4 tahun dah pembangkang dinafi peruntukan
Oleh Aslani M |
CERITA peruntukan ahli parlimen pembangkang kedengaran sejak November 2022 . Ia berlanjutan sehingga sekarang. Kini, bukan sahaja pembangkang tidak diagih sebarang peruntukan, namun segelintir ahli parlimen kerajaan juga berdepan situasi serupa. Pelik kan.

Apa yang jelas mereka dikatakan cenderung kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Rafizi Ramli. Madanikah kalau begitu?

Pada Jun lepas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dilapor mendakwa pejabatnya tidak lagi dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu. Halangan itu menyebabkan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan Projek Mesra Rakyat (PMR) tidak dapat diteruskan seperti biasa.

Sebelum itu Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menuntut penjelasan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas akses akaun Portal MyKhas milik pejabatnya disekat tanpa sebarang notis.

Dan terbaharu ahli parlimen Ampang, Rodziah Ismail terpaksa melancar Projek Amal Rakyat sebagai inisiatif membantu masyarakat kerana berdepan isu serupa.
“Peruntukan disekat. Walau bagaimanapun, suka saya tegaskan apa jua rintangan dan cabaran tidak akan sekali-kali dijadikan sebagai alasan untuk mengurang atau menurunkan kualiti khidmat bakti buat warga Ampang,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Sebenarnya situasi yang menimpa tiga ahli parlimen PKR tersebut ditanggung pembangkang sejak 2022. Ini bermakna hampir empat tahun. Ahli parlimen pembangkang tidak diberi sebarang peruntukan sejak November 2022 dan berlarutan sehingga sekarang. Ia jelas bertentangan dengan Manifesto Harapan 2022.
Sedangkan ketika era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang diberi peruntukan sama rata iaitu sebanyak RM300,000 setahun bagi membantu rakyat.
Jawatankuasa

Bagaimanapun bagi meredakan kemarahan pembangkang, pada awal tahun lepas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, sebuah Jawatankuasa akan ditubuhkan bagi meneliti sebarang cadangan termasuk isu peruntukan pembangkang.
Menurutnya penubuhan jawatankuasa terbabit perlu bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih konsensus dan menyeluruh.
Bagaimanapun selepas beberapa siri rundingan diadakan antara kerajaan dan pembangkang, akhirnya kerajaan Madani mahu pembangkang menandatangani draf memorandum persefahaman (MoU).
Draf tersebut difahamkan mengandungi tujuh syarat digariskan Kerajaan Madani kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan peruntukan. Antaranya sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R).
MoU

Ketua Whip PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kandungan memorandum persefahaman tersebut sebagai pelik.
“Cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan,” ujarnya.
Ekoran itu, PN mengumumkan menolak draf memorandum persefahaman berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana menganggap bercanggah dengan Perlembagaan.
Gara-gara berdepan isu yang sama, Rodziah yang juga bekas Ketua Wanita PKR memberitahu Projek Amal Rakyat mengajak warga Parlimen Ampang; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); korporat; agensi kerajaan dan badan berkanun menyumbang.
“Sumbangan sama ada dalam bentuk dana, barangan, perkakas dan peralatan, kemahiran, kepakaran dan kapasiti intelektual lain.
“Segala sumbangan yang diterima akan dibentang secara terperinci, terbuka dan bertanggungjawab, mematuhi prinsip-prinsip ‘good governance’ serta dimanfaatkan secara telus dan berintegriti,” ujarnya.
Ketepi Rodziah

Ketika geger isu ahli parlimen PKR terbabit disekat peruntukan, tiba-tiba Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Azman Abidin dilapor dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang.
Pada kenyataan beliau menjelaskan pelantikan itu bagi memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada rakyat Ampang dapat diteruskan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Menurutnya selaras dengan tanggungjawab tersebut, beliau akan menyelaras bersama Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Penyampaian bantuan akan dikoordinasikan Adun di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian,” katanya.
Sehubungan itu, menurutnya sebarang permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di Parlimen Ampang boleh dikemuka terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Mengulas perkembangan isu tersebut ahli parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu setakat ini tiga ahli parlimen PKR disekat peruntukan parlimen masing-masing.
“Bermula dengan Ahli Parlimen Subang diikuti Ahli Parlimen Petaling Jaya dan terkini Ampang,” katanya. Tanya Pak Mat di Kampung Baru, Madani kah begitu? Atau cakap tidak serupa bikin.
