Penyatuan ummah mimpi ngeri buat PH
Oleh M Faqih |
TIDAK sukar untuk membaca agenda media setiap kali berlangsung muktamar PAS. Ia bukan perkara baharu. Berulang dan berulang. Begitu juga apa yang berlaku pada muktamar PAS kali ke-72 di Dewan Tok Guru Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada 4 dan 5 September lepas.
Antara isu yang dikutip termasuk ceramah perdana sempena ulangtahun PAS ke-75 di Dataran PUTIK.
Dipetik media ceramah disampaikan Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan. Ada wartawan memilih mengetengahkan semula isu yang lebai kampung sedia maklum.
“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga,” kata Takiyuddin.

Pelik atau tidak. Bagi lebai tidak. Cuba lihat Surah As-Saff ayat 10-12 yang membawa maksud “Allah menyatakan bahawa beriman dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa adalah ‘perniagaan’ yang akan mengampunkan dosa serta menjamin tempat di dalam syurga”.
Surah At-Tawbah ayat 111 bermaksud, “Allah menegaskan bahawa Dia telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga sebagai balasannya kerana berperang di jalan Allah.”

Lebih pelik lagi apabila ada pihak mengulas isu tersebut dalam konteks berbeza. Lantas ada yang berlagak sebagai hero dengan menyebut ‘PAS pegang kunci syura’.
Berpuluh tahun lalu, arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz sering mengingatkan golongan wartawan. Katanya, pena kena cara boleh membawa penulis ke syurga.
Bagaimanapun ada petugas media mengejar view dan follower yang tinggi. Melalui gimik seperti itu portal tempat mereka bekerja popular. Pendapatan syarikat juga bertambah tanpa memahami erti berkat.
Ejen Amerika

Begitu juga kenyataan penggulungan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pada ucapan itu beliau menceritakan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengundangnya ke Kedutaaan AS ketika berkunjung ke Malaysia pada 2014.
Pada perjumpaan itu bekas Presiden AS menanyakan siapa perdana menteri daripada PAS sekiranya dapat mentadbir negara. Dan disebut juga AS sedia membantu PAS memenangi pilihan raya.
Dan kesempatan itu direbut segera lantas isu berkenaan diviralkan. Tidak lama kemudian keluar kenyataan, Kedutaan AS dilapor menafikan apa yang disebut presiden PAS.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan terbabit sebagai palsu.

Malah ada pihak mahu digelar juara lalu membuat laporan polis terhadap Presiden PAS. Lebih aneh lagi laporan polis bukan dibuat Kedutaan AS, sebaliknya pemimpin PKR.
Media melaporkan laporan itu dibuat PKR Bandar Tun Razak, PKR Cabang Bandar Tun Razak dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak. Bunyi macam banyak tetapi dari satu komuniti.

Pengarah Muktamar PAS 2026, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menyifatkan isu sokong PAS masuk syurga dan PAS sebagai ejen AS sengaja cuba dikelirukan.
“Sebagai orang terpelajar, apabila ada kekeliruan hendaklah cari sumber asal untuk memahami dahulu konteks perbincangan, dengar dulu keseluruhan ucapan dan barulah buat ulasan.
“Saya percaya tuan bukanlah seorang yang dangkal. Riuh rendah jadinya di media sosial sedangkan kami tenang-tenang saja. Kami cukup faham dengan apa yang pemimpin maksudkan,” katanya pada kenyataan.
Persoalannya mengapa isu syurga dan ejen AS cuba diberi wajah sedemikian rupa. Tidak lain lagi kerana langkah PAS semakin mendekati Putrajaya.
Jadi bagi menghalang kemaraan PAS lalu diberi wajah buruk bagi mencacatkan parti terbabit. Antaranya mencari media yang serasi dengan agenda mereka.
Lantas wartawan kanan dihantar ke muktamar PAS bagi mengutip ucapan yang boleh diviralkan. Persoalannya apakah rakyat mudah terpengaruh dengan agenda seumpama itu.
Inilah kesilapan tanpa disedari pengurusan laman berita di era sekarang. Biarpun isu syurga dan ejen AS cuba disogok, malangnya netizen lebih awal mengetahui isu terbabit. Mereka mengikuti live ceramah Takiyuddin dan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi.

Ucapan disiarkan secara langsung di media sosial. Dan laporan portal berita dianggap sudah ketinggalan. Lagipun rakyat tahu apa yang berlaku sebelum berita muncul di portal berita.
Hakikatnya apa yang dibimbangkan musuh politik kerana jejak PAS, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) ke Perdana Putra semakin hampir.
Penyatuan ummah
Lebih-lebih lagi penyatuan ummah menjadi sebutan rakyat di mana sahaja. Itulah harapan mereka termasuk masyarakat bukan Islam. Keletihan rakyat di bawah Kerajaan Madani tidak mampu disembunyikan lagi.
Mereka memilih mudarat lebih besar sekiranya dibiarkan PH terus berkuasa. Dan tidak pelik apa yang diagenda di Muktamar PAS akan diulang semula pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada hujung minggu ini. Media pro Pakatan Harapan (PH) setia menanti untuk mengutip setiap ucapan yang boleh membantut penyatuan ummah.
Agenda musuh politik untuk memandulkan penyatuan ummah. Malangnya sehingga sekarang belum berjaya. Impian PKR untuk mengadakan rundingan dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat seperti tersangkut di tengah jalan.

Seperti kata Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi “Ada ubi, ada bataslah,”. PAS menerima undangan untuk menghadiri PAU selepas pemimpin Umno dijemput ke muktamar di Kota Bharu.
Sebaliknya Umno tidak mengundang pemimpin PH menghadiri PAU kali ini. Isyarat yang berlaku di sebaliknya kenyataan Zahid tidak sukar difahami.

Mengulas perkembangan terbabit Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia menjelaskan kesungguhan PAS mahu bekerjasama dengan Umno dianggap sebagai pertimbangan strategik politik.
“Berdasar landskap politik semasa, sampai bila pun PAS tidak akan dapat menguasai lebih banyak negeri atau menawan Putrajaya tanpa kerjasama dengan pihak lain.
“PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Umno, PKR dan DAP. Ini menunjukkan PAS bukan sebuah parti yang terlalu taksub kepada satu-satu pendirian politik,” katanya.

Menurutnya keupayaan PAS mengekalkan kesetiaan ahli serta kekuatan organisasi parti menjadikan kerjasama dengan pihak lain sebagai strategi yang boleh dipertimbang tanpa menjejaskan identiti parti.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan kerjasama dengan Umno lebih mirip kepada konsep taawun. Ia tidak mengikat seperti Piagam Muafaaat Nasional yang pernah ditandatangani pada tahun 2019.
PAS mempunyai pengalaman panjang bersama Umno pada tahun 1973, 1974 dan 2018. Perwakilan muktamar PAS memberi ingatan jangan dibiarkan berulang peristiwa lama.
Ia selaras dengan Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Seorang mukmin tidak akan disengat (dipatuk) dari satu lubang yang sama sebanyak dua kali.“

