Rentak menunggu belah PH-BN bermula di Johor

Oleh M Faqih |
TIDAK mampu disembunyikan lagi. Umno dan Pakatan Harapan (PH) mulai bertembung secara terbuka bermula di Melaka dan Johor di pentas pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Hari ini pemimpin PH menyahut cabaran Umno Johor yang mengumumkan bakal meletak calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Pengerusi PH Dato’ Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengulangi kenyataan sedia meletak semua calon PH di Melaka dan Johor pada PRN kali ini.
“Hari ini PH mengambil keputusan untuk bertanding di semua kawasan di Johor. Begitu juga di Negeri Sembilan, semua kawasan akan kita tandingi. Di Selangor kita akan bertanding di semua kawasan dan begitu juga di Pulau Pinang, di Pahang semua kawasan akan kita tanding,” katanya pada Konvensyen PH di Johor.

Keputusan PH itu menghantar isyarat jelas kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menumpang tuah Anwar sejak November 2022. Biarpun kemungkinan u-turn akan berlaku lagi, namun wibawa Zahid sudah tercalar teruk.
Barisan Nasional (BN) Johor seperti tidak mengendahkan lagi strategi bertenggek di rumah orang seperti yang dipertahankan Zahid sebelum ini.
BN Johor nekad mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dun pada PRN tidak lama lagi. Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi selepas dikatakan mengambil maklum pandangan, suara serta harapan rakyat Johor dan kepimpinan akar umbi Umno-BN Johor.
Malah menurutnya, keputusan berkenaan turut dipersetujui selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti. Tidak dijelaskan sama ada melibatkan Zahid atau sebaliknya.
“Bagi Umno dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi Dun adalah tawaran kepada rakyat, kami bersedia membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya pada Jumaat lepas.

Kenyataan terbabit turut mendapat sokongan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Dato’ Seri Ahmad Maslan. Beliau cuba menggambarkan perkara itu dapat dilihat menerusi maklum balas yang diterima sepanjang siri penaziran dan program turun padang di pelbagai kawasan di Johor sejak empat bulan lalu.
Hujah serupa juga dilontar Presiden MCA Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong yang menyifatkan keputusan Pengerusi BN Johor untuk bergerak solo pada PRN Johor sebagai keputusan terbaik.
Kata beliau MCA sebagai parti komponen turut bermusyawarah dalam mencapai konsensus itu dan berdiri teguh serta menyokong sepenuhnya kepimpinan Onn Hafiz.
“MCA telah lama bersiap sedia dari pelbagai sudut baik kesiapsiagaan jentera mahupun bersedia dalam merangka strategi bagi memastikan BN kekal mempertahankan Johor dengan kemenangan besar pada PRN kali ini,” katanya pada kenyataan.

Sahut cabaran
Sebagai menyahut cabaran itu PH Johor mengumumkan bakal bertanding semua 56 kerusi Dun pada pilihan raya negeri tidak lama lagi. Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Ketua Amanah Johor yakin PH mampu menewaskan BN untuk kali kedua.
“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor menyatakan BN akan bertanding di 56 kerusi, maka PH Johor akan turut sama bertanding di 56 kerusi, mereka telah beri laluan dan kata putus.
“Walaupun ada yang menyatakan kenapa hendak bertanding dengan rakan sendiri.. Ini kerana mereka yang isytiharkan, maka kita sambut,” katanya.

Pada PRN 2022 BN memenangi 40 kerusi Dun, manakala PH (12), Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1). Konvensyen PH yang berlangsung di Johor menunggu lagi aksi pusingan ‘U’ seperti sering berulang sebelum ini.
Malah, ia ditegaskan lagi apabila Anwar memberitahu akan pantau dan mengadakan perbincangan dengan kawan-kawan dalam PH dalam masa terdekat. Kita tidak makan ugutan, no way. Kalau betul pendirian BN, kita akan kembali kepada rakyat, bukan setakat Johor, malah seluruh negara saya bersedia, ini darah reformasi pantang dicabar.
“Lawan tetap lawan. Kalau mereka yang mulakan kita akan jawab. Kalau kamu pilih untuk bertempur kita sedia lawan. Dalam masa terdekat saya akan panggil pimpinan PH, untuk berunding.
“Johor dan Negeri Sembilan kita lawan semua. Adakah orang PH di Johor dan Negeri Sembilan bersedia,” katanya pada ucapan akhir di Konvensyen PH.
Malah, sebelum itu Setiausaha Agung DAP Anthony loke melontar isu serupa dengan menyatakan kalau Umno mahu tanding 56 kerusi di Johor, di Negeri Sembilan juga PH akan tanding 36 kerusi.
“Kalau Johor bubar esok, di Negeri Sembilan juga kita bubar esok,” katanya yang menggambarkan PH sudah berkorat rotan dengan BN dan Umno.
Namun, ramai melihat isu itu belum muktamad. Sekali ini Umno dijangka membuat pusingan ‘U’. Sama seperti dipersembahkan di Negeri Sembilan sebelum ini.
Biarpun 14 Adun Umno mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun, namun kerajaan PH belum jatuh lagi. Akhirnya, Zahid dijangka muncul dengan kenyataan sama, itu pandangan Umno Johor dan bukan Umno Pusat.
Konvensyen PH juga menyaksikan Anwar menyerah kit pilihan raya kepada jentera PH dari Johor dan Negeri Sembilan. Visel sudah dibunyikan, petanda pertempuran sudah bermula.

