Gelanggang Rakyat

Ungkapan ‘ikhlas-bodoh’ cuit perwakilan

Oleh Norzana Razaly |

MUKTAMAR PAS yang berakhir Sabtu lepas meninggalkan kesan mendalam. Antaranya penggulungan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat biarpun agak kelakar, namun ada perkara yang wajar dijadikan renungan.

“Ikhlas dan bodoh adalah dua perkara yang dekat,” kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Ia membuka medan renungan yang jauh lebih besar tentang akhlak, kuasa dan kebijaksanaan dalam politik.

Katanya lagi ‘dilarang tawaduk kepada orang yang merasakan dirinya besar.’ Bagi Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad, makna di sebalik kata-kata Menteri Besar Kedah begitu mendalam.

Hujah sama dilontar Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Nik Abdullah. Kata beliau kedua-dua ungkapan itu wajar dibaca sebagai peringatan tentang keperluan menempatkan akhlak pada pertengahan yang seimbang.

Penulis juga teringat dalam tradisi falsafah akhlak Islam. Persoalan itu menarik jika dicerakin menerusi pemikiran Ibnu Miskawaih, khususnya gagasannya mengenai empat keutamaan utama manusia iaitu hikmah, syaja’ah, iffah dan keadilan.

Sebagaimana termaktub dalam Tahdzibul Akhlaq, Ibnu Miskawaih melihat akhlak terbentuk apabila daya dalam diri manusia diseimbangkan oleh akal sehingga tidak tergelincir kepada dua kutub keterlaluan.

Pertama ialah hikmah, iaitu kebijaksanaan yang lahir daripada daya berfikir atau quwwah al-natiqah. Hikmah berada di pertengahan antara kebodohan dengan kelicikan.

Di sinilah ungkapan ‘ikhlas dan bodoh adalah dua perkara yang dekat’. Istilah ikhlas sering digunakan pendukung gerakan Islam di seluruh dunia.  Ikhlas ialah kemuliaan niat. Namun, niat yang baik kalau tidak diserasikan dengan strategi yang betul ia akan membuahkan kebodohan.

Seseorang boleh berniat membantu tetapi tetap perlu menilai siapa yang mahu dibantu, apakah akibat tindakannya dan sama ada kemurahan hati itu akhirnya menguatkan ketidakadilan.

Dalam politik, kerjasama tidak boleh dibina hanya atas sangkaan baik. Setiap persetujuan memerlukan kejelasan, setiap janji memerlukan ukuran dan setiap pengorbanan memerlukan pertimbangan terhadap maslahat yang lebih besar.

Jika seseorang terus mempercayai pihak yang terbukti berkali-kali mengingkari komitmen atas alasan mahu dilihat berada di premis ikhlas, maka lahirlah kegagalan memahami hikmah dalam tindakan.

Curiga

Begitu juga kalau terlalu curiga ia boleh menjadikan kebijaksanaan bertukar kepada kelicikan. Akhirnya dilihat sebagai permainan politik untuk memperdayakan orang lain. Pada titik itu, keikhlasan hilang dan hubungan dibina hanya atas kepentingan sementara.

Keutamaan kedua ialah syaja’ah, yakni keberanian yang terbit daripada daya marah atau quwwah al-ghadabiyyah. Menurut Ibnu Miskawih, keberanian berada antara sikap sembrono dengan pengecut.

Manakala ungkapan ‘dilarang tawaduk kepada orang yang merasakan dirinya besar’ pula boleh dibaca dari sudut tawaduk sebagai kebajikan tetapi tawaduk bukan penyerahan harga diri. Ada perbezaan ketara antara merendah hati dengan membiarkan diri direndahkan.

Nik Bahrum berkongsi pesanan Almalhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah berkata, “merendahkan diri itu wajib, menghinakan diri pula haram.”

Dalam hubungan politik, keberanian diperlukan apabila toleransi mula ditafsirkan sebagai kelemahan. Berdiam diri mungkin mulia ketika pertelingkahan hanya melibatkan ego tetapi diam menjadi persoalan apabila keputusan melibatkan hak rakyat.

