
SALMAH MAT HUSAIN
KUMPULAN warga berusia 65 tahun ke atas dijangka akan mmuncul sebagai kelompok penentu hala tuju politik dan kestabilan negara pada masa hadapan.
Ini kerana Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2043 apabila 14 peratus penduduknya terdiri daripada individu berusia, susulan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
Ketua Asabiqun Tumpat, Wan Zakaria Wan Sulaiman berkata, perkembangan itu memberi isyarat golongan warga emas perlu terus diperkasakan bagi memberi sumbangan kepada perjuangan parti serta kerajaan.
“Untuk itu saya menyarankan golongan asabiqun menjaga kesihatan dan pemakanan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak gejala penyakit akan menjejaskan diri.
“Gunakan kelebihan 30 peratus warga emas yang ada dalam masyarakat kita sebagai kekuatan jentera parti, khususnya ketika pilihan raya.
“Kita mesti terus menyokong perjuangan Islam agar Malaysia kekal sejahtera,” katanya pada Himpunan Jentera Asabiqun Tumpat sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Pentadbiran Kerajaan Kelantan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Asabiqun Pusat, Mohd Noor Muhammad. Turut hadir Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan. Majlis berkenaan juga turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Asabiqun kepada beberapa penerima yang berjasa dalam perjuangan PAS.
Wan Zakaria turut mengajak warga emas menarik sokongan anak muda, jiran serta masyarakat kampung untuk memahami dan mendukung perjuangan Islam yang dibawa PAS.
“Setiap daripada kita perlu bertanya, apa sumbangan terhadap parti dan perjuangan. Jangan biarkan usia menjadi penghalang untuk terus berjuang,” ujarnya.