SEBELUM ini stesen kereta api di Pasir Mas, Kelantan begitu sibuk. Ketika tiba tren dari Sungai Golok, suasana menjadi kalut. Peraih berkejaran menurunkan barangan mereka.
Manakala pekerja yang berkhidmat memikul barang memastikan barangan yang hendak diturunkan dilonggok di platform stesen. Paling banyak beras, ikan kering dan produk lain dari Thailand.
Suasana tambah sibuk apabila tiba pula tren dari Tumpat. Ada juga tren dari Tanah Merah singgah di Pasir Mas sebelum ke Wakaf Bharu. Inilah suasana yang dapat disaksikan setiap hari di stesen kereta api Pasir Mas.
Malah, pelancong asing juga sering menggunakan tren dari Sungai Golok datang ke Kelantan. Mereka singgah di Pasir Mas atau Wakaf Bharu sebelum bertolak ke Kota Bharu.
Antara laluan Pasir Mas ke Rantau Panjang juga terdapat stesen kecil. Antaranya stesen kereta api Gual Periok dan Repek. Penduduk di Rantau Panjang sering menggunakan perkhidmatan tren datang ke Pasir Mas.
Namun, semuanya itu berubah selepas perkhidmatan tren dari Sungai Golok dihentikan. Alasan kerajaan bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan. Dan hari ini rel di sepanjang laluan tersebut terbiar.
Landasan kereta api sebahagian besar tenggelam dalam semak. Biarpun begitu rel masih utuh biarpun kayu alas rel ada yang sudah reput.
Stesen kereta api di Rantau Panjang terletak berhampiran Jalan Besar dibuka pada tahun 1921.
Kewujudan stesen kereta api Rantau Panjang lebih awal berbanding di Padang Besar, Perlis. Stesen Keretapi Padang Besar dirasmikan pada September 1957.
Dan Stesen Kereta Api Sungai Golok, Narathiwat pula dirasmi selepas itu iaitu pada 6 April 1966.
Pembukaan stesen kereta api di Sungai Golok dilakukan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia Saadon Jubir dan Menteri Perhubungan Thailand Lef Jeneral Pongse Punnkanta.
Bangunan stesen kereta api tersebut dibina melibatkan kos RM450,000. Ia bagi menggantikan bangunan lama berusia 45 tahun. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada Julai 1965 dan siap sepenuhnya Mac 1966.
Kos pembinaannya dibiayai secara bersama oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Keretapi Negara Thailand.
Dari Pekan Sungai Golok rel dibina merentangi Sungai Golok ke Rantau Panjang. Jambatan rel Harmoni terletak bersebelahan dengan jambatan Muhibah.
Jambatan besi tersebut juga masih utuh biar pun berusia hampir 60 tahun.
Sebelum ini kerap muncul cadangan supaya kerajaan menghidupkan semula laluan rel Pasir Mas–Sungai Golok. Pertimbangannya berkaitan ekonomi dan pelancongan sebagai asas.
Lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang rakyat Malaysia kerap melancong ke Thailand. Setidak-tidaknya dapat mengurangkan kesesakan di Kompleks Imigresen Rantau Panjang pada hujung minggu.
ECRL
Cadangan tersebut sekarang cuba diterjemahkan usaha untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga ke Rantau Panjang.
Malah, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberithu projek tersebut masih dalam perbincangan dengan China Communications Construction Co Ltd (CCCC).
Menurutnya kajian teknikal termasuk risiko banjir dan kebolehlaksanaan perlu diambil kira.
“Di Rantau Panjang terdapat isu teknikal kerana jenis landasan ECRL dan State Railway of Thailand (SRT) berbeza,” katanya di parlimen.
Kementerian juga dikatakan dalam proses menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) Cross Border Transport dengan Thailand.
Oleh itu bagi menjimatkan kos ECRL boleh memanfaatkan semula rel Keretapi Tanah Melayu Berhad yang sedia ada. Tidak perlu lagi pengambilan tanah seperti jajaran ECRL di tempat lain.
Langkah tersebut juga dapat mengurangkan kebergantungan hanya kepada pengangkutan jalan raya. Di samping itu memperkukuhkan hubungan ekonomi serta sosial antara Malaysia dan Thailand.
