
ABDUL RAHMAN HARUN
BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas memperlihatkan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin berkurangan.
Situasi itu boleh menyebabkan jurang pembangunan dan kemajuan antara wilayah di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung semakin melebar dan boleh menjejaskan perkembangan ekonomi.
Ahli parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi menyifatkan langkah kerajaan Madani tersebut melambatkan negeri-negeri di Pantai Timur maju seperti di Pantai Barat.

Sebaliknya, kerajaan menganggap pembinaan laluan sepanjang 150 kilometer yang bermula dari Kampung Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor di Tumpat tidak mendatangkan keuntungan.
“Sedangkan di tempat lain boleh bagi RM17 bilion tetapi bila sebut Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) bernilai RM9.8 bilion dianggap besar.
“Projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang melibatkan peruntukan RM17 bilion berbanding RM9.8 bilion kos bagi pembinaan LPT3,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Dato’ Ahmad Maslan dilaporkan memberitahu cadangan projek pembinaan LPT3 dengan anggaran kos RM9.8 bilion masih belum muktamad.
Menurutnya lebuh raya bertol menghubungkan Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong, Kota Bharu memerlukan penelitian mendalam, termasuk aspek kemampuan pihak konsesi.
LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Pahang hingga ke Kampung Gemurah di Terengganu. Ia dibina dengan kos RM4.1 bilion.
Pembinaan lebuh raya tersebut menggunakan wang royalti petroleum milik Terengganu sebanyak RM1.43 bilion.

Malah, jajaran LTP2 menghala ke arah Kelantan sudah lama disiapkan sebahagiannya. Ia terletak tidak jauh dari Plaza Tol Kuala Terengganu.
Mumtaz turut mendesak kerajaan menyediakan data yang lengkap bagi membuktikan dakwaan pembinaan LPT3 merugikan kerajaan.
“Kerajaan tidak boleh ‘disclose’ secara mudah tanpa mengemukakan kajian terperinci. Apa pun kita nampak kerajaan tidak berminat bagi meneruskan pembinaan LPT3.
“Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan yang lebih terhadap negeri di Pantai Timur berbanding negeri-negeri lain sudah jauh maju,” katanya.
Pada 29 September lepas Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan Persekutuan meneruskan pelaksanaan LPT3.
Titah baginda tersebut ketika Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan ke-55 di Istana Balai Besar.