Terus Terang

PKR makin sukar pertahan Selangor

Oleh M Faqih |

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mampu berbangga kerana dapat mempertahankan Selangor dalam tempoh agak lama. Bermula pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 tahun 2008.

Pertama kali dalam sejarah gabungan pembangkang yang dikenali Pakatan Rakyat (PR) berjaya menerajui kerajaan Selangor selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008.

Ketika itu BN yang menguasai Selangor sejak merdeka hanya mempertahankan 20 kerusi iaitu Umno (18) dan MCA (2). Manakala PR pula menguasai 36 kerusi iaitu DAP (13), PKR (15) dan PAS (8). Dun Selangor mempunyai 56 kerusi. Bagaimanapun kerusi PKR susut kepada 14 kerusi pada PRU 2013. Sebaliknya PAS bertambah kepada 15 kerusi dan DAP juga 15 kerusi.

Biarpun PAS mempunyai jumlah kerusi lebih besar berbanding PKR, namun parti itu memberi laluan PKR mengisi kerusi menteri besar (MB). Berikutan itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik MB bagi penggal kedua.

PAS menyokong pencalonan Khalid sebagai MB. Bagaimanapun pada penggal kedua usaha digerakkan PKR menolak Khalid. Ada pemimpin tertinggi PKR disebut cuba mengambil alih posisi Khalid.

Tohmahan terhadap Khalid bertambah marak apabila Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilapor mengedar dokumen 40 muka surat yang menyenaraikan dakwaan salah laku Khalid ketika mentadbir Selangor.

Berikutan itu Khalid bertindak balas dengan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Namun akhirnya beliau dilucut keahlian PKR atas alasan melanggar disiplin parti.

Bagaimanapun Khalid tetap meneruskan tugas sebagai MB selepas mendapat keizinan daripada Istana Selangor. Adun PAS turut menyokong Khalid bagi meneruskan tugas sebagai MB.

Langkah Kajang

Gerakan menyingkir Khalid disemarak dengan Langkah Kajang. Ia digerak tanpa persetujuan PAS sebagai rakan tahaluf. Langkah Kajang berlaku pada 2014 yang dimulakan Adun Kajang, Lee Chin Cheh apabila secara tiba-tiba mengosongkan kerusi Dun.

Berikutan itu pilihan raya kecil diadakan di Kajang bagi memberi ruang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang diura-urakan akan menggantikan Khalid sebagai MB Selangor.

Malah, Anwar dikatakan memulakan gerak kerja kempen lebih awal. Namun, malangnya Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagi menyelamatkan keadaan akhirnya Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan tempat Anwar sebagai calon PKR di Dun Kajang. Pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada 23 Mac 2014 Dr Wan Azizah menewaskan calon MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 undi. Majoriti terbabit kurang berbanding majoriti diraih Lee Chin Cheh pada PRU13 iaitu 6,824 undi.

Setelah berdepan dengan pelbagai tekanan dalaman PKR, akhirnya Khalid meletak jawatan MB pada 26 Ogos 2014. Namun, Khalid berjiwa besar apabila tetap menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon MB yang baharu.

Namun, cadangan tersebut ditolak Istana Selangor. Sebelum itu PKR dan DAP hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB, sedangkan istana mensyaratkan tiga nama calon.

Bagaimanapun PAS menghantar tiga nama sebagai calon MB termasuk Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. PKR dan DAP kemudian menghantar sekali lagi senarai tiga nama termasuk Dr Wan Azizah.

Tindakan tersebut dikatakan mengundang rasa tidak senang istana. Kemelut itu berakhir selepas istana menamakan Azmin sebagai MB baharu.

Menang besar

Dan pada PRU14 gabungan PKR, DAP dan Amanah menang besar di Selangor. Pada PRU yang diadakan 9 Mei 2018, gabungan baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) menang lebih bergaya. PH ketika itu diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya Anwar.

PH menguasai 51 daripada 56 kerusi. BN pula menang 4 kerusi dan PAS (1 kerusi). Jumlah kerusi PH iaitu PKR (21), DAP (16), Amanah (8) dan Bersatu (6).

Bagaimanapun penguasaan PH di Selangor merosot semula pada pilihan raya negeri Ogos 2023. Jumlah kerusi PH merosot kepada 32 berbanding 51 pada PRU lepas. Manakala PN pula menang 22 kerusi dan BN hanya dua kerusi.

Berikutan kemenangan itu Dato’ Seri Amiruddin Shaari dilantik sebagai MB bagi penggal kedua. Namun, Selangor di bawah Amiruddin juga mengundang rasa tidak senang istana. Kali ini berkaitan isu penternakan babi. 

Krisis yang berlaku itu mencacatkan hubungan PKR dan Istana Selangor. Ramai pemerhati politik melihat PKR agak sukar mempertahankan Selangor pada PRU akan datang.

Isu derhaka

Isu ‘penderhakaan’ wakil rakyat DAP berkaitan isu babi membawa kepada perhimpunan aman rakyat. Himpunan Daulat Tuanku diadakan pada 16 Mei lepas di Shah Alam, Selangor.

Ia dianjurkan Pemuda PAS Selangor serta kerjasama NGO bagi menyatakan solidariti dan mempertahankan institusi diraja ekoran kontroversi isu penternakan babi. Turut hadir pada perhimpunan tersebut pemimpin Umno, Bersatu, Pejuang dan Putra.

Kedegilan DAP dalam banyak keadaan di Selangor merencatkan usaha PKR mempertahankan Selangor. Sentimen rakyat Selangor antiDAP semakin menular sekarang.  

Di Selangor terdapat 40 kerusi Dun dikategori majoriti Melayu daripada keseluruhan 56 kerusi. Dan sebanyak 31 kerusi daripadanya merupakan majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus.

Sekiranya Perikatan Nasional (PN) mampu melonjatkan pengaruh dengan menambah lapan lagi kerusi Dun daripada 22 sekarang, penguasaan PH di Selangor dijangka akan berakhir.

Maka tidak hairanlah kini bekas pemimpin Umno Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut bakal menggantikan Amiruddin bagi meredakan hubungan PKR-istana.

Peranan besar Tengku Zafrul dapat dilihat apabila dilantik Anwar sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan yang dianggap sebagai kubu Dato’ Seri Rafizi Ramli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *