Bekas PM dibiar berkerusi roda di tengah panas
Oleh M Faqih |
SAMBUTAN Hari Kebangsaan kali ini benar-benar mempamerkan semangat patriotik. Kata orang berjiwa kental. Bukan kerana anggota keselamatan lengkap dengan senjata, sebaliknya warga emas sanggup berpanas di kerusi roda di tepi gelanggang.
Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkerusi roda menarik simpati ramai. Ia lebih hebat berbanding ulangan retorik ucapan pemimpin negara di era sekarang.
Lantas bagi menyembunyikan kelemahan, ada pihak yang menyifatkan lagak Dr Mahathir sebagai gimik politik. Pelbagai telahan boleh dibuat kalau sudut negetif yang kita inginkan.

Apakah agama mengajar begitu? Sedangkan Islam mengajar umatnya berbuat baik kepada orang yang lebih dewasa. Hadis diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi Muhammad S.A.W, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya.
Lalu Baginda S.A.W bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa”.
Namun apa yang berlaku semalam tidak mencerminkan apa yang disarankan agama. Kehadiran bekas perdana menteri (PM) di ruang awam dengan berkerusi roda menarik simpati ramai.
Selepas dikecam pelbagai pihak akhirnya Kementerian Komunikasi tampil untuk cuba meredakan keadaan. Pada kenyataan kementerian terbabit menyebut bekas PM tidak secara automatik diundang pada sambutan Hari Kebangsaan sejak 2018.
Menurutnya kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan.
Pada kenyataan sama Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan mejelaskan pihak urus setia menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir akan ke luar negara 28 hingga 31 Ogos.
Maruah

Jawapan seperti itu sekadar melepas batuk di tangga. Tentunya maruah kerajaan tercalar apabila seorang bekas PM dibiarkan berkerusi roda di galeri awam pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Biar apapun jawapan pihak penganjur, maruah Kerajaan Madani sudah merudum. Ruang untuk kerajaan mempamerkan semangat berjiwa besar dibiarkan hilang begitu sahaja.
Selain Dr Mahathir, pihak penganjur boleh juga mengundang dua lagi bekas PM iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri. Namun, ia tidak kelihatan berlaku begitu.
Akhirnya Dr Mahathir membuat pilihan sendiri. Katanya, beliau gembira melihat sambutan rakyat terhadap Perarakan Merdeka di Putrajaya.

“Saya ke Merdeka Parade Putrajaya untuk melihat sambutan oleh rakyat. Saya gembira kerana sambutan masih hangat,” katanya pada catatan di media sosial.
Beliau juga mencatat, wajah ceria golongan muda yang hadir menunjukkan mereka benar-benar menghayati sambutan kemerdekaan.
Menurutnya juga tidak ada yang lebih mulia dari mempertahankan negara tercinta. Ternyata usia tidak menghalang Dr Mahathir mencipta naratif sehingga mencalar lagi maruah Kerajaan Madani.
Banyak peluang yang ada dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap lebih teliur mengimbau kesalahan orang lain. Itulah ulang tayang yang sering dipaparkan.

Bagi Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan, sebaliknya ia sebagai tanggungjawab yang wajib dipertahankan.
Kata beliau tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan keharmonian rakyat yang lebih baik kepada generasi akan datang.
“Selama 69 tahun lalu para pejuang kemerdekaan mengenepikan kepentingan diri demi membebaskan tanah air daripada penjajahan. Hari ini perjuangan kita berbeza.
“Tanah air ini ialah amanah yang wajib dijaga. PEJUANG akan terus membawa suara rakyat dan mempertahankan prinsip kepentingan negara mengatasi kepentingan individu serta percaturan kuasa,” katanya di laman sosial.
Tidak jemput

Penganalisis politik, Dr Khalid Hamka turut mempersoalkan mengapa seorang bekas PM yang pernah memimpin negara lebih 24 tahun dibiarkan hadir menyambut kemerdekaan bersama rakyat biasa.
Menurutnya seorang negarawan yang pernah berdiri di pentas utama sambutan kemerdekaan negara, akhirnya hadir tanpa tempat rasmi yang disediakan kerajaan.
“Alasan kerajaan bekas PM tidak dijemput secara automatik sejak 2018 cukup mudah. Kalau amalan sejak 2018 itu tidak sesuai, ubahlah. Kerajaan sekarang bukan pentadbir muzium yang tugasnya sekadar menjaga amalan kerajaan terdahulu. Jangan apabila dikritik, semua kesalahan mahu diwariskan kepada prosedur llama,” katanya.
Mungkinkah Dr Mahathir membuat silap mata sekadar menguar-uarkan berada di luar negara, namun akhirnya muncul di Putrajaya pada pagi 31 Ogos. Ia berjaya menambah koleksi cacat Kerajaan Madani.
Semuanya itu dibiarkan berlaku ketika Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering mengingatkan kelemahan ketara komunikasi kerajaan PH.
Ternyata nasi sudah menjadi bubur. Naratif kerajaan sepenggal tidak mampu disembunyikan lagi. Ia menenggelamkan agenda sakau yang sering diulang ulang.

