ALOR SETAR: PAS bersedia memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menerajui kepimpinan utama negara berdasar kompetensi pemimpin yang ada sekarang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kemampuan empat negeri yang ditadbir PAS bersama PN membuktikan realiti tersebut.
“Kita mempunyai empat menteri besar di negeri SG4. Panglima Perang di Kelantan, Laksmana Pertama Kehormat di Kedah, jurutera profesional di Terengganu dan Cikgu Syukri di Perlis.
“Keempat-empat watak mentadbir negeri yang tidak kurang cekap berbanding kepimpinan perdana sedia ada,” katanya di sini.
Kesediaan PAS memimpin negara rupa-rupanya mengundang tidak senang hati pemimpin Amanah apabila naib presidennya Datuk Mahfuz Omar menganggap PAS terperangkap dalam ‘bubble’ politiknya sendiri sibuk bermimpi untuk memerintah negara.
Mohd Firdaus berkata, figura kepimpinan PAS lengkap dengan segala watak dan kemampuan yang menggambarkan parti itu tidak ketandusan kepimpinan.
Menurutnya pemimpin PAS bukan oportunis politik yang pragmatis kerana diajar beradab dalam soal kepimpinan.
Kata beliau sebagai sebuah parti lama yang banyak melahirkan tokoh negarawan, PAS pasti membuktikan penglibatan dalam kerajaan melalui pengalaman politik yang mematangkan.
“Kita berbangga dengan nama-nama besar yang disebut sebagai negarawan antaranya Haji Burhanudin Al-Helmy, Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” ujarnya.
Beliau juga berkata, PAS masih mempertahankan ‘green flag’ dengan rekod bersih dan berintegriti sepanjang 35 tahun mentadbir Kelantan.
Katanya, tiada satu pun kes melibatkan pelanggran integriti dibuktikan pimpinan PAS di Kelantan.
“Kita juga berbangga dengan pencapaian negeri SG4 iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis. Kita tetap bertahan dengan menjunjung prinsip integriti,” tambahnya.
