Cip IC dibimbangi dimanipulasi tujuan politik

KATA bekas pendidik, Drs Zainuddin Awang Hamat, Madani membawa erti kasih sayang. Ia juga bermaksud tidak membebankan rakyat. Madani tidak boleh menekan rakyat yang kurang setuju terhadap dasar tertentu kerajaan.

Kalau asyik tekan rakyat itu bukan madani. Kritik sikit terus sekat laman sosial, atau panggil ke balai polis.

Hari ini rakyat tidak lagi mampu berdiam diri. Mereka meluahkan amarah di media sosial. Situasi itu dapat dikesan apabila pelbagai pihak mengkritik tindakan kerajaan mengampung harga diesel pada 10 Jun 2024 dengan alasan mahu menjimatkan wang negara.

Ketika itu Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan memberitahu penetapan harga diesel ikut pasaran, kerajaan dapat mengurangkan ketirisan. Selain itu boleh membawa penjimatan RM4 bilion setahun.

Maka pada jam 12.00 tengah malam 10 Jun 2024 harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia dinaikkan kepada RM3.35 seliter.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada 2 Disember 2024 menjelaskan kerajaan menjana penjimatan kira-kira RM600 juta sebulan susulan penyasaran subsidi diesel melalui program Budi Madani.

Di sebalik kerajaan mahu berjimat cermat dalam masa sama kos kehidupan rakyat meningkat. Kenaikan diesel menyebabkan harga barangan keperluan semakin mahal.

Rakyat terpaksa menanggung kos tambahan. Madanikah begitu.

Situasi itu berbeza dengan era kerajaan sebelum ini. Pada tahun 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyediakan pakej rangsangan bernilai RM305 bilion untuk rakyat.

Jumlah tersebut begitu besar berbanding keseluruhan bajet RM322.5 bilion. Di era tersebut muncul pelbagai bantuan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Belanjawan 2021 menyenaraikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin.

BR1M

Dan sebelum itu di era kerajaan Barisan Nasional, rakyat dijinakkan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia dilaksanakan di era Najib Razak.

Program berkenaan berakhir pada tahun 2018 melibatkan lebih 7 juta penerima. Nilai BR1M meningkat daripada RM500 pada 2012 kepada RM2,000 pada 2018. 

Kini di era Madani, muncul pula Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ditanggung rakyat. Ia disalur bermula 15 Januari lalu melibatkan 700,000 penerima kategori miskin dan miskin tegar.

Penerima terbabit perlu berdaftar dengan eKasih dan layak menerima RM2,100 untuk tahun 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.

Bantuan SARA itu diagih RM100 sebulan dan dikreditkan melalui MyKad penerima bagi Januari hingga Mac, manakala mulai April, kadar bantuan ditingkat kepada RM200 sebulan.

Dan terkini SARA RM100 diberi kepada semua rakyat yang memiliki kad pengenalan. Bantuan ‘one off’ tersebut bagi pembelian 14 kategori barangan asas.

Zainuddin berkata, ketika era Bossku (Najib) beliau turut menerima sumbangan RM1,200 biarpun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Namun kata beliau, di era Madani bantuan SARA RM100 diagih kepada semua rakyat tanpa mengira miskin atau kaya asalkan ada kad pengenalan (IC).

Raih untung

“Kita nampak kerajaan sekarang bermurah hati mahu membantu rakyat tanpa mengira miskin atau kaya. Sedangkan di Thailand bantuan seperti SARA diagih sebanyak Baht 800. Namun disyarat dibelanjakan di lokasi mereka tinggal sahaja,” katanya.

Di Malaysia SARA kebanyakan ditebus di kedai-kedai besar milik tauke bukan Melayu. Isunya di sebalik agenda SARA, siapa yang mendapat untung berganda.

Akhir bulan ini akan muncul pula inisiatif subsidi bersasar BUDI95. Antara tujuannya bagi mengurangkan ketirisan. Petrol bersubsidi hanya dijual kepada pengguna yang ada kad pengenalan.

Bagi warga asing petrol dijual mengikut harga pasaran. Namun di Thailand harga petrol dijual pada harga sama tanpa rakyat tempatan atau warga asing.

Kata Zainuddin, Thailand mengimport petrol sedangkan Malaysia minyak dikeluarkan di perairan sendiri.

“Sepatutnya harga petrol subsidi di Malaysia bukan RM1.99 seliter sebaliknya lebih murah lagi.

“Kerajaan juga sebelum ini memaklumkan dapat menjimat RM600 juta selepas harga diesel diampungkan 10 Jun 2024. Di mana wang itu sekarang.

“Ketika itu alasan kerajaan bagi mengurangkan penyeludupan. Dan akhir bulan ini rakyat dipaksa pula menggunakan IC ketika membeli petrol juga alasan serupa mengurangkan ketirisan,” ujarnya.

Desakan tersebut menyebabkan orang ramai berebut menukar IC lama kerana bimbang cip tidak dapat dibaca ketika berurusan di stesen minyak.

Zainuddin bimbang langkah itu tidak menyelesaikan masalah. Hujahnya usaha kerajaan mahu menyekat ketirisan boleh bertukar wujud ‘pasaran gelap’ kuota petrol.

Isu tersebut juga dibangkit penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham yang menjangka potensi berlaku amalan ‘pump-on-behalf’, di mana individu lain menggunakan MyKad warga tempatan.

“Cip di IC juga tidak dapat ditolak boleh dimanipulasi bagi kepentingan politik pada masa akan datang. Inilah kebimbangan disuarakan rakyat,” ujar Cikgu Din.  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *