Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Cuit Oghe Kito

4 tahun kluk klik peruntukan pembangkang

Editor: Arus Lebir5:37 petang31 views
Saiz teks20px

Oleh M Faqih |

ISU peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang berlarutan menghampiri empat tahun. Ia tidak selesai. Dan kali ini harapan baharu pula diberi kerajaan ekoran penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen. Usul itu dibentang Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Ia berada di bawah Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat.

Individu yang dilantik iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Dato’ Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Hari ini harapan itu diberi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya isu peruntukan kepada pembangkang ada sinarnya melalui Majlis tersebut.

Sebelum itu isu terbabit agak tegang seketika selepas Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkit isu peruntukan untuk pembangkang.

Semalam isu serupa dibangkit Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis. “Saya bercakap sebagai ahli Parlimen daripada kerajaan.

“Semasa kita menjadi pembangkang dahulu, kitalah yang paling lantang menyeru supaya kerajaan berlaku adil dengan memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua pihak.

“Namun, apabila kita sudah memegang kuasa, mengapa pula kita menafikan hak mereka dan hak rakyat yang mereka wakili,” katanya.

Dan hari ini isu tersebut berulang semula. Sedangkan setahun sebelum Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya, mereka memberi komitmen mengagih peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen.

Berlalu janji

Perkara itu juga jelas terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2022. Bagaimanapun selepas mendapat kuasa politik, janji pilihan raya akhirnya masuk bakul sampah.

Bagaimanapun bagi melepas diri kenyataan pemimpin PH mengenai peruntukan sama rata sering berbelit-belit. Kata orang kampung kluk klik.

Pada 7 Mac 2023 Perdana Menteri dilapor memberitahu secara prinsipnya beliau bersetuju memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang seperti yang diberi kepada ahli parlimen kerajaan.

Ia ditegaskan lagi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 18 April 2024. Kata beliau Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbang menyalur peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kemudian selepas hampir setahun berlalu, lain pula jadinya. Fadillah pada 26 Februari 2025 menyebut kerajaan mempertimbang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu peruntukan kepada pembangkang.

“Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang terlebih dahulu hendaklah mencapai konsensus berhubung perkara itu,” katanya kepada media.

Malangnya selepas empat tahun berlalu, isu peruntukan digantung tidak bertali. Ekoran itu Ahli Parlimen Arau sekali lagi mengharap pembangkang diberi peruntukan minggu depan.

Kata beliau minggu depan kerajaan hendaklah mengumumkan peruntukan kepada semua pembangkang. “Ahli parlimen hendaklah dilayan dengan adil,” ujarnya.

Era PN dapat peruntukan

Sedangkan di era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan. Persetujuan dicapai setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik Bersama Pihak Kerajaan pada 13 September 2021.

Oleh itu Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainuddin merakam ucapan terima kasih dan tahniah kerana komitmen baharu Kerajaan Madani untuk menyelesaikan isu peruntukan selepas empat tahun tertangguh.

“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Speaker biarlah mereka bermesyuarat terlebih dahulu, dan keputusan akan dibuat kemudian.

“Keadilan itu tidak hanya diberikan dalam perkara tersebut sahaja. Sebaliknya, semua perkara yang dibangkitkan dalam Dewan ini juga perlu diberikan keadilan sewajarnya.

“Itulah permintaan saya. Saya juga berharap agar menteri mengambil perhatian bahawa masih banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan, bukan perkara itu sahaja yang saya mahukan,” ujarnya.

Shahidan meletak pengharapan tinggi kepada Speaker agar mempunyai keberanian meminta Perdana Menteri memindahkan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Speaker untuk bertindak dengan adil.

Beliau menyifatkan Speaker tidak akan dapat tidur lena sekiranya perkara itu tidak berlaku.

“Bagi kami yang berada dalam Dewan ini, apa yang mampu kami lakukan hanyalah berdoa. Kami akan mendoakan perkara yang baik-baik sekiranya orang berbuat baik kepada kami.

“Namun, jika ada pihak yang tidak berbuat baik kepada kami, kami berdoa agar Allah membuka pintu hatinya supaya menjadi lebih baik,” ujar beliau.

Kini pembangkang menyandar harapan kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen yang baharu ditubuh. Apakah ia mengulangi ‘drama’ lama atau sebaliknya. Mungkinkah ia menggambarkan episod baharu agenda mendera pembangkang.

Atau isyarat PRU16 semakin hampir. Ruang masih ada Kerajaan Madani membersihkan imejnya sebelum melangkah keluar meninggalkan Putrajaya. Kita tunggu dan lihat nanti.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.