Negeri dan Parti Kebangsaan Sabah.
Pada PRN-16 GRS membentuk kerajaan Sabah selepas menang 38 daripada 73 kerusi. GRS menewaskan Warisan Plus yang memperolehi 32 kerusi. Manakala tiga kerusi lagi dimenangi calon Bebas.
Situasi yang berlaku pada PRN-16 ternyata sudah berubah sekarang. BN pula nekad mahu bekerjasama dengan PH.

Di tengah-tengah kekalutan politik Sabah yang berlaku sekarang Hajiji terpaksa menelan pahit. Beliau akhirnya mengumum pembubaran DUN Sabah petang ini ketika reputasi GRS semakin merosot.
Pengumuman tersebut dibuat sempena majlis bersama wakil rakyat GRS di Menara Kinabalu. Sebelum itu media melaporkan Hajiji mengadap Dipertua Negeri Sabah Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Mungkinkah episod kerajaan sepenggal juga menular ke Sabah. Apakah dalam tempoh 60 hari lagi, kerajaan baharu benar-benar muncul di Sabah. Debarnya semakin kencang.