Istana Raja Legeh ada di Narathiwat

KEJADIAN tsunami yang melanda selatan Thailand pada tahun 2004 turut merubah keadaan fizikal Madrasah Ahmadiah Islamiah di Kampung Sela Anak Ayam Narathiwat.

Sedangkan sebelum itu madrasah terbabit seperti sekolah-sekolah pondok lain yang banyak terdapat di selatan Thailand.

Wakil kerajaan Turkiye turut hadir ke Thailand bagi menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami di lokasi yang terjejas teruk.

Mereka kemudian meninjau wilayah Narathiwat bagi melihat dari dekat tempat kelahiran ulama nusantara.

Menurut Mudir Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae, wakil kerajan Turkiye datang ke madrasah tersebut dan mereka terkejut melihat terdapat banyak al-Quran lama tulisan tangan.

Al-Quran tersebut ada yang berasal dari Sepanyol, Indonesia, Tanah Melayu dan negara Arab dan sumbangan penduduk tempatan. Ada al-Quran berusia sehingga 1,00 tahun.

“Mereka mendapati sebahagian besar koleksi tersebut sangat usang kerana ditelan zaman. Oleh itu wakil Turkiye menawarkan kerjasama untuk memulihara kitab-kitab tersebut.

“Sehingga sekarang sebahagian kitab dan manuskrip lama dibaik pulih di Istanbul. Semua perbelanjaan tersebut ditanggung kerajaan Turkiye,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Lutfi merupakan anak kedua Haji Ahmad bin Osman Samae. Haji Ahmad merupakan pengasas Madrasah Ahmadiah pada tahun 1967.

Beliau mendapat pendidikan dalam bidang tafsir dan ulum al-Quran di Universiti Jordan. Beliau juga bertuah apabila dibiayai
Kerajaan Thailand melanjut pengajian peringkat pasca siswazah dalam bidang pengurusan pendidikan.

Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah pernah memenangi Anugerah Diraja bagi Sekolah Terbaik Wilayah Narathiwat dalam aspek pentadbiran.

Ustaz Lutfi pula mendapat anugerah Penjaga Artifak Terbaik daripada Kerajaan Thailand pada tahun 2014.

Kerajaan Thailand juga melantiknya sebagai Ketua Yayasan Muzium Kesenian Islam dan Kebudayaan Melayu atau pusat pengajian Quran/manuskrip.

Madrasah Ahmadiah Islamiah sekarang mempunyai 800 pelajar. Ia menjadi pilihan masyarakat Islam menghantar anak bagi mendapat pendidikan dalam bidang agama dan akademik.

Kelas pengajiannya bermula jam 8 pagi dan pelajar pulang selepas menunaikan solat Asar. Sebuah balai agak besar dijadikan surau tempat pelajar menunaikan solat Zohor dan Asar.

Pelajar lelaki memakai baju kameja warna putih dan seluar panjang warna hijau, manakala pelajar perempuan bertelekung labuh putih dan sarung biru.

Bangunan kelas pula ada blok setingkat dan tiga tingkat. Dinding bilik darjah dicat warna hijau dan tiang pula biru muda.

Sekolah terbabit seumpama kampus terletak di laluan utama menghubungkan antara pekan di Narathiwat.

Muzium

Muzium yang diusahakan Ustaz Lutfi menyimpan manuskrip Melayu lama. Selain itu memiliki teknologi lama yang pernah diguna orang Melayu menghasilkan gula, membuat keris, perahu, ilmu pelayaran, ilmu perubatan dan sebagainya.

Muzium tersebut pada awalnya mempunyai 13 manuskrip, di mana 12 daripada berasal daripada Alam Melayu, manakala sebuah dari Yaman.

Hasil kegigihannya manuskrip lama sekarang meningkat kepada 76 yang berasal dari Kedah, Acheh, Indonesia, Mongol, Yaman, Persia-Wafawiah, Kufi, Mesir, Kelantan, Terengganu dan Andalusia.

“Penduduk tempatan juga menyumbang al-Quran lama yang mereka simpan sejak dari datuk nenek lagi,” katanya.

Muzium al-Quran terletak di aras bawah bangunan tiga tingkat yang dibina hasil pembiayaan penyumbang dari Malaysia.

Ruang bilik-bilik di aras bawah menempatkan muzium tersebut atau lebih dikenali sebagai Pusat Manuskrip Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah.

Di bahagian belakang ada ruang café dan galeri jualan produk keluaran madrasah tersebut.

Pengunjung berpeluang membeli cenderahati berupa replika keris dan naskhah kecil al Quran yang dibuat daripada kayu.
Madrasah tersebut juga mengeluarkan minyak urut dan herba.

Terdapat beberapa buku berkaitan Pusat Manuskrip tersebut dijual kepada pengunjung.

Chalet

Ustaz Lutfi juga memberitahu pihaknya sedang membangunkan beberapa chalet yang terletak berhampiran bangunan baharu Muziam al-Quran bagi membolehkan pengunjung bermalam.

Chalet tersebut dibina menggunakan kayu keras dengan mengetengahkan senireka Melayu tradisional.

“Tukang kayu tempatan yang mahir dalam senibina Melayu lama diupah bagi menyiapkan chalet tersebut.

“Pengunjung yang datang dari jauh termasuk Malaysia boleh bermalam di sini tidak lama lagi bagi memudahkan mereka melawat Muzium al-Quran,” katanya.

Di lokasi berdekatan juga digali kolam berbentuk bulat dan daratan di bahagian tengah akan dibina semula istana Raja Legeh.
Lutfi berkata, bangunan lama Istana Raja Legeh kini berada di lot milik penduduk bukan Melayu di bandar Narathiwat.

Istana yang dibina daripada kayu itu berada berdekatan Balai Bomba Narathiwat. Istana Raja Legeh merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Patani yang terakhir.

Empayar Patani meluas sehingga ke Legeh, Jeli, Kelantan. Kampung Legeh terletak berhampiran Ayer Lanas.

Menurut catatan sejarah Negeri Legeh dibuka alim ulama dan pernah mempunyai raja-raja yang tegas dan berani, namun akhirnya tumbang ke tangan kerajaan Siam.

Setelah penguasaan Siam, nama Legeh sebagai sebuah negeri berdaulat di wilayah Patani ditukar kepada Teluban dan Menara. Sekarang kedaulatan Legeh sekadar tinggal catatan sejarah.

“Kami akan membeli sisa-sisa kayu lama istana yang ada di situ untuk dibina semula di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah. Selain itu mendapat kayu jenis keras lain.

“Kos membina semula Istana Raja Legeh dianggar menelan belanja sehingga 1 juta Baht,” ujar Ustaz Lutfi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *