
PENDUKUNG PAS dari seluruh negara baru-baru ini sekali lagi berhimpun di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Kompleks PAS setinggi enam tingkat itu dibina di kawasan seluas 11.5 relong yang dibeli pada awal tahun 2000 dengan harga RM390,000.
Kos keseluruhan pembinaan kompleks tersebut lebih RM9 juta, turut dilengkapi dewan di bahagian belakang.
Usaha untuk membina bangunan yang tersergam indah itu bukan perkara mudah. Ia mengambil masa agak lama dengan sumbangan dana dan keringat daripada pendukung PAS.

Bangunan tersebut dianggap mercu tanda PAS di Kedah. Malah di Kelantan juga terdapat Kompleks Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa dibina melibatkan kos hampir RM7 juta.
Di Kota Bharu juga terdapat bangunan Syabab Point setinggi tiga tingkat dibeli dengan harga RM4.5 juta. Bangunan tersebut menempatkan pusat pentadbiran Dewan Pemuda PAS Kelantan.
PAS juga memiliki bangunan pejabat dan pusat tarbiah di seluruh negara.

Dan tahun hadapan dijangka bermula pembinaan ibu pejabat baharu PAS berhampiran Putrajaya.
Sehingga kini PAS berjaya mengumpul sebanyak RM5.86 juta di mana sebahagian besar digunakan untuk membeli tanah di lokasi berkenaan.
Selain itu bayaran cukai, kos guaman, perancangan dan caj jurukur. Menurut Bendahari PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad, bakinya sekarang RM528,430.
Kata beliau PAS Kelantan merupakan penyumbang terbesar dana tersebut, diikuti Terengganu dan Selangor.
“Hampir 50 peratus daripada perbelanjaan digunakan untuk menganjurkan program. Wang ini untuk dimanfaatkan dan bukan disimpan,” ujarnya pada muktamar PAS kali ke-71 baru-baru ini.
Kata beliau reka bentuk bangunan dimuktamadkan bersama arkitek, di mana permohonan Kebenaran Merancang (KM) dijangka dikemukakan awal tahun hadapan.
Bangunan baharu itu menampilkan konsep futuristik dan dilengkapi dewan konvensyen.
PAS sebelum ini memiliki bangunan bertingkat di Jalan Raja Laut selepas berpindah dari Taman Melewar pada 23 Mac 2007.
Bangunan tersebut begitu strategik kerana terletak di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur. Hanya PAS sebagai pemilik berstatus Bumiputera hartanah di sekitar kawasan berkenaan.
Pejabat PAS di Taman Melewar kini dijadikan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) menawarkan pendidikan tinggi bertunjang al-Quran dan Hadis.
KUIZM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang diurus Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) di bawah tanggungjawab Lembaga Khas Penubuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta.
