Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Gelanggang Rakyat

Agenda penyatuan ummah tidak nyaring di PAU

Editor: Arus Lebir5:44 petang168 views
Saiz teks20px

Oleh Aslani M & Damia Hana |

PEMIKIRAN berteras agama dan nasionalisme jauh berbeza. Jalur perjuangan berpangkal agama melihat kemaslahatan ummah lebih besar berbanding membolot kuasa politik.

Menurut Kamus Dewan nasionalisme berkaitan dengan bangsa sendiri. Nasionalis merupakan orang yang mencintai bangsanya. Manakala nasionalisme sebagai perasaan cintakan bangsa sendiri dengan nekad membebaskan negeri daripada kuasa asing.

Menurut sarjana Barat, Hans Kohn nasionalisme ialah fikiran yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dengan mengiktiraf negara bangsa sebagai organisasi politik yang unggul.

Dan bangsa dianggap sebagai punca bagi segala kehidupan bagi membina negara dan kesejahteraan ekonomi. Namun, tanpa sedar semangat seumpama itu lebih dekat dengan asabiyah.

Ibn Khaldun menegaskan asabiyah sebagai ketaatan hubungan seseorang dengan golongan atau kumpulannya. Mereka taasub terhadap prinsip-prinsipnya dan cenderung menolak realiti kebenaran semata-mata kerana condong kepada satu-satu pihak. 

Jelaslah asabiyah amat rapat dengan nasionalisme. Nasionalisme menyeru kepada kesatuan berdasarkan pada ikatan kekeluargaan dan kesukuan.

Sedangkan Islam menyatukan manusia berdasarkan aqidah, keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah saw. Islam menyeru ummatnya bersatu berdasarkan ikatan ideologi Islam.

Maka menyatukan manusia berdasarkan ikatan kesukuan adalah dilarang. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; “Bukan dari golongan kami orang yang menyeru kepada asabiyah (nasionalisme), orang yang berperang kerana asabiyah serta orang yang mati kerana asabiyah.” Diriwayat Abu Daud.

Antara muktamar dan PAU

Kefahaman mengenai dua dimensi itu dapat dilihat pada muktamar PAS dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang baru berlalu. Bagi mereka yang sering menggali sirah perjuangan para ambia dan era sahabat, melihat gerakan politik melangkui kaum, bangsa dan ras.

Muktamar PAS pada 4 dan 5 September lepas mengikat kata sepakat supaya penyatuan ummah diberi keutamaan demi kemaslahatan ummah. Sehari sebelum itu seruan serupa berkumandang di muktamar Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak.

Apakah suara serupa dilaungkan di PAU. Sebaliknya Umno menggariskan Agenda Malaysia Biru yang mengandungi lapan ikhtiar utama sebagai hala tuju parti menjelang 100 tahun kemerdekaan negara.

Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan agenda berkenaan dirangka bagi membentuk Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, memastikan rakyat makmur dan saksama serta negara unggul dan disegani dunia.

Ia seumpama manifesto Umno menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama. Tidak kedengaran dengan jelas mauduk penyatuan ummah kecuali Agenda Malaysia Biru.

Hakikat itu diakui Ketua Penerangan Umno, Dato’ Seri Azalina Othman Said apabila menyimpulkan ucapan, perbahasan dan pandangan yang diketengah sepanjang PAU perlu diterjemahkan kepada tindakan.

Menurutnya Agenda Malaysia Biru memberi gambaran mengenai tawaran masa depan yang mahu dibawa kepada rakyat dan seterusnya diterjemah dalam manifesto BN menjelang PRU16.

“Agenda Malaysia Biru memberi gambaran tentang tawaran masa depan yang mahu kita bawa kepada rakyat dan akan diterjemah dalam manifesto BN,” katanya, seperti dilapor media.

Kata beliau juga sebelum menghadapi PRU-16, BN berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan parti menterjemahkan hasil perbincangan PAU.

Ketua Wanita Umno Dato’ Dr Noraini Ahmad pula tertarik ucapan Presiden yang menegaskan Umno mesti kembali dengan watak parti pemerintahan.

Rumah Bangsa

Baginya konsep Rumah Bangsa yang digariskan cukup bermakna untuk menghimpunkan kembali kekuatan, merapatkan saf dan memastikan tiada siapa yang merasa tersisih daripada keluarga besar perjuangan.

“Begitu juga dengan gagasan Tafahum Siyasi, mengajar kita dalam landskap politik yang semakin mencabar, persefahaman dan kerjasama boleh dibina tanpa kita mengorbankan identiti serta prinsip perjuangan.

“Dan yang lebih jauh pandangannya Agenda Malaysia Biru menuju 100 tahun kemerdekaan,” ujar Dr Noraini.

Biarpun tiada segmen yang jelas mengenai muafakat ummah, namun pada hari terakhir PAU dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan, dilapor mencabar PAS membuktikan keikhlasan.

Beliau mencadangkan PAS menguji formula kerjasama politik bersama Umno di salah sebuah negeri SG4, iaitu Terengganu.

“Selepas PRN Melaka, salah sebuah negeri SG4 wajar mengadakan pilihan raya bagi melihat sejauh mana keikhlasan dalam menjayakan persefahaman berkenaan,” katanya.

Ucapan Tok Mat pada penggulungan PAU sedikit sebanyak mencacat agenda Rumah Bangsa digariskan Zahid. Isunya mengapa Tok Mat mahu menguji Tafahum Siyasi di Terengganu.

Tafahum bermaksud persefahaman dan siyasi membawa erti politik. Sebelum ini PAS mempopularkan perkataan tahaluf siyasi.

Medan ujian

Mengulas cadangan Tok Mat, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan cadangan Terengganu dijadikan ‘medan ujian keikhlasan’ PAS bukan menggambarkan ukuran sebenar keikhlasan penyatuan.

Beliau pelik mengapa Terengganu perlu dikorbankan semata-mata untuk membuktikan keikhlasan dalam agenda penyatuan ummah.

“Penyatuan sepatutnya mencari ruang untuk saling menguatkan, bukan memaksa satu pihak lagi mengorbankan kubu kuatnya sebagai bukti kerjasama. Terengganu aman damai tanpa sebarang tiba-tiba mahu dijadikan korban tanda ikhlas penyatuan ummah, tidak kah pelik,” katanya pada kenyataan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023, PAS memenangi 27 daripada 32 kerusi Dun yang ditandingi, manakala Bersatu memenangi lima kerusi.

Oleh itu Firdaus menegaskan gagasan penyatuan ummah tidak seharusnya diuji berdasarkan sejauh mana sesebuah parti sanggup menyerahkan kubu kuatnya, sebaliknya perlu dilihat melalui kemampuan menggabungkan kekuatan demi kepentingan ummah.

Menurutnya juga terdapat perbezaan pendekatan antara sebahagian pemimpin muda PAS dan Umno yang melihat penyatuan dalam kerangka lebih besar.

“Bagi Tok Mat, ukuran yang diketengahkan berkaitan kerusi sebagai formula pembahagian kerusi. Tetapi generasi muda melihat penyatuan dari sudut lebih besar kerana kerusi hanyalah alat,” katanya.

Sebaliknya beliau mencadangkan pemimpin Umno mencari ruang untuk saling memperkukuh kerjasama di negeri-negeri yang diterajui Pakatan Harapan termasuk di Pulau Pinang yang menjadi kubu utama DAP.

PAU Umno juga memperlihatkan hasrat Umno Kedah seakan mahu berunding hanya dengan PAS sahaja dan bukannya bersama Perikatan Nasional (PN).

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia menyifatkan kenyataan Umno Kedah didorong rasa terancam memandangkan gagal menang sebarang kerusi Dun pada PRN lalu.

Kata beliau Umno cuma berpeluang merebut semula kerusi Dun Bakar Arang dan Sidam yang dimenangi PKR serta Kota Darul Aman dikuasai DAP pada pilihan raya negeri lepas.

“Tindakan pemimpin Umno memperkecilkan Wawasan sebagai ‘parti kucing’ sebagai menafikan keberadaan parti diketuai Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang direstui kepimpinan PN.

“Dalam keghairahan mahu berunding dengan PAS, Umno perlu cermin diri dan sedar kedudukannya di Kedah serta peringkat nasional bahawa mereka bukan lagi parti pilihan utama pengundi Melayu,” ujarnya.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.