
Oleh ASLANI M
Foto AHMAD RAMADAN
PASIR MAS: Biarpun negara mencapai kemerdekaan lebih 68 tahun, namun masih ada pihak dianggap cuba mengganggu gugat kontrak sosial yang dipersetujui ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Islam telah dipersetujui sebagai agama persekutuan di Tanah Melayu.
Bagaimanapun katanya, sekarang ada pihak cuba merombak kontrak sosial tersebut sehingga berani mencabar kedudukan Islam di sisi perlembagaan.
“Ancaman tersebut termasuk muncul Islam liberal yang mulai menjalar ke negara kita selepas bertapak di negara jiran.
“Oleh itu saya berharap ulama-ulama pondok turut memainkan peranan bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya Islam liberal,” katanya ketika merasmikan Ijtimak Pondok Malaysia 5.0 di Pondok Gelang Mas hari ini.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ustaz Mohd Asri Mat Daud; ahli parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; Adun Tendong Rozi Muhamad; Ketua Hakim Syarie Dato’ Ibrahim Idris, Timbalan Mufti Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Muhamad, Ketua Jajahan Pasir Mas Shamsul Abu Bakar.
Selain itu Mudir Pondok Gelang Mas (Madrasah Yusufiah Pondok Banggol Naim) Tuan Guru Awang Yusuf, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan Haji Rosli Wan Ibrahim; Pengerusi Persatuan Pondok Turath Pahang Haji Barakatullah Mohd Bahari, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia Ustaz Osman Abdullah.
Pengerusi Persatuan Pondok Terengganu Haji Ahmad Raqim An-Nuria; Presiden Pertubuhan Ikatan Madrasah Pahang Dato’ Cik Wan Hilmy Wan Mohamed; Penasihat Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki dan Rektor KIAS Prof Dr Mazlan Ibrahim.

Sempena program berkenaan turut diadakan solat hajat selepas solat Zohor diimamkan Syeikh Wazir.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, Kelantan pada zaman lampau menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari seluruh nusantara untuk melanjutkan pengajian agama di pondok yang banyak terdapat di negeri itu.
“Bagi pelajar yang tidak mampu untuk belajar di Makkah, mereka datang ke Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap Serambi Mekah mampu menjadi benteng bagi mempertahankan penularan Islam liberal di negara ini.

Sebelum itu Mohd Asri berkata, peranan institusi pondok begitu penting sebagai benteng bagi menghadapi cabaran semasa yang melanda umat Islam.
Ini kerana katanya sekarang orang yang tiada kredibiliti mahu bercakap mengenai agama sehingga mengelirukan masyarakat.
Menurutnya fahaman ateisme semakin menular di Malaysia dan mereka tidak lagi bergerak secara sembunyi.
“Golongan terbabit semakin berani bersuara. Begitu juga kumpulan Islam liberal sanggup mencabar perundangan Islam.
“Sebelum ini mereka mencabar 16 peruntukan dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan kerajaan negeri sekarang sudah di peringkat akhir bagi mengubal semula seksyen tersebut,” tambahnya.

Beliau juga mendedahkan jumlah golongan transgender semakin ramai di Malaysia iaitu lebih 50,000 ahli.