Namun, syaja’ah tidak bererti membalas kesombongan dengan kesombongan. Jika ketegasan berubah menjadi kemarahan tanpa kawalan, keberanian telah terkeluar daripada pertengahan moral dan bergerak menuju sikap sembrono.

Sebaliknya, jika seseorang takut menyatakan kebenaran kerana mahu menjaga kedudukan, keberanian pula jatuh kepada pengecut. Ketiga ialah iffah, kesucian atau pengendalian diri yang berkait dengan daya keinginan, quwwah al-shahwiyyah. Iffah berdiri antara kerakusan dengan kelesuan keinginan.

Dimensi tersebut sering terlepas apabila politik dibicarakan. Banyak krisis kerjasama bermula kerana keinginan yang tidak dikawal – mahu jawatan lebih banyak, pengaruh lebih luas, pengiktirafan lebih tinggi atau kuasa menentukan semua keputusan.

Disiplin politik

Di sinilah iffah menjadi disiplin politik. Pemimpin yang mempunyai iffah tahu tidak semua yang boleh diperoleh perlu direbut. Organisasi yang berdisiplin pula memahami kuasa ialah amanah, bukannya hak mutlak.

Kerjasama akan pincang apabila satu pihak sentiasa mahu menerima lebih banyak daripada yang sanggup diberikan. Akhirnya, ketiga-tiga kebajikan itu bertemu dalam al-‘adalah (keadilan).

Bagi Ibnu Miskawaih, keadilan lahir apabila kebijaksanaan memandu fikiran, keberanian mengawal kemarahan dan iffah mengatur keinginan sehingga ketiga-tiganya berada dalam keadaan harmoni.

Inilah ukuran yang lebih penting dalam menilai sebarang penjajaran politik. Persoalan lebih asas ialah sama ada hubungan itu dibentuk secara adil atau sebaliknya.

Isunya berpangkal agenda penyatuan ummah yang menjadi fokus muktamar kali ini. Penyatuan ummah berligar di muktamar Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kalimah itu meniti di bibir hampir kesemua perwakilan PAS.

Namun, persoalannya adakah kedua-dua pihak saling menghormati? Adakah janji akan dipatuhi ketika satu pihak berada dalam kedudukan lebih kuat? Adakah kepentingan rakyat berada di hadapan kepentingan elit?

Nik Bahrum yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan berhujah siasah yang matang memerlukan keberanian untuk membuka pintu perdamaian.

“Tetapi pada masa sama kebijaksanaan menentukan sempadannya,” ujar beliau. Tawaduk tanpa syaja’ah boleh berubah menjadi ketundukan. Syaja’ah tanpa hikmah boleh menjadi keangkuhan. Ikhlas tanpa pertimbangan boleh membuka ruang manipulasi. Kebijaksanaan tanpa keikhlasan pula mudah berubah menjadi muslihat.

Sebab itu keadilan menjadi titik akhir. Menjejaki pasca muktamar, cabaran lebih sukar iaitu membina budaya politik yang tidak memaksa seseorang memilih antara adab dengan maruah, antara keikhlasan dengan kecerdikan atau antara kerjasama dengan prinsip.

Politik yang matang memerlukan kesediaan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Nah! Tawaduk tetap perlu dipertahankan, namun jangan sampai maruah dijual atas nama keharmonian.

Ikhlas tetap menjadi asas perjuangan tetapi jangan sampai akal diketepikan atas nama kesetiaan. Ibnu Miskawaih mengingatkan kebajikan sentiasa berada pada keseimbangan.

Mungkin bertitik tolak dari situ Menteri Besar Kedah mengingatkan bodoh dan ikhlas sangat dekat. Politik menjadi mulia apabila niat yang baik dipandu hikmah, dipertahan dengan keberanian, dikawal oleh kesucian diri dan akhirnya ditegakkan melalui keadilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *