
A RAHMAN HARUN
AKTA Sewa Beli 1967 dianggap masih belum mengiktiraf model sewa beli patuh syariah.
Sedangkan Islam melarang unsur gharar atau ketidaktentuan riba tersembunyi dan eksploitasi maklumat dalam urusniaga.
Oleh itu Ahli Parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan bank dan syarikat sewa beli menunjukkan stimulasi penuh kos sebenar yang dikenakan pengguna.
Cadangan tersebut bagi melakukan penyelarasan undang-undang antara transaksi berbentuk Islamik dan konvensional.

Kata beliau kerajaan disaran menambah peruntukan khas ‘sewa beli patuh syariah’ dalam Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang dibahas di Dewan Rakyat.
“RUU tersebut juga dapat memberi pilihan kepada pengguna beragama Islam agar tidak terus terikat dengan sistem yang bercampur aduk dengan unsur riba.
“Saya berharap kerajaan menambah bahagian khas sewa beli Islamik di bawah akta tersebut supaya ada penyelarasan undang-undang dan pengguna Islam bebas daripada sistem berunsur riba,” katanya ketika mengambil bahagian membahas RUU tersebut di Dewan Rakyat semalam.
Beliau turut mencadangkan pengguna Islam diberi pilihan memilih sistem syariah.
Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai meminta pindaan tersebut turut disertakan dengan prinsip sewa beli ihsan iaitu garis panduan maqasid syariah.
Kata beliau rakyat berhak mengetahui sebelum menandatangi perjanjian dan penggunaan bahasa lebih mudah serta boleh difahami kedua-dua belah pihak dan diberi penjelasan yang sebenar.