Banyak kenangan ketika bersama arwah Kamal Khatib

KOTA BHARU: PAS Kota Bharu kehilangan seorang aktivis yang juga bekas penghulu, Mohamad Kamal Khatib, 68 yang meninggal dunia tengah hari tadi.
Beliau terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainah II sejak beberapa bulan lagi akibat konflikasi beberapa penyakit.
Adun Bunut Payong Shaari Mat Yaman berkata, banyak kenangan ketika bersama berjuang dalam PAS Kota Bharu dan Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan.
“Semoga segala amal soleh, jasa dan sumbangan arwah menjadi asbab Allah mengampunkan dosa-dosanya, meluaskan kuburnya, serta menempatkannya bersama orang beriman dan beramal soleh,” katanya di sini.
Mohamad Kamal pernah berkhidmat sebagai penghulu di Dewan Undangan Negeri Kota Lama dan bertugas sebagai sukarelawan keselamatan PAS.
“Arwah seorang yang agak tegas ketika bertugas semasa berlangsung sesuatu program di PUTIK atau Pejabat Perhubungan PAS Kelantan bagi memastikan program berjalan lancar,” kata seorang sahabatnya.
Difahamkan solat ke atas jenazahnya akan diadakan di Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh selepas Solat Maghrib malam ini.
Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.
Sementara itu minggu lepas PAS Tanah Merah kehilangan seorang pemimpin apabila bekas setiausaha Razali Yusof meninggal dunia di Hospital Tanah Merah pada pagi 24 September lepas.

Arwah sebelum ini pernah dilantik sebagai Penyelia DUN Gual Ipoh.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosanya serta menempatkannya dalam kalangan para solihin dan orang beriman,” kata Setiausaha PAS Kelantan Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
