Laksana segera projek tebatan Sungai Golok

Oleh A RAHMAN HARUN

PROJEK Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dihentikan sebelum ini perlu dilaksanakan segera bagi menangani banjir daripada terus berulang.

Di Kelantan, jajahan Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas antara lokasi banjir setiap tahun membabitkan mangsa paling ramai dan tinggal lama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ahli parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi mahu keutamaan diberi kepada projek tebatan banjir di Kelantan yang sudah mencapai perkembangan sehingga 70 peratus sebelum ini.

Kerajaan sewajarnya memberi keutamaan kepada projek tebatan banjir sudah mencapai kemajuan fizikal sehingga 70 peratus disiapkan segera sebelum dilaksana projek tebatan baru.

“Selesaikan dahulu projek tebatan banjir PLSB Sungai Golok, Kesban fasa tiga, menaik taraf ban di Sungai Meranti, Sungai Alor Mengkuang, Sungai Mentua dan Pengkalan Nangka.

“Selain itu projek meninggikan jalan Kesban sepanjang 12 km,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Pada Jumaat lepas ketika membentang Belanjawan 2026 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana sebanyak RM2.2 bilion disediakan sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang di seluruh negara.

Keputusan tersebut membabitkan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang berkeutamaan mengikut jadual termasuk 12 RTB yang mula dilaksanakan tahun 2026 di Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Pada tahun 2022 perdana menteri mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya pada Jun 2023.

Projek itu melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor serta projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3.

Mumtaz yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Kelantan turut menyarankan penubuhan sebuah majlis eksekutif khas bagi memantau status perkembangan projek pembangunan tersebut.

Katanya kaedah itu pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini menerusi penubuhan sebuah entiti persekutuan di bawah Akta 688 iaitu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2008.

“Cadangan penubuhan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Negeri Kelantan dan Persekutuan dianggotai kementerian berkaitan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ini kerana ketika kita bincang dalam Kamar Khas di Parlimen, kebanyakan menteri memberi pelbagai alasan.

“Jadi perlu ada jawatankuasa khas supaya semua menteri dan negeri wakil boleh duduk sekali bincang supaya projek berjalan lancar,” kata beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *