Oleh Aslani M |
KIRA-kira 40 tahun lalu tidak ramai mengenali Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Namun, hari ini segala-galanya berubah. Pusat pendidikan prasekolah itu berkembang pesat di seluruh negara. Maka tidak pelik ada pihak yang cemburu.
Sejarahnya begitu panjang. Idea untuk menubuhkan institusi pendidikan prasekolah Islam mulai dicetus pada tahun 1976. Bermula dari situ dua pusat pendidikan prasekolah ditubuh di Melaka dan Kedah.
Pusat pendidikan prasekolah tersebut dikendalikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia dinamakan sebagai Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI).

Ketika itu ABIM dipimpin Ustaz Fadzil Md Noor. Tiga tahun kemudian PAS pula mewujudkan TASKI yang dilancarkan secara rasmi pada tahun 1979.
Bagaimanapun pada tahun 1982, pengurusan ABIM dilanda konflik sehingga turut memberi kesan kepada pengurusan TASKI.
Ekoran itu pada tahun 1984 Dewan Pemuda PAS Kelantan menggabungkan semua TASKI milik ahli PAS di Kelantan di bawah sebuah institusi baru yang diberi nama Pusat Tarbiah Anak-Anak Islam (Putra Islam).
Langkah serupa diambil Dewan Pemuda PAS Terengganu, namun mereka mengekalkan nama TASKI. Kemudian pada tahun 1987 PAS Kedah mewujudkan pengurusan baru pendidikan prasekolah yang dinamakan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Nama PASTI dicadangkan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS Ustaz Nakhaie Ahmad. Dan pada 6 Mei 1988 Dewan Pemuda PAS Pusat menggunakan nama PASTI sebagai nama rasmi semua institusi pendidikan prasekolah milik PAS.
Bertapak di Sabah

Sekarang PASTI ada di seluruh pelusuk tanah air termasuk di Sabah dan Sarawak. PASTI mula bertapak di Pantai Timur Sabah, Sandakan pada tahun 1989.
PASTI Saidina Abu Bakar as-Siddiq beroperasi di Batu 1½, Sandakan diasas Siti Sofiah Rafaei. Selepas itu PASTI berkembang secara berperingkat di daerah-daerah lain di Sabah sepanjang dekad 1990-an hingga 2000-an.
Pada peringkat awal PASTI di Kota Kinabalu menumpang di bahagian bawah sebuah surau yang agak usang. Bagaimanapun jumlah murid agak ramai. Sedangkan bangunan Tadika Kemas yang tersergam terletak kira-kira 50 meter dari PASTI agak sunyi dan hanya dikendalikan seorang guru.
Pada tahun 2009, Dewan Pemuda PAS Sabah membuka PASTI Bilal Bin Rabah di Sandakan. Selain itu mewujudkan cawangan di Kinabatangan dan Lahad Datu.

PASTI Sabah menyediakan pendidikan prasekolah berteraskan asas Fardu Ain, hafazan al-Quran dan asas 3M (membaca, menulis, mengira).
Begitu juga PASTI di Sarawak berkembang dengan pesat yang bermula dengan Pasti Insani, di Kuching ditubuh pada tahun 2004.
Pada peringkat awal selepas beberapa tahun ditubuh, PASTI di Sarawak dianggap sebagai ‘hidup segan mati tak mahu’. Dan hampir lima tahun kemudian, PASTI bertambah kepada tiga di Kuching dan Miri.
Kemudian pada tahun 2011, PASTI di Sarawak berkembang lebih pesat di mana bertambah kepada sembilan iaitu lima di Kuching, Miri (2), dan masing-masing satu di Bintulu dan Kota Samarahan.
PASTI yang terdapat di Miri iaitu PASTI al-Munawarah, PASTI a-Amalulillah, sebuah PASTI di Bintulu dan lima PASTI di Kuching iaitu PASTI Insani, PASTI Iman, PASTI Ulum, PASTI Ilmi dan PASTI Hana.
Selain itu PASTI Raudhah di Kota Samarahan. Jumlah pelajar PASTI di Sarawak ketika itu seramai 163 orang.

Pada tahun 2018 PASTI Sarawak berusaha merealisasikan kewujudan 30 PASTI di negeri itu dengan menyasar 1,500 pelajar.
Di Miri PASTI Al-Mahabbah dirintis seorang profesional tempatan Ir Mokhtar Suhaili dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan. PASTI itu diwujudkan di Kampung Muhibbah, Ladang 3, Niah, Miri pada tahun 2019.
Menurut Mokhtar di Miri terdapat lapan PASTI iaitu PASTI Al-Munawwarah, Siang-Siang Garden; PASTI Al-‘Amalulillah, Pujut; PASTI Al-Irsyad, Piasau; PASTI Ar-Rahman, Taman Tuanku.
Selain itu PASTI Al-Fateh, Permyjaya; PASTI Ar-Rayyan, Senadin; PASTI At-Taqwa, Bekenu dan PASTI Al-Mahabbah, Niah.
Dan pada tahun 2019 sebuah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dibuka di Sarawak. Sekarang terdapat 49 PASTI dan empat SRITI di seluruh Sarawak.
Sebuah Nursery Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) juga dibuka di Sarawak. Usaha mewujudkan PASTI dan SRITI bukan kerja mudah, lebih-lebih memerlukan kos kewangan yang besar.
PAS Kelantan bantu

Oleh itu bagi membantu membangunkan pusat pendidikan prasekolah di Sarawak, PAS Kelantan turut menyumbang dana bagi membina bangunan kelas pengajian yang lebih sempurna.
PASTI tersebut dibina di Kampung Pusa, Beting Maro, Sarawak. Proses pembinaan sekarang mencapai kemajuan kira-kira 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Baru-baru ini Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pegawai Aset PAS, Shamsuddin Daud meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut.

“Pembinaan PASTI terbabit merupakan antara usaha dakwah dan tarbiah masyarakat di bumi Sarawak yang diusahakan PAS Kelantan,” kata Tuan Mohd Saripudin.
Menurutnya juga teras kejayaan sesebuah masyarakat bermula dengan pendidikan yang baik kepada generasi awal.
Kata beliau pendidikan bukan sekadar membina kecemerlangan ilmu, bahkan menjadi asas pembentukan akhlak, keperibadian dan jati diri generasi masa hadapan.
“Semoga segala urusan pembinaan dipermudahkan dan berjalan lancar sehingga dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat, khususnya dalam menyediakan pendidikan awal berteraskan Islam kepada anak-anak,” ujarnya.
Pada kunjungan tersebut juga rombongan PAS Kelantan turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS Sarawak bagi bertukar pandangan berkaitan agenda tarbiah dan dakwah dalam kalangan masyarakat tempatan.
Sarawak memiliki kepelbagaian latar belakang masyarakat, budaya dan agama memerlukan pendekatan dakwah yang berbeza dengan mengambil kira realiti setempat.

Kata beliau apa yang paling utama, agenda perjuangan PAS bukan sekadar membina kekuatan organisasi, tetapi melahirkan generasi rabbani yang memahami Islam secara syumul. Selain itu menjadikan Islam sebagai panduan dalam segenap aspek kehidupan.

“Inilah asas penting yang perlu terus diperkukuh melalui usaha dakwah dan tarbiah yang berterusan. Semoga segala usaha ini diberkati dan mendapat keredaan Allah SWT dan menjadi asbab tersebarnya cahaya Islam dan suburnya benih dakwah di Sarawak,” ujarnya.


